SENTUHAN unik dan moden mengubah koleksi pakaian muslimah yang terlalu polos. Menghasilkan koleksi eksklusif membuatkan sesuatu jenama itu lebih istimewa.
Semuanya bermula kerana minat menjahit demi mencari duit poket ketika di universiti.
Melihat kepada rekaan pakaian muslimah di pasaran yang terlalu biasa, lantaran itu, Pengasas dan Pengarah Leeyanarahman, Nur Liyana Abdul Rahman, 33, mencuba nasib dengan mereka sendiri dan menjahit baju raya kemudian dijual di Facebook pada 2012.
“Ketika itu masih belajar tapi nak dapatkan duit poket jadi saya cuba nasib. Saya pula minat menjahit jadi saya design sendiri baju raya dan jual di Facebook.
“Tak sangka dalam masa sejam boleh terjual dan habiskan 14 pasang dengan bermodalkan RM1,500 menggunakan duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Daripada keuntungan itulah saya gandakan jumlah pakaian dihasilkan sedikit demi sedikit. Dari 14 pasang berkembang menjadi 50, 100, 500 dan 1,000 pasang sehinggalah saya mampu menjual dalam skala besar. Selepas itu, saya menghentikan rekaan ini dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana dan pakaian yang lain,” katanya kepada Seri.
Meskipun telah mencapai 10 tahun dalam bisnes fesyen, namun bagi anak kelahiran Besut, Terengganu ini, beliau masih belum di tahap berjaya.
“Saya menjalankan bisnes secara dalam talian selama dua tahun, kemudian ambil keputusan untuk buka butik pada Januari 2015.
“Walaupun sudah 10 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari meskipun empayar Leeyanarahman diterima baik dalam industri fesyen,” katanya yang mengusahakan bisnes ini bersama suami, Muhammad Hafiz Abd. Hamid, 33.
MINAT PENTING
Ujar Nur Liyana bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan berjaya dalam perniagaan kerana perlu tanam minat dan tahu selok-belok bisnes yang diceburi.
“Selain minat, usahawan, mesti tahu A sampai Z mengenai bisnes. Sebagai contoh, kalau nak jual pakaian, kena pandai menjahit, tahu selok-belok mengenai design, cutting, materials dan sebagainya.
“Sama juga jika buka restoran. Kita sebagai pemilik atau usahawan mestilah minat dalam memasak. Bila minat, secara tak langsung kita tahu selok-belok pasal masakan. Bayangkan kalau kita buka restoran tapi tidak minat dalam memasak, restoran pasti lingkup jika tukang masak atau cef ‘lari’.
“Sebab itu, kita perlu belajar business knowledge dari masa ke masa. Minat adalah sangat penting dalam sesebuah perniagaan,” katanya.
Namun tambah beliau, ada duit tidak tidak semestinya boleh buat bisnes. Duit bukanlah ukuran boleh membuka bisnes dengan mudahnya.
“Orang kata, ada duit boleh buat apa sahaja tetapi itu tidak tepat. Percayalah, tanpa minat bisnes tidak akan jalan tetapi kalau ada minat, tanpa duit pun pasti boleh mulakan bisnes. Pendek kata jangan bergantung harap 100 peratus kepada manusia, tapi bergantung haraplah pada Allah SWT.
“Seperti saya, Alhamdulillah sehingga hari ini, semua rekaan Leeyanarahman 100 peratus daripada sentuhan dan inspirasi saya sendiri,” katanya.
Ujar Nur Liyana, bisnesnya turut ada fasa kejatuhan, ditipu tukang jahit dan menanggung kerugian yang besar.
“Jatuh bangun adat dalam bisnes. Tapi saya tidak mengalah, saya tetap bangkit untuk berjaya. Pengalaman banyak mengajar saya untuk jadi lebih berjaya. Apa yang penting, kita perlu tahu kemahuan dan kehendak pelanggan, insha-Allah kita boleh pergi jauh,” katanya.
TERBANG KE INDONESIA
Ibu kepada dua puteri ini berkata, beliau dengan dunia fesyen ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan.
“Saya sudah mencuba banyak perkara. Cuba menjual kosmetik malah pernah menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) namun jiwa saya tetap dengan dunia fesyen. Saya tidak boleh tinggal dunia fesyen yang sudah sebati dengan jiwa saya.
“Jadi, untuk masa sekarang saya hanya fokus pada jualan baju dan tudung. Alhamdulillah sehingga sekarang Leeyanarahman dapat kumpulkan 6,000 penjual dan dapat melahirkan ramai jutawan bawah naungan Leeyanarahman.
Melihat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dalam dan luar negara, membuatkan dirinya kuat untuk melangkah ke pasaran negara jiran.
“Kami merancang untuk melebarkan sayap ke Indonesia tahun depan. Satu butik Leeyanarahman akan dibuka di sana. Sebenarnya, kami tidak menyangka mempunyai peminat di negara itu. Ini menjadi satu permulaan untuk kami melihat pasaran luar.
“Selain itu, menjelang puasa tidak lama lagi, kami juga akan membuka cawangan pertama di Kelantan untuk warga pantai timur. Misi kami adalah untuk berkongsi rezeki dan ingin membuka peluang kepada ramai orang menceburi bisnes fesyen, secara tidak langsung melahirkan ramai usahawan di bawah bimbingan jenama,” katanya.
KELUARGA KEUTAMAAN
Sungguhpun tugas menjadi wanita bekerjaya bukanlah mudah namun Nur Liyana bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.
“Setiap hari saya akan masuk pejabat, kerja macam staf yang lain. Jadi, hujung minggu dan akhir bulan adalah masa saya untuk bersama-sama keluarga terutama anak-anak.
“Biasanya saya akan bawa mereka bercuti. Saya sangat utamakan masa dengan mereka kerana waktu anak-anak membesar sebenarnya tidak lama. Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari.
“Sesibuk mana pun mencari duit, tetapi masa bersama keluarga adalah paling berharga. Duit boleh dicari tetapi masa yang pergi akan berlalu dan tidak dapat diulangi kembali,” katanya.
Nur Liyana memegang prinsip untuk mengutamakan keluarga terlebih dahulu berbanding orang luar.
“Prinsip setiap orang berbeza. Saya lebih utamakan keluarga kerana dua fadilat kita akan dapat jika menolong ahli keluarga dahulu iaitu pahala dan silaturrahim.
“Namun jangan lupa pada setiap orang yang ada dibelakang kita, team iaitu staf dan penjual, hargai mereka selagi boleh,” katanya.
WANITA PERLU ADA PENDAPATAN SENDIRI
Pesan Nur Liyana, wanita perlu berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri biarpun berniaga kecil-kecilan selain perlu berilmu.
“Orang kata wanita mestilah beauty with brain. Wanita perlu ada pendapatan sendiri sebab boleh beri duit pada ibu bapa tanpa guna duit nafkah daripada suami, sedekah dan tolong adik-beradik yang susah, sedekah kepada yang memerlukan serta boleh beli barang keperluan dan kehendak sendiri.
“Lagi satu, nasihat saya pada generasi muda, minat bisnes sekalipun atau ingin menjadi pempengaruh, pelajaran tetap perlu diteruskan.










