Nadiya Nisaa antara contoh pelakon yang berdiri atas kekuatan bakat sendiri. Ia terbukti dengan persembahan lakonan berkelas tinggi yang sering disajikan pelakon ini dalam setiap filem dan drama yang dijayakan.
Namun, pelakon berusia 37 tahun ini tidak pernah menafikan, bakat yang dianugerahkan Ilahi itu juga perlu seiring dengan ilmu.
Meskipun kredibilitinya sebagai pelakon sudah diakui, Nadiya tidak segan mengakui, dia masih belajar dan sentiasa berusaha menggali ilmu lakonan.
Kata pelakon Imaginur itu, dia sentiasa mencari guru yang dapat membantu menambah baik dan menyerlahkan lagi bakat lakonannya.
“Buat masa sekarang, saya ambil kelas lakonan bersama pelakon, Farah Ahmad sebagai persiapan untuk drama terbaru yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti.
“Watak yang saya lakonkan dalam drama tersebut cukup berat, jadi saya ambil tiga sesi kelas lakonan bersama Farah,” katanya.
Kata Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-27 ini lagi, dia mengikuti kelas berdasarkan keperluan sebagai persediaan sebelum melangkah ke set penggambaran.
Katanya, dia tidak lokek melaburkan sejumlah peruntukan untuk mendapatkan ilmu bagi memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa.
“Setiap guru lakonan ada kekuatan masing-masing. Begitu juga Farah. Dia dapat membimbing saya untuk membawa watak dengan lebih berkesan.
“Dalam drama tersebut, saya bawa watak seorang ibu yang membesarkan lima anak. Berdasarkan naluri, Farah merupakan cikgu lakonan yang sesuai dan dapat menunjukkan cara untuk saya penuhi tuntutan watak tersebut,” katanya lagi.
Ujar Nadiya, seseorang pelakon perlu terus belajar dan berguru. Katanya, hanya dengan ilmu, kebolehan seorang pelakon dapat dicungkil dengan lebih mendalam.
“Sebagai pelakon, kita kena terus menuntut ilmu supaya lakonan tidak statik dan nampak sama.
“Kita kena dapatkan sisi pandangan orang lain. Pertama, guru lakonan dan kedua pengarah.
“Saya tidak mahu memberikan lakonan yang sama untuk semua watak. Itu pentingnya untuk saya menuntut ilmu,” jelasnya.
Letih dengan cetak rompak
Antara soalan yang dilayangkan kepada pelakon cantik ini adalah berkenaan isu cetak rompak yang terus membarah dan tidak berkesudahan.
Sebagai penggiat seni, Nadiya terpanggil menyuarakan pandangan terhadap isu itu.
Katanya, penonton harus menghargai penat lelah pelakon, penerbit, pengarah, kru penggambaran dan ramai lagi dengan membayar setiap kandungan, sama ada drama atau filem.
“Sebenarnya, penat ulas isu cetak rompak. Tetapi, kita kena buat penonton faham. Untuk menghasilkan drama atau filem perlukan duit.
“Kena ada pulangan untuk membolehkan penerbit menghasilkan karya yang lebih baik.
“Tetapi, disebabkan karya dicetak rompak dan ditonton percuma, penerbit ketiadaan sumber untuk menghasilkan produk yang lebih baik,” katanya.
Kata Nadiya, dia berharap penonton faham ekosistem perniagaan filem dan drama dan tidak membuta tuli melemparkan kritikan tanpa menyelami kesukaran yang dihadapi penggiat industri.
“Saya kecewa apabila ada yang mengkritik dan merendah-rendahkan drama atau filem kita, pada masa sama mereka sokong cetak rompak dan tonton secara percuma.
“Saya harap penonton faham. Disebabkan cetak rompak, penggiat filem dan drama terhalang untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan berkualiti.
“Saya harap penonton dapat memberikan sokongan mereka kepada industri dengan menolak cetak rompak. Hargailah karya tempatan,” tambahnya.











