Melly Goeslaw cetus kembali demam Cinta & Rangga - Utusan Malaysia

Melly Goeslaw cetus kembali demam Cinta & Rangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN berada di pekarangan sekolah! Bayangkan, 3,000 peminat yang hadir, masing-masing cukup sporting mengenakan pakaian seragam sekolah, menjiwai karakter anak remaja, walaupun mungkin ada di antaranya sudah melepasi tangga usia 40 tahun.

Begitulah suasana tatkala melihat peminat menyatu sempena konsert Ada Apa Dengan Melly? (AADM) yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, (KLCC) Jumaat dan Sabtu lalu.

Idea untuk tema pakaian itu datang daripada penganjur konsert itu sendiri, Icon Entertainment yang mahu mencipta suasana manis, nostalgia zaman persekolahan.

Ini kerana, kata pengasasnya, Iman Tang, rata-rata peminat bersetuju seleksi lagu ciptaan dan nyanyian Melly Goeslaw sangat dekat dengan peminat yang ketika itu masih meniti alam persekolahan.

Populariti Melly semakin memuncak apabila dia hadir seiring dengan kemunculan naskhah romantis Ada Apa Dengan Cinta? (AADC), menyaksikan lagu ciptaannya menyerlah sebagai runut bunyi filem kegilaan ramai itu.

Tiada salah jika digambarkan konsert selama dua hari itu bagaikan mengimbau fenomena Cinta (lakonan Dian Sastrowardoyo) dan Rangga ( Nicholas Saputra) yang turut mengambil latar alam persekolahan menerusi karya sutradara terkenal Indonesia, Rudi Soedjarwo itu.

Memulakan persembahan tepat pukul 9 malam, Melly membuka tirai membawakan lagu Aku Ingin Mencintai dan Dicintai. Suasana mula membahang dengan demam AADC dan itu aniara momen yang ditunggu-tunggu peminat.

Usai menyanyikan lagu Tentang Dia dan Pujaanku, Melly sempat bercerita dia bukan seorang yang gemar mengikuti tema pakaian setiap kali diminta.

“Ini kali pertama saya tampil mengadakan konsert di Malaysia. Bukan tidak pernah ada yang tawarkan peluang sebelum ini, tetapi mungkin saya belum bersedia.

“Bila kini berpeluang buat konsert, diminta pula untuk ada dress code. Saya sebenarnya benci acara yang ada tema. Tetapi, kerana Iman Tang, saya turutkan. Apabila difikirkan, menarik juga sebab lagu saya tumbuh semasa kebanyakan kalian masih berada pada zaman persekolahan,” katanya.

Selain menghadiahkan peminat dengan seleksi lagu hits ciptaannya, penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia ini juga banyak berkongsi celoteh dengan isi cerita yang pelbagai.

Mulai menyentuh mengenai kasih dan cintanya terhadap suami yang setia di sisi, usik Melly, Anto Hoed merupakan satu-satunya lelaki yang berani melamarnya untuk melangkah ke jenjang pelamin.

“Saya bernikah dengan Anto pada 1995. Saya memilihnya kerana hanya dia yang melamar saya.

“Siapa yang berani mahu membawa pulang berjumpa ibu bapa dan memperkenalkan calon menantu yang berpakaian ‘gila-gila’ seperti saya. Anto adalah lelaki itu,” candanya.

Memuji seniman Malaysia

Lanjut bercerita, kata Melly, setiap kali menyebut tentang Malaysia, banyak perkara yang melekat di mindanya.

Tidak pernah berasa jauh dengan negara ini, Melly juga menganggap Malaysia bagaikan rumah kedua yang menyimpan pelbagai kisah dan memori.

“Bercerita tentang negara ini, saya ada beberapa gambaran yang muncul di fikiran. Saya teringat teh tarik, nasi lemak, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), bahkan makanan kesukaan saya, mi segera Maggi.

“Ketika saya berpijak ke negara ini, apa yang saya cari adalah senimannya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search dan kumpulan Iklim. Namun, nama yang paling saya kagumi adalah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” katanya.

Menghadiahkan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti sebelum Bunyi Gitar, luah Melly, setiap kali dia menghayati dan menyanyikan lagu tersebut, baginya ia umpama naskhah yang benar-benar mewakili anak seni sepertinya.

“Lagu ini sangat mewakili hati kami, anak seni. Saya masih ingat ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, ada teman komposer yang yang hidupnya susah sampai terpaksa meminjam wang 50,000 rupiah (RM14).

“Bagi saya, itu keterlaluan.Kalaulah kita ada sistem yang bagus, pasti hal begini tidak akan terjadi. Saya sedih dan mengenang kehidupan Allahyarham P. Ramlee, nasibnya juga tidak begitu baik pada penghujung usia.

“Bagi saya, P. Ramlee adalah magma kesenian Malaysia. Saya harap, generasi baru dapat kenal dan kenang P. Ramlee,” katanya.

Fesyen jadi bahan bualan

Kehadiran Melly juga bagaikan tidak cukup lengkap jika tidak tampil dengan penggayaan busana eksentrik.

Sememangnya sinonim dengan imej pelik dan avant garde, Melly memukau penonton dengan gaya eksentrik hasil rekaan pereka fesyen terkemuka Indonesia, Rinaldy Yunardi.

Rinaldy pernah menghasilkan busana dan aksesori untuk artis terkemuka Hollywood seperti Madonna serta Nicole Scherzinger yang turut mendapat pujian daripada peminat fesyen di luar negara.

“Saya pencinta seni. Bagi saya, seni adalah sesuatu yang tidak mengenal apa-apa. Seperti apa yang saya gayakan, ini adalah air tangan Rinaldy Yunardi.

“Saya sentiasa percayakan sesuatu fesyen dan mahalnya terletak pada air tangan tukang jahitnya,” katanya yang menggayakan empat rekaan busana untuk segmen berbeza.

Kehadiran ramai artis

Menariknya konsert AADM, ia turut menyaksikan ramai nama besar dari dua negara. Antara kelibat artis yang kelihatan, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aishah, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Nur

Fazura, Fattah Amin, Puteri Aishah, Nuha Bahrin, Misha Omar dan Catriona Ross.

Manakala dari Indonesia, antara bintang yang hadir ialah Datuk Seri Rossa, Raffi Ahmad dan isterinya, Nagita Slavina, Iis Dahlia, Yuni Shara, Mayang Sari, Sania dan Tissa Biani.

Konsert ini juga istimewa apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mencemar duli.

Melly tidak lupa menghadiahkan lagu Ayat-Ayat Cinta ciptaannya yang turut difahamkan merupakan antara lagu kegemaran Raja Permaisuri Agong.

Konsert yang tamat pada jam 1 pagi itu menyaksikan peminat bagaikan tidak puas menikmati malam indah bersama Melly, meskipun 30 lagu telah dibawakan sebaik mungkin oleh penyanyi ini.

Satu yang wajar dipuji, biarpun usianya telah menganjak angka 49 tahun, Melly berupaya membawakan lagu-lagunya dengan baik tanpa menyelitkan segmen medley.

Tahniah diucapkan buat Melly, pemuzik yang mengiringi serta penganjur yang sedaya upaya merealisasikan impian peminat untuk menyaksikan konsert hebat ini. Semoga ada lagi di lain kali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×