MoU buka ruang REE Kedah terus dicuri - Utusan Malaysia

MoU buka ruang REE Kedah terus dicuri

RUMAH kongsi dibina berhampiran lokasi didakwa perlombongan unsur nadir bumi atau REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Langkah kerajaan negeri mengeluarkan lesen eks­plorasi dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan elemen nadir bumi atau rare earth element (REE) didakwa membuka ruang kepada berlakunya kecurian mineral itu di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, kerajaan negeri sepatutnya mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014.

Menurut beliau, ketetapan itu memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau sebolehnya mengelak sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di kawasan hutan simpan kekal (HSK) dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan Kedah yang menandatangani MoU baru-baru ini telah membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan dan ia tindakan yang tergesa-gesa kerana tiada prosedur operasi standard (SOP) yang menyeluruh dikemukakan sebelum MoU itu dimeterai.

“Berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) juga, sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan. Ia juga telah dijelaskan dalam Mesyuarat Petugas Khas Bagi Mengkaji Kesan Pengeluaran Lantanid di dalam HSK terhadap Dirian Hutan pada September 2020,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang dipercayai dicuri lagi susulan serbuan dilakukan pihak berkuasa pada Selasa lalu.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, dalam operasi dike­tuai Jabatan Perhutanan Nege­ri Kedah (JPNK) bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen itu, lebih 50 individu terma­suk warga asing ditahan.

NADIR BUMI

Serbuan di Kompartmen 12 hutan terbabit turut me­nemukan buku dipercayai digunakan untuk tujuan merekod pengeluaran nadir bumi di tapak haram berkenaan.

Pada 10 Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyaksikan pemeteraian MoU antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dari China yang melibatkan perkongsian maklumat, pengalaman dan kepakaran bagi penerokaan REE di negeri ini.

Mohd. Sobri berkata, kerajaan negeri sepatutnya perlu memastikan SOP yang sesuai dikemukakan bagi mengurangkan impak kepada manusia, haiwan dan alam sekitar sebelum menandatangani MoU berkenaan REE.

“REE tidak boleh diambil dari hutan simpan dan lesen eksplorasi yang diberikan juga agak meragukan kerana tapak kecurian berlaku tidak jauh dengan tapak eksplorasi itu jika mengikut maklumat penduduk sekitar,” katanya.

Tambah beliau, sejak pembalakan berskala besar pada 2017 di Hutan Simpan Bukit Enggang, pelbagai kesan terhadap penduduk sekitar dihadapi antaranya sumber air bersih penduduk yang tercemar teruk kerana mereka bergantung sepenuhnya air semula jadi dari hutan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×