Muara sungai tertimbus, nelayan gagal ke laut

Muara sungai tertimbus, nelayan gagal ke laut

KEADAAN muara Sungai Kijai, Kemaman yang tertimbus akibat mendapan pasir di Kampung Che Wan, Kijai, Kemaman. – FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Lebih 20 nelayan di Kampung Che Wan, Kijal, dekat sini, tidak dapat keluar ke laut untuk mencari rezeki berikutan muara Sungai Kijai tertimbus dengan timbunan pasir sejak November lalu.

Salah seorang nelayan, Mohd. Azmi Zahar, 35, berkata, masalah itu telah berlaku lebih lima tahun lalu dan lebih buruk akibat mendapan pasir yang berlaku pada musim Monsun Timur Laut, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, sebelum ini, masalah tersebut dapat diatasi sementara apabila terdapat kerja-kerja mengorek pasir untuk projek pembinaan di kawasan berdekatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setelah kerja-kerja mengo­rek pasir tersebut dihentikan, keadaan muara sungai itu kembali ditimbuni pasir sejak hujung tahun lalu.

“Sekarang sudah mahu habis musim tengkujuh, kami bimbang tak dapat turun ke laut di­sebabkan keadaan muara yang cetek dan tertutup sehingga tiada laluan untuk bot kami keluar.

“Kalau tak dapat turun ke laut lepas musim tengkujuh, me­mang agak sukar bagi nelayan menyara keluarga, lagipun anak-anak akan memulakan sesi persekolahan tak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Che Wan, Kijai di sini, semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Shafiq Mat Nasir, 31, pula memberitahu, keadaan muara kuala sungai yang tertimbus itu juga menyebabkan berlaku banjir kilat sehingga menjejaskan rumah penduduk ketika berlaku fenomena air pasang besar.

Menurutnya, keadaan tersebut dibimbangi lebih serius selepas ini sekiranya masalah di muara sungai tersebut berlarutan.

“Kami harap tindakan segera akan dapat diambil bagi memastikan nelayan dapat keluar ke laut dan mengelakkan kejadian banjir kilat terus berulang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini