ROMPIN: Pasangan pengantin baharu dari Kampung Pianggu di sini tetap meneruskan majlis kenduri perkahwinan dalam keadaan ala kadar setelah kediaman mereka ditenggelami air banjir sehingga menyebabkan banyak peralatan rumah rosak.
Setelah dilanda musibah itu bermula 2 Mac lalu, Mohamad Faridzul Azahar Abd. Wahab, 31, dan pasangannya Nur Nadhirah Ahmad Akbal, 31, merancang menangguhkan perkahwinan tetapi membuat keputusan meneruskannya selepas air kembali surut kelmarin.
Mohamad Faridzul berkata, dia pada awalnya bimbang kerana rumahnya ditenggelami air selama seminggu dan mereka baharu dibenarkan pulang ke rumah Jumaat lalu.
“Memang sedih apabila banyak barang-barang rumah musnah ketika saya baru hendak memulakan episod baharu kehidupan berumah tangga.
“Bagaimanapun saya reda dengan ujian Allah SWT dan bersyukur kerana pasangan saya dapat sama-sama tabah melalui ujian ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pianggu di sini.
Mohamad Faridzul berkata, kehadiran saudara mara termasuk dari Kedah sememangnya banyak membantu dalam mengemas rumah dan juga menguruskan perkahwinannya.
Seorang lagi mangsa, Jemai Mahidin, 70, berkata, kejadian banjir yang berlaku begitu cepat sehingga dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang dirumahnya.
Dia mendakwa, pelepasan air dari empangan di Kota Tinggi, Johor menyebabkan hanya dalam tempoh 30 minit air naik ke paras dada.
“Semasa kejadian saya tidur dan dapati air mula masuk di paras kaki tetapi selepas 10 minit kemudian air sudah berada pada paras lutut dan terus naik dengan cepat sehingga saya dan keluarga tidak sempat menyelamatkan barang-barang.
“Katanya rumahnya yang tenggelam selama seminggu menyebabkan barang-barang musnah dan berbau serta membuatkan proses mencuci agak sukar,” katanya. – UTUSAN











