SEORANG ahli Parlimen pembangkang menjadikan isu tidak ramai anggota Kabinet mendengar perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, petang 15 Februari lalu. Bagi beliau, apa yang berlaku di Dewan Rakyat adalah pertama kali dalam sejarah di mana seolah-olah pandangan Ketua Pembangkang tiada nilai langsung di pihak kerajaan berdasarkan kekosongan kerusi blok anggota Kabinet sewaktu Ketua Pembangkang berucap.
Kehadiran dan ketidakhadiran di Parlimen oleh anggota Kabinet khususnya dan ahli-ahli Parlimen umumnya telah menjadi satu fenomena menarik yang diperbincangkan dengan hangat dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kumpulan masyarakat sivil, MyMP yang menganalisis Hansard Dewan Rakyat untuk lima persidangan berjumlah 71 hari dari 2021 hingga 2022 mendapati tiga ahli Parlimen terkanan dengan rekod kehadiran paling rendah adalah pemimpin pembangkang.
Mereka ialah pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan 17 hari, Hamzah selaku Setiausaha Agung Bersatu (20 hari) dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (21 hari).
Umumnya, ketidakhadiran anggota Kabinet dalam keadaan perbahasan biasa sebenarnya bukanlah satu isu besar kerana kandungan perbahasan boleh dibaca semula melalui Hansard Parlimen pada keesokan harinya dan pegawai dari setiap kementerian turut berada di dalam Dewan Rakyat untuk mencatatkan segala perkara dibangkitkan. Ini kerana anggota Kabinet yang berfungsi sebagai badan pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang serta sebagai penasihat Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas-tugasnya mempunyai tanggungjawab amat besar yang memerlukan mereka sering menghadiri mesyuarat-mesyuarat, majlis-majlis dan urusan-urusan penting negara.
Malah penelitian ke atas rekod persidangan Parlimen di negara-negara luar yang lebih maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia juga menunjukkan anggota Kabinet dalam keadaan perbahasan biasa tidak sentiasa hadir di Parlimen.
Apatah lagi apabila Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat di negara kita tidak mensyaratkan kehadiran anggota Kabinet dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada bila-bila masa. Apa yang ada hanyalah Peraturan 13(1) berbunyi, “Cukup bilang bagi Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.”
Begitupun, ada keadaan-keadaan tertentu yang memerlukan anggota Kabinet hadir di Parlimen khususnya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) mahupun sesi soalan lisan kerana mereka berkewajipan menjawab soalan dan soalan tambahan membabitkan kementerian masing-masing.
MITI
Antara insiden besar membabitkan anggota Kabinet ialah ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Senator Datuk Lim Ban Hong di Dewan Negara pada 21 Mac 2022. Ketidakhadiran kedua-dua mereka menjadi isu kerana MITI sepatutnya menjawab soalan dikemukakan oleh Senator Muhammad Zahid Md. Arip menyebabkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim meminta ketidakhadiran mereka yang dinyatakan tidak selaras dengan peraturan mesyuarat dan semangat akta, dicatatkan.
Satu lagi keadaan yang memerlukan anggota Kabinet hadir di Parlimen ialah apabila adanya pengundian ke atas usul penting kerajaan serta adanya perbahasan membabitkan kementerian mereka sewaktu pembentangan usul penting seperti belanjawan tahunan. Satu contoh nyata ialah kegagalan kerajaan meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi pada 23 Mac 2022 kerana ketidakhadiran anggota Kabinet dan ahli-ahli Parlimen kerajaan.
Usul yang dikemukakan oleh Hamzah selaku Menteri Dalam Negeri waktu itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagi dibuat menyaksikan hanya 85 ahli Parlimen menyokong manakala 86 lagi menolak sementara 50 tidak hadir.
Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan ini, maka nyatalah PN yang sebenarnya lebih banyak bermasalah dalam isu ketidakhadiran di Parlimen. Malah, masih ingat lagi sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau boleh tidak hadir menggulung perbahasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen pada 26 Julai 2021.
Ketua Pembangkang waktu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hal tersebut amat memalukan sambil menegaskan Parlimen tidak harus dipermainkan kerana belum pernah dalam sejarah sejak merdeka hingga ke hari itu, soal perlembagaan dan perundangan yang ditanya kepada Perdana Menteri hanya dijawab oleh Menteri Kewangan. Sebaliknya, sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, banyak sekali komitmen tinggi ditunjukkannya untuk membuat transformasi dan memperkasakan badan Parlimen selaras Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai tanggungjawab secara bersama jemaah menteri kepada Parlimen.
Pada 14 Februari lalu, Anwar berkata, proses mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya perlu dipercepatkan bagi memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif.
Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen ini telah dirancang dan diusahakan sewaktu Anwar merupakan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat pada 2018 hingga 2020 lagi. Malangnya waktu itu yang menjadi Perdana Menteri adalah orang lain. Begitu juga dengan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) yang buat kali pertamanya diperkenalkan oleh Anwar yang akan mula menjawab soalan ahli-ahli Parlimen pada setiap Selasa dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Yakinlah, Malaysia Madani di bawah pentadbiran Anwar, anggota Kabinet dan Perdana Menteri akan jauh lebih bertanggungjawab terhadap Parlimen. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar doktor falsafah program sains politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.











