Ibu ubati kerinduan bertemu anak di sebalik tirai besi

Dipenjara 30 tahun, ibu ubati kerinduan bertemu anak di sebalik tirai besi

SEORANG penghuni wanita Penjara Pokok Sena memeluk dan mencium anak-anaknya ketika berpeluang bertemu pada Program Jalinan Kasih Ibu dan Anak di Pokok Sena, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Peluang bertemu anak lelaki berusia 13 tahun menjadi penawar duka buat seorang penghuni Penjara Pokok Sena bagi mengubat kerinduan terhadap keluarganya setelah terpaksa meringkuk di sebalik tirai besi selama 30 tahun.

Wanita dikenali sebagai Siti, 35, yang kini baru menjalani hukuman penjara sejak sembilan tahun lalu antara 20 penghuni yang diberi peluang bertemu keluarga masing-masing menerusi Program Jalinan Kasih Ibu dan Anak peringkat penghuni wanita Penjara Pokok Sena.

Siti dikenakan hukuman penjara kerana terlibat dalam jenayah penculikan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun tidak dapat berjumpa dengan semua anak, namun saya tetap berpuas hati kerana diberikan peluang ini kerana tempoh hukuman yang perlu saya lalui masih panjang.

“Tempoh 30 tahun di dalam penjara itu bukanlah singkat dan walaupun sakit merindui anak-anak itu sangat pedih, saya perlu kuat untuk teruskan kehidupan dengan menganggap ini sebagai ujian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata ibu kepada enam anak yang berasal dari Kuala Lumpur itu, dia sayu apabila anaknya menyatakan kesedihan kerana tidak mendapat kasih sayang sepatutnya daripada seorang wanita bergelar ibu.

“Anak cakap kepada saya ‘ibu, kasih sayang yang adik terima tak sama dengan kasih sayang yang seorang ibu curahkan kepada anaknya’,” katanya.

Seorang lagi penghuni dikenali sebagai Kina, 28, turut gembira kerana dapat bertemu suami dan dua anak lelaki berusia empat dan enam tahun setelah dua tahun dipenjara atas kesalahan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan.

“Saya cuma sedih sangat apabila melihat keadaan anak sulung yang sedikit kurus. Dia juga seperti mengelak untuk bersalam dan memeluk saya kerana mungkin sudah lama kami tidak bertemu.

“Saya perlu jalani penjara selama dua tahun lapan bulan lagi dan hari-hari saya berdoa supaya tabah jalani ujian ini. Saya nak balik, nak masak dan suap makanan kepada suami dan anak,” kata wanita berasal dari Johor.

Sementara itu, Kina yang pernah memenangi johan Pertandingan Tilawah al-Quran Dan Nasyid peringkat penghuni penjara seluruh negara pada tahun lalu menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai hadiah hari ulang tahun kelahirannya pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Negeri Kedah, Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, program itu dijalankan bagi memastikan hubungan seorang ibu dengan anak tidak terputus walaupun di sebalik tirai besi.

“Kita mahu menunjukkan bahawa keluarga masih mengambil berat dan menyayangi penghuni di sini dan inisiatif ini adalah bagi mengubah mereka menjadi insan berguna apabila dibebaskan kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini