PENUMPUAN dunia kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM menarik perhatian, khasnya dengan pelbagai langkah mentransformasikan kurikulum pendidikan untuk melahirkan pelajar berdaya cipta.
Menariknya, Gagasan Malaysia Madani yang dipelopori oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadikan daya cipta sebagai salah satu daripada enam teras Malaysia Madani.
Antara sebabnya ialah, Malaysia masih dikategorikan sebagai negara pengguna berbanding pencipta, khasnya ciptaan berteknologi yang sering kali tergambar citranya di negara Barat atau Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan.
Insan yang berdaya cipta memiliki bukan hanya pemikiran kreatif dan inovatif, sebaliknya disokong oleh ekosistem yang meraikan pembaharuan atau inovasi-inovasi.
Pembaharuan tidak akan tercipta tanpa adanya sokongan daripada persekitaran yang sering digambarkan dalam Islam sebagai persekitaran solehah, iaitu persekitaran yang menghasilkan insan-insan berkredibiliti tinggi dan terhormat.
Dalam konteks Malaysia, sifat dan sikap berdaya cipta seharusnya bermula ketika anak-anak masih kecil lagi. Pemupukan nilai daya cipta ini tergambar dengan pelbagai aktiviti yang anak-anak lakukan di rumah.
Contohnya, anak-anak membina bangunan menggunakan set lego atau menghasilkan lukisan penuh seni di kertas lukisan (atau dinding rumah)-hal ini kreatif bagi si anak.
Tatkala anak-anak memasuki sekolah rendah, daya cipta mereka boleh diperkembangkan dengan mengajak anak-anak memasuki pertandingan reka cipta.
Rata-rata guru sekolah suka untuk membawa anak murid memasuki pertandingan, khasnya jika bakat anak murid telah mula terserlah dengan memenangi pertandingan tersebut. Hal ini berterusan pada peringkat sekolah menengah dan universiti dengan pelbagai pertandingan reka cipta di peringkat nasional bahkan antarabangsa.
Namun, mengapakah Malaysia, secara umum, masih ketandusan bakat-bakat yang mempunyai daya cipta, khasnya daya cipta yang tinggi?
Satu sebab yang boleh difikirkan ialah, tiadanya penerusan bakat buat anak-anak yang sudah ada sikap berdaya cipta. Bakat ini tenggelam tatkala dia mendapat ekosistem yang tidak membina, khasnya apabila inovasi yang telah cuba dilakukan tidak mendapat sokongan orang sekeliling.
Manusia tidak boleh berperanan secara optimum tanpa dokongan masyarakat. Dalam kaca mata teori pembelajaran sosiobudaya oleh ilmuwan Rusia bernama Lev Vygotsky, manusia mesti hidup bermasyarakat dan ilmu baharu terjana dengan interaksi bersama ahli masyarakat.
Jika masyarakat masih tidak meraikan inovasi, sering bersikap selesa dengan apa yang sedia ada (termasuk senario membabitkan dunia politik, pendidikan mahupun ekonomi), maka sukarlah inovasi memperoleh posisinya.
Syarat berdaya cipta ialah mestilah berinovasi. Jadi, masyarakat yang pro inovasi akan dapat melahirkan lebih ramai ahlinya yang dapat berdaya cipta dan membawa pembaharuan, selaras konsep Malaysia Madani.
Bersangkutan dengan daya cipta ialah kejuruteraan. Tatkala kita terdengar perkataan kejuruteraan atau dalam bahasa Inggeris, engineering, kita akan terbayang kerjaya seorang jurutera dan menjadi salah satu profesion terhormat, sebaris doktor perubatan.
Kejuruteraan mempunyai fungsi yang penting. Dalam konteks pendidikan STEM, kejuruteraan dipercayai menjadi tunjangnya kerana sifat bidang ini yang boleh menjadi penghubung atau jambatan dengan bidang-bidang STEM yang lain, khasnya Sains, Matematik dan Teknologi.
Secara spesifik, pendekatan reka bentuk kejuruteraan (engineering design) menjadi wadah memahirkan para pelajar, sekolah dan universiti, menjadi insan berdaya cipta.
Ini selaras dengan gerakan ‘Maker Movement’ yang berhasrat melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya cipta, melalui STEM, khasnya Kejuruteraan.
Jika pelajar diajarkan dengan pendekatan reka bentuk kejuruteraan, dia akan dibenarkan untuk belajar daripada kesilapan kerana ciptaan atau inovasi yang dihasilkan lazimnya tidak berjaya pada percubaan kali pertama. Sangat mungkin dia akan perlu mencuba kali kedua dan seterusnya, sehingga ciptaannya terhasil dan berfungsi.
Bersempena dengan Hari Kejuruteraaan Sedunia Untuk Pembangunan Mampan 2023, marilah kita memastikan daya cipta, kejuruteraan dan inovasi dijadikan wahana untuk membina dunia yang lestari dan berdaya tahan. Didiklah anak-anak dan anak didik dengan tiga unsur berkenaan agar dunia madani direalisasi seiring dengan kepesatan teknologi.-UTUSAN









