PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM157 juta di UiTM Holdings.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, siasatan itu memberi fokus kepada beberapa isu khususnya melibatkan dana dan beberapa pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Kata beliau, tumpuan dan fokus siasatan berkenaan terhadap kes-kes yang disyaki melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Isu kerugian RM157 juta terlalu umum dan SPRM akan memperincikan setiap isu yang dikatakan tersebut dan sekiranya berlaku rasuah dan penyelewengan maka ianya tidak akan terlepas dari siasatan SPRM.
“Bukan semua pelaburan atau perbelanjaan melibatkan perbuatan jenayah. Ianya juga melibatkan isu tatakelola dan pengurusan yang lemah,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, jika siasatan SPRM mendapati terdapat perlakuan berkaitan jenayah khususnya rasuah maka kertas siasatan akan dibuka.
Pada 7 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan UiTM Holdings mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM157.04 juta bagi tempoh empat tahun berturut-turut.
Berdasarkan laporan kewangan pada 2017 dan 2021, syarikat yang menjadi harapan UiTM itu juga didapati tidak memaklumkan laporan kewangannya bagi tahun 2020, justeru kerugian terkumpul dicatatkan dalam tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM157.8 juta.
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diperoleh Utusan Malaysia, anak syarikat UiTM yang ditubuhkan pada 2007 itu pernah mencatat keuntungan keseluruhan sebanyak RM26 juta pada 2011, 204, 2015 dan 2016.
Susulan laporan didedahkan Utusan Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings mengesahkan isu kerugian RM157.04 juta syarikat itu sedang disiasat SPRM.
Jurucakap syarikat itu berkata kepada Utusan Malaysia, dakwaan terhadap perkara itu bukan baharu, malah SPRM sudah pun mengambil tindakan lebih dua tahun lalu untuk menyiasat dakwaan terhadap ketidakcekapan dalam pengurusannya sehingga mengundang kerugian besar dalam tempoh empat tahun berturut-turut.
Malah, anak syarikat UiTM itu menjelaskan, syarikat itu kini di bawah pengurusan baharu sejak Disember 2021 dan menekankan tadbir urus korporat yang baik serta memastikan perniagaan dijalankan benar-benar berpotensi dan berdaya tahan.
Menurutnya, syarikat itu juga tidak lagi menguruskan perniagaan milik UiTM seperti Intekma Resort dan Convention Centre selepas aset berkenaan sudah pun dikembalikan semula pada universiti itu sejak 2019. – UTUSAN










