BERMULA kelmarin hingga 30 Mac ini, selama 29 hari, Dewan Rakyat bersidang. Seperti selalunya, sidang ini sentiasa dinanti-nantikan kerana ia menyediakan wahana sebagai tempat tertinggi urusan pemerintahan negara diperbahaskan.
Di dalamnya, ahli-ahli Parlimen berkesempatan menanyakan apa-apa sahaja persoalan yang bermain dalam fikiran mereka mengenai pentadbiran kerajaan kepada jemaah menteri yang berkewajipan menjawabnya, baik secara lisan atau bertulis.
Sidang ini juga amat penting sekali kerana pada 24 Februari ini menyaksikan Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri bakal membentangkan semula Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang akan menentukan hala tuju negara, tahun ini.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Parlimen Ke-15.
Di dalamnya, cukup banyak sekali pengharapan dizahirkan Seri Paduka kepada kerajaan perpaduan yang berulang kali dirujuk sebagai ‘kerajaan beta’ yang seharusnya menjadi indikasi kepada pihak-pihak yang masih mempertikaikannya.
Ditegaskan betapa Seri Paduka menyambut baik permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti-parti kerajaan perpaduan yang selari dengan cetusan hasrat murni Seri Paduka untuk membentuk sebuah kerajaan stabil dan utuh.
Dengan itu barulah boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya kesejahteraan rakyat.
Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan ke atas pengenalan inisiatif Malaysia Madani merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah dengan harapan prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka mencipta lonjakan buat negara.
Antara yang utama dititahkan oleh Seri Paduka adalah penghargaan ke atas komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar serta usaha membendung isu ketirisan dana awam.
RAHMAH
Selainnya adalah tumpuan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara menjadi destinasi pelaburan pilihan serta usaha merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi melalui program pembangunan sosioekonomi seperti agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerima gunaan teknologi, keusahawanan serta pembangunan modal insan.
Turut dinyatakan adalah pujian Seri Paduka ke atas usaha memperkasa fungsi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara serta keyakinan semangat ihsan dan inisiatif Rahmah akan mampu membawa perubahan dalam memberikan jaringan perlindungan sosial seterusnya membendung isu kos sara hidup.
Serentak itu, Seri Paduka menyatakan dukungan ke atas usaha menambah baik undang-undang bagi memastikan kebebasan institusi dan tadbir urus termasuklah pembaharuan sistem perundangan, pengadilan jenayah dan institusi penjara.
Ingatan juga diberikan kepada kerajaan supaya terus mempergiat usaha berterusan dan bersepadu bagi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman supaya kekal aman, sejahtera dan berdaulat termasuk menghentikan kaedah lama penyelenggaraan serta perolehan peralatan dan kelengkapan baharu yang merugikan serta melemahkan pertahanan negara.
Paling penting, penegasan Seri Paduka mengenai pembukaan seluas-luasnya ruang kepada ahli-ahli Parlimen untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan demi masa hadapan negara.
Besar sekali harapan Seri Paduka bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri terakhir buat Seri Paduka sebelum berangkat pulang ke Pahang pada 30 Januari 2024.
Harapan besar Seri Paduka ini seharusnya mampu ditunaikan oleh ahli-ahli Parlimen sekiranya kesemua mereka memasakkan dalam hati sanubari ingatan supaya berkhidmat setulus hati, ketepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan.
UNDI PERCAYA
Harapan besar Seri Paduka ini sememangnya boleh difahami kerana walaupun Anwar telah membuktikan keabsahan melalui kelulusan dua per tiga usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu, kelihatan masih ada usaha dibuat untuk mempertikai malah menggoncang kedudukan beliau dan kerajaan.
Hari yang sama Seri Paduka menzahirkan sambutan baik dan penghargaan ke atas permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti-parti kerajaan perpaduan serta pengenalan inisiatif negara madani, hari itu juga seorang pemimpin tertinggi parti pembangkang mengeluarkan satu artikel panjang lebar bagi menyerangnya.
Dilaungkan oleh pemimpin pembangkang ini bahawa penubuhan kerajaan perpaduan menipu rakyat dan seluruh dunia; bahawa kerajaan ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan serta kalangan oportunis; dan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah dua kumpulan ‘berpenyakit.’
Sesungguhnya kenyataan-kenyataan begini adalah tindakan terkebelakang yang tidak bertanggungjawab dibuat oleh pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kegagalan mereka membentuk kerajaan.
Tuduhan-tuduhan semberono inilah yang sentiasa memarak perpecahan dan permusuhan sesama rakyat.
Seharusnya mereka menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, yang tidak lagi cuba memanaskan emosi para penyokong mereka. Sebaliknya mereka perlu bertindak rasional dengan memberi maklum balas yang objektif dan konstruktif ke atas segala yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan.
Jika berpendapat golongan mereka adalah baik, sepatutnya mereka menyertai sama kerajaan perpaduan untuk memasukkan sama agenda mereka ke dalam agenda kerajaan. Tapi apabila mereka sendiri menolak saranan bagi menyertainya maka mereka sewajibnya memberi ruang kepada kerajaan.
Seperti dititahkan oleh Seri Paduka, cukup-cukuplah dengan agenda politik sempit masing-masing, usahlah diganggu perjalanan kerajaan perpaduan dan tunggulah pilihan raya umum seterusnya pula untuk meneruskan usaha mengambil-alih tampuk pemerintahan.
Jika tidak, buruk imej parti mereka di mata rakyat bila seolah-olah menyanggahi Seri Paduka. – UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban.











