Jangan mudah terpesona sebelum terlaksana - Utusan Malaysia

Jangan mudah terpesona sebelum terlaksana

TIDAK salah parti politik berjanji kepada rakyat sesuatu yang boleh membawa kebaikan ketika kempen pilihan raya tetapi yang lebih penting adalah merealisasikannya apabila menjadi parti pemerintah. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERJEMAH ke dalam bentuk tindakan dan penghasilan bukan semudah apa yang dikata atau diucap. Tegasnya, cabaran besar terpaksa dipikul oleh setiap individu atau mana-mana pihak tertentu yang tahu mengkritik, suka mengemukakan cadangan dan perubahan, kerap memberi nasihat atau sindiran ialah menentukan apa yang ditutur dan dilafazkan itu dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan apabila mendapat peluang melakukannya.

Sering disebut sebagai cakap tidak serupa bikin, itu kebimbangan dihadapi oleh banyak pihak apabila gagal melaksanakan sesuatu idea dan pandangan yang pernah diutarakan. Masyarakat mahu melihat penghasilan, bukan lagi alasan. Kalau tahu cakap, maka diharapkan tahulah apa yang boleh dibuat.

Diperkatakan hal ini bertujuan mencari harmoni dan kelegaan kepada umum. Agar tidak timbul sangsi dan kecewa dalam aspek pelaksanaan sesuatu pandangan dan cadangan. Sasaran catatan ini adalah secara umum. Mungkin kepada mana-mana individu yang bergelar pemimpin, ketua organisasi, peneraju parti-parti politik, bahkan kepada sesiapa jua yang tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak salah melontar pandangan, mengusul sesuatu yang boleh membawa kebaikan. Namun yang lebih penting ialah soal keupayaan merealisasikan apa yang diusulkan itu apabila peluang sudah berada di tangan. Syukurlah, jika segalanya berupaya dilaksana menepati apa yang direncana.

Ada berpandangan, suatu kecenderungan besar di akhir-akhir ini bagi sesetengah individu atau pihak-pihak tertentu suka mempromosi diri dan kelompok-kelompok yang diwakili, untuk meraih sokongan dan keyakinan umum.

Terpancar kenyataan seolah-olah hanya mereka atau pihak mereka sahaja yang mampu merencana, mengubah suai, mengatur dasar atau mencipta kaedah pelaksanaan terbaik dalam sesuatu hal atau isu terutama membabitkan kepentingan umum.

Masyarakat, tidak kira ahli keluarga, kakitangan pejabat atau mana-mana kelompok organisasi malah rakyat umumnya sentiasa mengharapkan sesuatu rumusan terbaik dalam sebarang ehwal terutama yang membabitkan soal kebajikan dan kepentingan bagi kehidupan mereka. Apa yang dicadangkan terbaik untuk mereka, itulah mereka harap untuk dinikmati.

Sebuah restoran yang menawarkan masakan enak, tentulah mudah menarik perhatian pelanggan. Sebaliknya, bayangkan betapa kecewanya pelanggan jika hidangan yang disediakan tidak seenak sebagaimana yang dipromosikan.

Menawarkan sesuatu yang baik dan menarik selalunya teriring dengan cabaran menentukan apa dijanji itu ‘menjadi.’ Tawaran adalah cagaran bagi pelanggan atau khalayak yang menjadi sasaran.

Adakala perlu dilihat pada sudut logik atau musabab. Ini kerana mungkin ada pihak hanya tahu membuat janji bulan dan bintang atau menukar kaca menjadi intan tetapi apabila tiba waktunya, berlakulah kegagalan untuk direalisasikan.

Maka dihadirkan pula seribu alasan sejuta helah. Lalu, mereka yang menunggu janji dengan penuh harapan akan terus terbuai dengan pelbagai bentuk madah berhelah dan impian pun tiada kesampaian. Di penghujungnya, kumpulan sasaran mula sedar, rupa-rupanya janji diberi semata-mata sekadar mahu memancing undi atau untuk meraih sokongan.

GELANGGANG

Percayalah, kepalsuan tidak mengatasi ketulenan. Hanya pendekatan yang jujur dan ikhlas menjanjikan kejayaan dan keberkatan. Banyak negara di dunia di mana rakyatnya bertukar kecewa dan putus harapan apabila terpesona dengan propaganda kumpulan-kumpulan penggerak meruntuhkan kerajaan, akhirnya tidak menghasilkan apa-apa selain hanya huru-hara dan tergugat kestabilan yang sukar diselesaikan.

Justeru, hati-hati dengan sikap hanya pandai bercakap, tetapi belum tentu mampu dibuat. Bertepuk, berteriak di luar gelanggang belum tentu permainannya hebat apabila tercampak ke tengah gelanggang.

Dalam konteks pelaksanaan tugas di sesebuah organisasi misalnya, seseorang bos mungkin hanya akan berkata, “Saya bukan berniat menolak janji dan pengakuan anda untuk berkhidmat dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh, tetapi saya lebih berminat untuk melihat hasil kerja anda sentiasa bertaraf cemerlang dan menepati malamat.”

Slogan dan mainan kata-kata tidak memberi makna apa-apa jika itu sekadar retorik, bersalut muslihat niat memikat. Asyik menuduh dan mengata pihak lain serba tidak kena. Habis, yang kenanya bagaimana?

Rakyat kerap terjerat dengan unsur-unsur berbentuk slogan dan cogan kata yang indah dan menarik. Ini terutama dalam ehwal politik. Namun, apabila mandat diberi, kebanyakannya terbiar tidak ke mana. Jadi, jangan mudah terpesona sebelum melihat apa yang ditohmah dan dicerca mampu terlaksana.

Apa pun, bukan bermakna setiap teguran, pandangan yang bernas itu tidak perlu diberi sokongan. Sokonglah secara objektif dan berpijaklah pada kenyataan. Janji yang luar biasa tentu sukar terlaksana.

Masa berlalu pantas dan alangkah rugi jika perjalanan waktu sekadar terisi dengan mainan janji, kata mengata yang remeh dan tuduh-menuduh yang tidak menghasilkan kebaikan. Berpolitik biar bermusim, bertelagah biar berbatas. Menegur biar bertempat, mengkritik biar berpadan.

Elok diletakkan agenda menjamin survival bangsa dan membina kemakmuran tanah air sebagai keutamaan. Usah terpesona sebelum terlaksana, nanti jiwa jadi merana. Berpijak pada kenyataan, bersandar pada ketulusan. Kalau tahu kailnya sejengkal, kenapa diharap tangkapannya besar? – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×