KEMPEN menu makan tengah hari atau makan malam semurah RM5 memang menarik perhatian dan banyak yang memperkatakan mengenainya. Difahamkan kempen itu bertujuan meringankan beban golongan kurang kemampuan yang berdepan kenaikan harga barang tidak terkawal.
Malah, kempen ini juga khabarnya bersandarkan nilai-nilai keinsanan yakni prihatin dengan tekanan hidup golongan berkenaan. Oleh hal demikian, dengan adanya kempen itu, golongan disasarkan mendapat makanan diet yang cukup pada harga RM5.
Dari sudut angka, menu RM5 memang mengujakan. Malah, hal itu juga mencetuskan sensasi sekali gus menjenamakan kerajaan semasa. Di media sosial, menu RM5 menjadi kata kunci paling popular. Maka, dengan sengaja jenama menu itu tidak disebut di sini.
Belanja sara hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur memang tidak terjangkau oleh golongan berpendapatan rendah. Belanja makan mengambil sebahagian besar daripada keseluruhan pendapatan golongan berkenaan. Itu pun hanya makan menu marhaen – nasi putih, ikan goreng dan sayur. Harganya tidak ada yang kurang RM10.
Itulah belanja makan orang marhaen di Kuala Lumpur. Bukan pilihan, akan tetapi satu keterpaksaan. Tidak ada lagi yang lebih rendah daripada itu. Sebab itulah apabila ada menu makan tengah hari atau malam berharga RM5, kita mengharapkan kualiti dan kuantiti yang bukan RM5.
Sekali pandang, menu semurah itu memang sangat baik. Akan tetapi apabila beberapa kali pandang dan fikir, golongan sasaran tetap terdedah pada manipulasi. Akhirnya, membawa mereka terperangkap antara kempen penjenamaan dan hakikat untuk terus hidup.
Dari sudut jenama, kempen menu itu sangat berjaya. Ledakan di media sosial telah menyampaikan mesej kewujudan satu jenama. Tidak ada yang tidak tahu akan jenama itu. Mesejnya tentulah tingginya nilai keinsanan kerajaan semasa terhadap golongan marhaen.
Ibaratnya kalau ada hati gajah, golongan itulah yang sama-sama melapahnya, kalau hati kuman sama-sama pula dicicah. Menikmati susah dan senang bersama-sama antara kerajaan dan rakyat. Konsep dan definisi memang sangat cantik.
Walaupun begitu, yang perlu dilihat adalah hakikat, bukan konsepnya. Penyediaan menu RM5 itu secara sukarela. Maknanya, tidak ada sebarang pemantauan untuk memastikan menu itu bukannya berharga RM10 yang kemudiannya dibahagi dua.
Konsep membantu mengurangkan beban golongan marhaen itu sebenarnya makan menu bernilai RM10, tetapi dibayar hanya RM5. Kualiti dan kuantiti serta diet menunya bukan RM10. Yang RM5 lagi itu berupa sumbangan. Maka, sudah tentu tidak semua penjual terutama yang kecil mampu menyahut seruan itu.
Itu lebih pada tanggungjawab restoran yang besar dan mengadakan menu RM5 sebagai satu khidmat sosial kepada masyarakat. Penjual kecil pula tidak perlu berasa terbeban hingga ada yang mencadangkan dinaikkan pada RM6 atau RM7. Tujuannya menampung belanja bahan mentah yang tinggi.
PASAR BORONG
Maka, kita sangat berharap menu RM5 melampaui penjenamaan baharu. Oleh yang demikian, kempen ini perlu dilakukan dengan serius – fokus pada restoran besar dan pantau kualiti makanan. Dengan cara ini, kalau perlu kerajaan boleh menyalurkan bantuan berupa subsidi bahan mentah kepada restoran yang berdaftar untuk menu RM5.
Berkonsep sukarela dan tanpa pemantauan bukanlah cara yang terbaik membantu golongan sasaran. Sekiranya berlaku manipulasi, golongan marhaen yang teraniaya – hanya makan kuantiti dan kualiti setaraf RM5. Penjual mendapat keuntungan apabila kuantiti jualan meningkat.
Oleh hal itu, kerajaan tidak boleh lepas tangan terhadap kempen ini.Sudahlah tidak melibatkan peruntukan daripada kerajaan, memantau pun tidak. Hanya berharap semua penjual tidak manipulasi untuk kepentingan peribadi. Bersangka baik pun ada hadnya.
Kerajaan perlu kelihatan berperanan dan sememangnya melakukan sesuatu untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Kelihatan prihatin sahaja tidak cukup melainkan kesan usaha itu sampai kepada golongan sasaran.
Menu RM5 itu sebenarnya satu paradoks. Kerajaan hanya melancarkan kempen supaya penjual menurunkan harga menu hingga serendah RM5, masa yang sama tidak berusaha mengekang kenaikan harga barang keperluan. Harga barang naik menggila. Golongan yang tidak membeli menu RM5 terpaksa menanggung kenaikan harga barang itu.
Cuba lihat kenaikan harga barang makanan antara 13 Januari dan 1 Februari lalu di Pasar Borong Kuala Lumpur. Seperti tidak percaya tetapi ini adalah kenyataannya. Ini juga bukan ‘cubaan,’ tetapi itu benar-benar berlaku. Adakah pada tanggapan kerajaan semua dalam kalangan golongan sasaran membeli menu RM5 setiap hari?
Pada 13 Januari lalu, harga timun adalah RM1.80 sekilogram. Akan tetapi menjadi RM6.80 pada 1 Februari. Berapa peratus kenaikan harga itu? Mungkin menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal harga barang makanan boleh tolong menjawabnya.
Akan tetapi janganlah mengesyorkan supaya memulaukan penjual yang menjual timun. Kacang panjang pula memang memanjanglah kenaikan harganya. Pada 13 Januari, harga sekilogram adalah RM7 menjadi RM10 pada 1 Februari. Dalam masa lebih kurang dua minggu melonjak RM3 sekilogram.
Daripada mengesyorkan kempen menu RM5, sepatutnya kerajaan melihat secara mikro kenaikan harga barang keperluan. Adakah kenaikan itu turut dinikmati oleh petani atau pihak yang di tengah-tengah? Jangan pula ada cadangan mengimport timun dari luar negara. Kelakar sangat bunyinya.
Memanglah, kata kunci ‘rakyat’ menjadi algoritma paling popular dalam kalangan pemimpin. Semuanya demi rakyat. Akan tetapi apabila melihat bebasnya harga barang keperluan dinaikkan, di mana ‘rakyat’ yang selalu disebutkan itu?
Sampai bilakah rakyat marhaen akan terus dihidangkan dengan menu RM5? Sepatutnya mesti ada bingkai masa – setahun, dua tahun atau sepenggal. Bila pula hendak bersungguh-sungguh bab kenaikan harga barang keperluan? Sepatutnya sudah bertindak. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











