Ikatan Jayasama, Shandong Port jalin kerjasama

Ikatan Jayasama, Shandong Port jalin kerjasama

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Ikatan Jayasama dan Shandong Port Overseas Development Group.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ikatan Jayasama Sdn. Bhd. (Ikatan Jayasama), syarikat tujuan khas (SPV) memeterai perjanjian dengan Shandong Port Overseas Development Group Co. Ltd. (Shandong Port) China, antara pengendali pelabuhan terbesar dunia, dalam usaha meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik utama di rantau Asia-Pasifik.

Ikatan Jayasama dalam kenyataannya berkata, perjanjian tersebut membolehkan penerokaan peluang perniagaan yang berpotensi dalam industri pelabuhan di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur serta rantau Asia Timur.

Katanya, perjanjian tersebut dibuat susulan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik Shandong Port dan perjanjian pelabuhan persahabatan dengan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah Sdn. Bhd. tahun lepas untuk memanfaatkan sumber kekayaan Sabah dan meluaskan jejak logistik POIC.

Ikatan Jayasama akan memulakan perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara Shandong Port dan pengendali pelabuhan lain di negara ini.

Ia bermatlamat meningkatkan pendedahan kepada ketersambungan logistik global dan rangkaian rantaian bekalan, sambil memajukan perdagangan dan pelaburan antara negara ASEAN.

Shandong Port juga akan menyediakan akses kepada kemajuan pengetahuan dan teknologi seperti penggunaan automasi dan tenaga hijau di pelabuhan yang boleh mengubah industri pelabuhan Malaysia menjadi lebih mampan dan cekap.

Pengerusi Eksekutif Ikatan Jayasama, Syed Sadiq Albar berkata, perjanjian tersebut menandakan peristiwa penting bagi syarikat yang mempunyai potensi besar untuk meningkatkan daya saing Malaysia sebagai pemain logistik utama di rantau ini.

“Memanfaatkan rekod prestasi cemerlang Shandong dan kecekapan operasi yang kukuh boleh membolehkan pengendali pelabuhan membuka peluang pertumbuhan baharu, menarik pelaburan langsung asing dan mengamalkan lebih banyak amalan hijau.

“Ini dapat memacu industri yang lebih mampan yang boleh memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×