PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat selepas menerima rawatan akibat kecederaan yang berlaku di set penggambaran drama Anak Tuan semalam.
Penerbitnya, Geehan berkata, penggambaran babak melibatkan Fasha itu juga ditunda sementara sehingga pelakon itu sembuh sepenuhnya dan bersedia untuk kembali berlakon.
“Apa yang kita boleh maklumkan setakat ini keadaan Fasha stabil dan menerima rawatan di hospital di Johor. Dia sedang berehat sementara menunggu dipindahkan ke hospital di Kuala Lumpur.
“Kita menunda penggambaran melibatkan Fasha sehingga dia sembuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Fasha dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil semasa menjalani penggambaran tersebut bersama pelakon, Azhan Rani.
Akibat hentakan itu, tulang mata bahagian kiri dramatis itu patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar di Johor Bahru.
Menerusi kenyataan di Instagram, pengurus isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu memohon orang ramai mendoakan kesembuhan dan kesihatan yang baik untuk aktress popular tersebut.
“Seperti yang ramai tahu kakak adalah seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya. Saya yakin kakak kuat,” ujarnya. – UTUSAN











