Keputusan KDN berhubung usul UMNO sah

Keputusan KDN berhubung usul tiada pertandingan jawatan tertinggi UMNO sah

umno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Akta 832 kepada UMNO untuk tidak dikenakan tindakan kerana tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah sah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ini kerana hanya menteri boleh mengecualikan suatu pertubuhan daripada peruntukan Akta Pertubuhan 1966 itu, dan bukannya peruntukan perlembagaan pertubuhan.

Menurut Profesor Madya di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, proses pencalonan dan pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden perlu berlaku seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan UMNO.

Katanya, tanpa proses tersebut, maka seorang Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan terpilih untuk penggal yang baharu, akibatnya keabsahan pemilihan itu akan dicabar.

Beliau berkata, jika Perlembagaan UMNO membenarkan calon Presiden dan Timbalan Presiden dinamakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), maka penamaan itu adalah sah, begitu juga sebaliknya.

“Jika peruntukan perlembagaan pertubuhan mensyaratkan penamaan dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan atau Bahagian, maka kehendak itu perlulah dipatuhi, melainkan ada pengecualian diberikan oleh mana-mana peruntukan perlembagaan pertubuhan.

“Justeru isu usul dalam PAU UMNO tidak dengan sendirinya menjadikan satu kesalahan. Ia bergantung kepada bagaimana usul tersebut diterjemahkan dalam tindakan oleh UMNO,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad Fauzi yang juga Pengasas Jurisprudens Watan berkata, jika usul itu dihormati oleh perwakilan Cawangan dan Bahagian sehingga calon tunggal bagi Presiden UMNO ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, manakala Timbalannya adalah Datuk Seri Mohamad Hasan, maka kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu telah terpilih tanpa pertandingan.

Justeru katanya, tiada sebab untuk mencabar usul PAU itu.

Namun kata beliau, sekiranya dalam proses penamaan calon Presiden dan Timbalan Presiden terdapat calon lain, maka pertandingan tidak dapat dielakkan.

Pada masa sama katanya, jika usul PAU itu dijadikan asas untuk mengambil tindakan disiplin terhadap calon yang mencabar penyandang sedia ada, dan calon lain dihalang bertanding, atau tidak dikemukakan walaupun selepas melepasi syarat yang dikenakan, dengan tujuan menghalang pertandingan berlaku, barulah timbul isu kedudukan usul PAU itu.

“Kedudukan usul PAU hanya boleh dijadikan isu jika ada penamaan calon yang layak bertanding Presiden dan Timbalan Presiden dihalang untuk mencabar kedudukan penyandang selepas Majlis Kerja Tertinggi dibubarkan, begitu juga apabila tindakan disiplin parti dikenakan kepada mereka yang menyahut penamaan tersebut.

“Jika pertandingan dihalang dengan menggunakan usul tersebut bagi jawatan Presiden dan Timbalan, barulah boleh dilihat sama ada, ada tindakan terhadap mereka yang langgar usul itu sah di sisi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, usul dalam PAU adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan UMNO dari aspek tujuan usul itu dan kesan kepada pelanggaran usul tersebut.

Beliau berkata, usul yang bertujuan meminda peruntukan perlembagaan hanya boleh menguatkuasakan inti pati usul tersebut apabila pindaan peruntukan berkaitan telah dipinda.

“Usul yang berbentuk keputusan pula merupakan satu ketetapan untuk mencapai objektif pertubuhan dan perlu selari dengan peruntukan perlembagaan pertubuhan.

“Perwakilan merupakan kuasa tertinggi kerana mereka boleh pinda peruntukan perlembagaan pertubuhan mengikut tatacara yang diperuntukkan oleh perlembagaan pertubuhan itu serta adanya kuasa lain pada perwakilan itu termasuklah membuat usul dan pemilihan parti mengikut kaedahnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×