PENDIDIKAN tahfiz merupakan cabang kepada pendidikan al-Quran yang merupakan salah satu bidang teras dalam mendalami agama Islam. Secara umumnya, pendidikan tahfiz al-Quran bermula dengan pembelajaran paling asas seperti mengenal huruf hijaiyah, mengeja, membaca, mempelajari hukum tajwid dan mengkhatamkan secara bacaan sehinggalah ke tahap menghafaz ayat-ayat.
Formaliti tahap awal pendidikan al-Quran ini sebagai asas utama bagi setiap Muslim sebelum meneroka ilmu-ilmu lain. Amalan ini menjadi tradisi para ulama silam termasuk imam-imam mazhab yang empat. Imam Muhammad Idris al-Syafie umpamanya mendalami ilmu al-Quran dan menghafaznya pada usia tujuh tahun sebelum beliau mendalami ilmu-ilmu lain.
Catatan sejarah juga menukilkan bahawa Khulafa ar-Rasyidin yang empat, iaitu Sayidina Abu Bakar al-Siddiq, Sayidina Umar al-Khattab, Sayidina Uthman al-Affan dan Sayidina Ali Abi Talib juga merupakan penghafaz al-Quran walaupun mereka merupakan ketua pemerintah bagi umat Islam ketika itu.
Mereka merupakan antara generasi para sahabat yang ditarbiah oleh Rasulullah SAW hingga digelar sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’. Generasi yang bukan semata-mata duduk beruzlah dengan ayat-ayat al-Quran yang dihafaz tetapi mempunyai pakej intelek yang tinggi serta berdaya saing, malah mempunyai akhlak mulia seolah-olah seperti al-Quran yang berjalan.
Menelusuri zaman suatu waktu dahulu apabila tamadun manusia berkembang, tradisi keilmuan mula terpisah dua yang mengasingkan konsep ilmu dunia dengan akhirat yang disebut sebagai dualisme dalam sistem pendidikan. Sistem dualisme dalam pendidikan ini boleh dikatakan diguna pakai oleh hampir kebanyakan negara umat Islam.
Natijahnya, wujud dua pola pemikiran yang saling bertentangan dalam usaha untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan. Pendapat pertama mengatakan, untuk berjaya, seseorang individu perlu menguasai bidang profesional atau bidang sains. Pendapat kedua pula ialah golongan yang mencari madrasah atau pondok bagi mendapat kejayaan yang hakiki dengan penguasaan ilmu akhirat.
MUZAKARAH
Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha untuk melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai keseimbangan antara dunia dan akhirat dengan menjalankan usaha-usaha pengintegrasian sistem dualisme ini.
Melalui usaha-usaha yang dipelopori oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Darul Quran, hari ini ibu bapa tidak perlu risau masa depan anak-anak mereka kerana institusi pendidikan berorientasikan gabungan tahfiz dan bidang profesional ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Idea pewujudan program tahfiz profesional ini lahir dalam Muzakarah Masa Depan Darul Quran yang dianjurkan oleh Jakim di Genting Highlands, Pahang pada 2000. Ia telah mengambil keputusan supaya Darul Quran bukan sahaja memainkan peranan melahirkan hafiz dan hafizah yang layak untuk menjadi imam dan guru agama, malah layak untuk menjadi ahli-ahli profesional lain.
Matlamatnya, agar negara dapat melahirkan generasi ulul albab (orang yang mengguna akalnya) yang memahami sains, falsafah dan teknologi bercirikan al-Quran bagi menghadapi cabaran globalisasi di samping mencapai kegemilangan ketamadunan ummah.
Bagi mencapai maksud dan tujuan tersebut, Darul Quran memulakan program tahfiz profesional pada 2000 dengan mengadakan kolaborasi bersama beberapa institusi pengajian. Darul Quran menawarkan kepakaran dalam bidang tahfiz sementara institusi-institusi pengajian ini menawarkan kepakaran dalam bidang profesional.
Bermula dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; diikuti Universiti Tenaga Nasional; Universiti Cyberjaya; Universiti Teknikal Malaysia Melaka; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang; Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi serta Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).
Sehingga kini jumlah graduan yang berjaya dilahirkan melalui kerjasama Darul Quran bersama institusi pengajian ini adalah seramai 2,130 orang. Ada dalam kalangan mereka kini menjadi doktor, jurutera, ahli farmasi dan sebagainya di samping juga seorang penghafaz al-Quran.
Inilah jawapan kepada gagasan Malaysia Madani. Suatu konsep yang diperkenalkan dalam pentadbiran negara yang menekankan kepada pemerkasaan ekonomi serta budaya, bahkan paling penting berteraskan nilai, etika dan akhlak. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Darul Quran.











