TAJUK di atas diletak tanda soal mengambil kira politik Malaysia dalam lima tahun kebelakangan ini penuh kejutan. Pendek kata amat dinamik. Dalam bulan-bulan mendatang ini, terutama ‘bulan 6’, apakah berulang ‘dinamik’ disebutkan itu?
Tiada siapa sangka ‘Langkah Sheraton’, Februari 2020 tiba-tiba menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih secara demokrasi oleh pengundi. Akaun bersumpah (SD) kali terakhir digunakan dalam menyelesaikan krisis politik di Perak, 11 tahun sebelum itu dijadikan platform penentu kerajaan – yang didakwa pengkritik dan ‘pembangkang’ sebagai istilah ‘kerajaan pintu belakang atau tebuk atap.’
Kedinamikan politik berupa ‘secara tiba-tiba’ atau bikin kejutan, berbahaya kepada sesebuah negara dari aspek kestabilan rakyat dan daya tahan saing ekonominya. Dengan amat bergantung pada ‘angka/nombor’, mana-mana parti politik yang membentuk kerajaan terpaksa lebih berwaspada terhadap tindak-tanduk karakter tertentu ahli parti sendiri. Khuatir kemunculan ‘dedalu’.
Hakikatnya tidak bernasib baik bagi mana-mana parti masih berdepan dengan ‘ribut dalam cawan’. Apa lagi jika parti itu menjadi salah satu komponen utama pendukung tegaknya kerajaan. Yang jadi masalahnya apabila storm in a tea cup itu tertumpah keluar. Pokok persoalannya siapa yang rugi, siapa untung?
Dan faktor ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat jika dijadikan perkiraan strategi atau ‘peluru’ kempen untuk menang dalam enam pilihan raya negeri (PRN) kelak, sasaran atau harapan itu molek dikategorikan 50-50. Selain kerusi-kerusi marginal kini banyak, penangan pengundi muda menjadikan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbuka untuk mana-mana parti menerobosnya.
LAUNGAN KETUANAN
Ketuanan tidak lagi boleh dipergantungkan sangat, lantaran sifat itu lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan perlembagaan. Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab dan disiplin politik.
Mana-mana parti politik Melayu hari ini pun tidak boleh mengakui parti mereka kuat. Sekadar ahli berjuta untuk memenangkan parti, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) membuktikan bacaan itu salah. Yang utama adalah kesatuan.
Sekadar melaung-laungkan sentimen agama atau berkempen secara provokatif pula, ia barangkali berupa strategi jangka pendek. Lama-kelamaan muslihat itu pasti disedari pengundi bilamana merit memerintah negeri tersasar dari kecapaian.
Mendepani hari-hari mendatang, Malaysia amat perlukan kestabilan, yang dalam konteks negara ini bertunjangkan keharmonian politiknya. Boleh ambil teladan dari analogi disebut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), dipercayai semasa kempen PRU 2013 (#boleh diikuti di YouTube dikeluarkan 23 Jun 2016). Semasa itu UAI bercakap soal “Kita perlu rakan bukan Islam” ketika berkempen untuk Pas di kerusi DUN N.12 Beserah, Pahang. Begini bunyinya:
“Kalau rumoh kite tebako…kite tepon bomba. Bomba mari…doh doh bomba Cina. Eh! tak nak ah bomba Cina. Kite nok bomba Melayu. Bakpe pulok…bomba Cina haram. Bodo lah kite. Rumoh tengoh terbako oo…sekarang negara kite sedang terbakar. Kite perlukan rakan-rakan bukan Islam untuk membantu kite memadamkan kebakaran yang melanda…”
Dan ada ketika kita boleh gelak sendirian bila ada parti tertentu mencerca parti saingannya yang berkawan dengan parti bukan Melayu. Padahal kalau dilihat sejarah parti yang mengkritik itu, selama kira-kira 10 tahun bersahabat baik dengan parti bukan Melayu terbabit. Adakah semasa dulu kepimpinan parti bukan Melayu itu diterajui orang lain. Tidak juga kerana masih lagi sama wajah, perawakan serta penampilannya.

DINAMIK
Politik Malaysia hari ini sungguh dinamik dengan sekejap sahaja rakyat boleh buat keputusan suka atau tidak. Parti anda menang besar tiga bulan lalu, tetapi tidak mustahil empat bulan akan datang bila berlaku pilihan raya, parti anda barangkali hidu asap sahaja.
Usah terbuai dengan ‘data’ tidak pasti. Polling boleh sahaja dipacak di portal berita tertentu. Dari satu polling ke satu polling, menjadi berbelas, berpuluh, beribu, berjuta. Cumanya adakah itu ukuran yang tepat?
Untuk menang pilihan raya, formula mana-mana parti serupa sahaja. Harus kerja 10 kali ganda lebih kuat dengan kaedah yang strategik. Mesra rakyat. Jangan sombong. Dekati pengundi. Ziarah kasih.
Pergi masjid. Walk-about. Aktif media sosial. Buat program kecil-kecil tetapi banyak. Prihatin rakyat. Pergi kenduri-kendara. Bantu yang susah. Beri surat sokongan. Jumpa yang berkuasa untuk buat pembangunan. Lama sebelum PRU atau PRN mesti sudah dibuat. Bukan hanya aktif dekat PRU.
Yang di kawasan pilihan rayanya ramai pengundi Cina perlu kerja berlipat kali ganda. Mereka tidak bersama parti Melayu. Nasib orang Melayulah Allah uji dengan perebutan kuasa. Mesti satukan semua politik Melayu. Berbaik sangka walau apa pun yang terjadi. Wajib. Barulah ada peluang untuk berjaya dan dilihat oleh rakyat.
Namun, masih belum tentu boleh menang PRN jika berbalah sesama sendiri. Cah keting. Dengki dan iri hati. Sama-sama kita muhasabah diri. Dan semua ini menjawab ketidakpastian hujah enam PRN yang dijadual berlangsung Jun nanti menjadi penentu tegaknya kerajaan perpaduan. – UTUSAN











