Keputusan rayuan NFCorp terhadap Public Bank ditangguh

Keputusan rayuan NFCorp terhadap Public Bank ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain berhubung saman terhadap Public Bank atas dakwaan pelanggaran kontrak, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada tarikh lain.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk P. Ravinthran dan Datuk S. Nantha Balan menangguhkan keputusan kerana perlu meneliti penghujahan peguam-peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Hakim Azizah pada akhir prosiding memberitahu, pihak-pihak akan dimaklumkan berhubung tarikh keputusan yang akan ditetapkan kelak.

Kelima-lima perayu diwakili oleh barisan peguam diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala pihak bank diwakili oleh Yoong Sin Min.

Perayu-perayu terdiri daripada NFCorp Sdn. Bhd., Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikatnya, National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah panjang lebar bahawa bank berkenaan melanggar kontrak kerahsiaan sehingga menyebabkan maklumat sulit anak-anak guamnya tersebar kepada umum.

Hujah beliau, Mahkamah Tinggi gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya berhubung peranan salah seorang kakitangan bank itu sehingga menyebabkan maklumat tersebut bocor dan terdedah kepada pihak lain.

Sementara itu, Sin Min berhujah bahawa bank tidak boleh dipersalahkan berhubung kebocoran maklumat kepada pihak lain.

Peguam itu turut mempersoal mengapa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak dinamakan sebagai pihak dalam saman itu, sebaliknya perayu-perayu memfailkan saman berlainan terhadap beliau.

Kelima-limanya merayu keputusan
Mahkamah Tinggi pada 29 Julai 2019 yang menolak saman mereka terhadap Public Bank atas dakwaan pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Hakim Datuk Seri Su Geok Yam ketika memutuskan demikian turut memerintahkan semua plaintif membayar kos RM350,000 kepada Public Bank.

NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga anak syarikat menyaman Public Bank pada 22 Mei 2012 kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

Mereka mendakwa, maklumat akaun bank yang dibocorkan itu digunakan oleh Rafizi untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.

Mereka menuntut RM60 juta untuk ganti rugi am, RM250 juta sebagai ganti rugi teladan dan RM250 juta sebagai ganti rugi teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN