PENULIS blog, Raja Petra Raja Kamarudin yang pernah menjadi rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika awal zaman reformasi pada 1998 dan kemudiannya berubah menjadi lawan dalam ciapan pada 23 Januari lalu menulis: “4 Mac 2023 (hari ini) ialah hari ke-100 Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri yang ke-10. Itulah masanya penilaian perlu dibuat ada ke Anwar berjaya atau gagal.”
Seperti Raja Petra, nampaknya ramai yang berminat untuk menilai prestasi Anwar dalam tempoh lebih tiga bulan itu apabila banyak kaji selidik dibuat seperti penilaian ke atas prestasi Perdana Menteri dan menteri-menteri oleh firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center dari 26 Disember 2022 hingga 15 Januari lalu.
Anwar genap 100 hari menjadi Perdana Menteri pada hari ini setelah mengangkat sumpah secara rasmi pada 24 November lalu, manakala dua timbalan perdana menteri dan 25 menteri yang mengangkat sumpah pada 3 Disember akan genap 100 hari pada 13 Mac ini.
Terbaharu, kaji selidik firma penyelidikan, O2 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Nanban yang dijalankan selama 10 hari dari 6 hingga 16 Februari lalu. Antara dapatan itu adalah 71 peratus Melayu Semenanjung tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Terdapat juga dapatan mendapati 53 peratus Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara dari Disember 2022 hingga Februari lalu bertambah buruk.
Di pihak kerajaan sendiri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) mewujudkan laman web, MyTinjauan Madani untuk mengukur pandangan orang awam berkenaan prestasi Perdana Menteri dan menteri-menteri dalam tempoh 100 hari yang belum didedahkan hasil bancian itu.
Bagi media massa propembangkang menyiarkan semula janji Anwar ketika berceramah suatu ketika dahulu yang dikatakan gagal ditunaikan, “Saya ulang, ditakdirkan kita perintah dalam sedikit masa lagi, hari ini ambil alih kuasa, esok harga minyak turun.”
Dalam usaha menangkis berita-berita negatif tersebut, pasukan komunikasi kerajaan dilihat lebih memberi tumpuan dari aspek metodologi kaji selidik yang dikatakan dibuat secara rawak yang didakwa tidak mencerminkan realiti sebenar di bawah. Bagaimanapun, dalam riuh-rendah itu, satu persoalan yang harus dijawab, relevankah penilaian 100 hari tersebut dalam konteks Malaysia Madani?
Seperti disebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad secara peribadi tidak gemar dengan penilaian pencapaian kerajaan dalam tempoh 100 hari kerana tidak banyak perkara boleh dibuat sesingkat itu. Katanya, mentadbir negeri atau negara bukan macam pelari pecut 100 meter, sebaliknya maraton beribu-ribu kilometer secara berterusan.
SENTIMEN
Ketika pemimpin pembangkang termasuk Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) asyik mengkritik prestasi 100 hari Anwar yang dikatakan kurang memberangsangkan, kita seolah-olah terlupa dengan nasihat berulang kali Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah dan penulisannya supaya konsep Malaysia Madani tidak mengikut acuan Barat.
Ironinya, jika kita membaca pendapat ahli sejarah, penilaian 100 hari adalah idea-idea politik dari Barat dipercayai berakar umbi di Perancis, di mana konsep cent jours (100 hari) merujuk kepada tempoh kepulangan pemerintah negara itu, Napoleon Bonaparte ke Paris dari buangan di pulau Elba pada 1815 dan kekalahan terakhirnya di Pertempuran Waterloo.
Di Amerika Syarikat (AS), konsep 100 hari mula diperkenalkan ketika era Presiden ke-32, Franklin D. Roosevelt pada 1933. Penilaian beliau sepanjang tempoh itu sebenarnya hanya dari segi kejayaan memperkenalkan 77 rang undang-undang baharu dalam tempoh singkat bagi menangani isu krisis ekonomi negara itu.
Bagaimanapun, kebanyakan Presiden AS selepas itu boleh dikategori gagal dalam tempoh 100 hari memerintah dengan sokongan rakyat tertinggi pernah dicapai ialah Presiden ke-35, John F. Kennedy (83%) dan paling teruk Donald Trump (40%).
Walaupun mendapat markah tertinggi, ada pihak menganggap Kennedy yang menjadi Presiden bermula 20 Januari 1961 gagal kerana dalam tempoh 100 hari mentadbir, AS kalah kepada Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) yang melancarkan manusia pertama ke angkasa lepas,Yuri Gagarin pada 12 April 1961.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani yang mengulas kaji selidik terbaharu itu meluahkan kebimbangan pandangan keadaan ekonomi negara bertambah buruk mungkin dipengaruhi sentimen bersifat perkauman dan politik kepartian.
Beliau berkata, orang Melayu cenderung melihat kepada kebaikan dan faedah ekonomi dari segi jangka pendek termasuk mahu kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sehingga kini tidak ditunaikan pemerintah sedangkan langkah itu boleh menyebabkan inflasi apabila peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi harga barangan.
“Saya berpandangan, rakyat khususnya orang Melayu perlu menilai prestasi ekonomi untuk jangka masa panjang dan kena rasional melihat semua keadaan dan bukan berasaskan sentimen-sentimen bersifat perkauman dan kepartian yang banyak mempengaruhi minda atau pemikiran terutama orang Melayu,” katanya.
Oleh itu, usahlah asyik bertelagah tentang prestasi 100 hari kerana ia akan menyebabkan kerajaan terus hilang fokus bagi membantu rakyat. Jika nasihat ini tidak dihiraukan, Malaysia sudah pasti akan terus ketinggalan berbanding negara jiran seperti Indonesia dari segi menarik pelabur asing.
Saya teringat ungkapan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada 2019 yang menegaskan tiada istilah program kerja 100 hari bagi Kabinetnya.
“Ini dalam lima tahun ke depan arahnya kerja, kerja, kerja. Ini arahannya. Nggak ada target 100 hari,” katanya yang diiktiraf Bapak Presiden paling berjaya selama sembilan tahun memerintah.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











