Detik cemas Saharul Ridzwan terapung di tengah lautan - Utusan Malaysia

Detik cemas Saharul Ridzwan terapung di tengah lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAHARUL Ridzwan mengakui, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang menemukannya dengan kepuasan yang dicari sebagai pelakon.

Menerima sentuhan Allahyarham Pitt Hanif sebagai pengarah, filem itu menggandingkan Saharul dengan pelakon hebat seperti Adlin Aman Ramlee, Sabri Yunus, Datuk Fizz Fairuz dan Julia Farhana Marin.

Kata Saharul, dia lega dan berpuas hati dengan hasil keseluruhan filem yang menemui penonton bermula 2 Februari lalu itu.

“Saya gembira dengan hasilnya. Penat lelah yang kami tempuh semasa proses pembikinan filem ini akhirnya terbalas.

“Arwah Pitt pernah memberitahu, filem ini akan membawa impak besar kepada kerjaya lakonan saya. Hari ini, saya menyaksikan perkara itu.

“Saya berterima kasih kepada arwah kerana memberi kepercayaan untuk saya terlibat dalam produksi ini. Filem ini terbaik, tetapi akan menjadi lebih baik jika arwah masih ada kerana ia adalah hasil sentuhan seninya,” kata Saharul.

Berkongsi lanjut, Saharul menceritakan pengalaman ngeri hampir lemas ketika menjayakan sebuah babak di laut lepas.

“Saya terapung di atas air dan hanya berpaut pada sebatang kayu. Angin kuat disebabkan pusingan kipas helikopter yang terbang berdekatan menolak saya ke dalam air dan menyukarkan saya untuk terapung.

“Namun, saya berjaya mencapai permukaan dan selamat. Ketika itu memang cemas, apatah lagi saya takut berada di laut lepas. Tetapi, disebabkan seronok berlakon, ketakutan itu saya lupakan seketika,” kongsinya.

Kecergasan fizikal antara perkara amat dituntut daripada setiap pelakon. Kata Saharul, bentuk fizikal berotot dan tegap bukan mudah untuk dikekalkan, lebih-lebih lagi ketika menjalani penggambaran.

“Persediaan untuk memiliki fizikal yang diperlukan bagi watak ini mengambil masa antara tiga hingga empat bulan. Ia proses yang mencabar kerana badan saya sebelum itu sedikit berisi.

“Untuk kekalkan bentuk badan seperti itu sepanjang penggambaran bukan mudah. Saya juga terpaksa melupakan rutin pemakanan yang perlu untuk mengekalkan tubuh berotot kerana ketiadaan sumber (makanan) ketika di lokasi,” jelasnya.

Ditanya tentang tekanan, Saharul tidak menafikan, banyak perkara bermain di fikirannya, terutama berkaitan penerimaan penonton terhadap filem itu.

“Memang tertekan kerana saya sangat berharap filem ini mendapat tempat di hati penonton.

“Tambahan pula, ini filem pertama saya dan tentu penonton akan membanding-bandingkannya dengan filem aksi lain yang sudah ditayangkan.

“Apapun, saya berharap penonton dapat memberi peluang kepada saya dan naskhah arahan arwah Pitt ini,” tambahnya.

Kos mencecah 13 juta

Coast Guard Malaysia: Ops Helang merupakan antara filem termahal yang dihasilkan apabila membabitkan kos mencecah RM13 juta.

Penerbit, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, kos tersebut merangkumi perbelanjaan untuk membina perkampungan lanun yang terpaksa diletupkan.

“Kami memperuntukkan RM400,000 semata-mata untuk membina perkampungan tersebut.

“Tambahan pula, filem ini membabitkan tenaga kerja yang ramai iaitu lebih 100 pelakon dan kru, termasuk pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Filem ini turut melibatkan penggunaan aset ketenteraan seperti tiga kapal besar, helikopter (4), bot laju (10) dan kelengkapan senjata api,” katanya.

Berkongsi lanjut, kata Muhammad Hady, antara cabaran untuk menghasilkan filem ini adalah keadaan cuaca tidak menentu yang menghalang proses penggambaran dilakukan.

“Kami terpaksa berdepan cuaca buruk, termasuk ribut taufan yang melanda sepanjang tempoh penggambaran di Pulau Langkawi.

“Kami juga terpaksa mengambil alih tugas pengarah untuk suntingan akhir filem ini apabila arwah Pitt meninggal dunia sehari selepas penggambaran tamat,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×