PdPR: Ibu 9 anak sedih anak kongsi telefon - Utusan Malaysia

PdPR: Ibu 9 anak sedih anak kongsi telefon

Penggunaan komputer riba penting bagi melaksanakan kaedah PdPR - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang ibu tunggal sembilan anak sedih melihat anak-anaknya yang bersekolah terpaksa berkongsi dua telefon pintar miliknya dan arwah suami untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Saaidah Puteh, 40, dia mempunyai tujuh anak yang bersekolah dan lima daripadanya juga terpaksa menunggu giliran menyiapkan tugasan diberikan guru masing-masing.

“Lima anak daripada tadika hingga tingkatan empat berkongsi dua telefon pintar untuk sertai PdPR dan kadangkala terpaksa pinjam telefon milik abang mereka dan sepupu yang tinggal berdekatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nasib baik juga ada dua telefon pintar kepunyaan saya dan milik arwah suami, Zainol Abidin Ibrahim,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dewan Alor Malai di sini semalam.

Lima anak Saaidah yang menjalani PdPR ialah pasangan kembar, Nurul Alia Aneesa Zainol Abidin dan Nurul Alia Areesa, 6; Nurul Aliah Aqilla, 9; Nurul Alia Alesya, 12, dan Muhammad Zuffar Azriel, 16.

Seorang lagi anaknya, Nurul Aliah Athirah, 18, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani persekolahan bersemuka.

Tiga lagi anak Saaidah ialah anak sulungnya, Muhammad Zuffar Aliff, 20, telah bekerja manakala Muhammad Zuffar Aidil, 15, adalah orang kelainan upaya (OKU) dan Nurul Alia Afiyya yang berusia dua bulan.

Saaidah memberitahu, dia tidak mampu membeli gajet baharu kerana tidak bekerja dan hanya bergantung kepada faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami yang meninggal dunia akibat kencing manis pada Oktober tahun lalu.

“Wang itu saya gunakan untuk menampung perbelajaan harian kami sekeluarga selain turut dibantu saudara mara yang tinggal berdekatan,” jelasnya.

Tambahnya, komputer riba lebih sesuai untuk kegunaan kelas dalam talian iaitu secara langsung menerusi aplikasi Zoom.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal itu boleh berbuat demikian melalui akaun Saaidah Puteh, 0299541100679703 Bank Simpanan Nasional. _UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×