KUALA LUMPUR: “Logik atau tidak hanya RM3,000 sebulan sejak 2013?”
Itu kenyataan pelakon, Rita Rudaini ketika ditanya mengenai kontroversi terbaharu yang membabitkan dia dan bekas suaminya, Aidil Zafuan.
Jelas pelakon popular itu, ini bukan soal pemberian nafkah bulanan yang perlu dibangkitkan namun kata Rita apa yang dikesalkan adalah jumlah nafkah itu sendiri.
Sebagai seorang ibu, katanya, dia cukup kecewa dengan cara pemikiran pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu yang tidak relevan dalam mengira keperluan sebenar dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 12 (gambar, kiri) dan Airit Qaqa Arjuna, 10 (kanan).
“Logik ke RM3,000 untuk dua orang anak sejak 2013? Zaman pun berubah. Perbelanjaan apatah lagi. Dia pun ada dua orang anak, mustahil tidak tahu keperluan mereka berbeza meningkat dewasa.
“Bukanlah mahu sangat duit dia, saya juga masih mampu berikan apa yang anak-anak perlukan. Cuma itulah sebagai manusia yang mempunyai hati mungkin boleh fikir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Rita turut menjelaskan dia tidak akan menuntut hak untuk mendapatkan pengecualian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memandangkan dia hanya mahu berkongsi keadaan sebenar.
“Benda ini saya sudah tahu sejak empat tahun lalu yang saya tidak boleh dapat pengecualian. Kalau saya nak bising sudah lama.
“Cuma bila ada pihak yang bertanya, saya hanya beritahu perkara sebenar. Saya tidak faham kenapa dia perlu mengeluarkan kenyataan soal nafkah memandangkan saya tidak pernah menafikan tanggungjawabnya itu.
“Tetapi saya juga tidak akan menuntut hak saya untuk pengecualian LHDN, itu antara dia dengan Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Aidil melalui satu perkongsian dalam Instagram, menolak dakwaan dia culas membayar nafkah anak-anaknya selain turut mempunyai bukti.
Pada masa sama, pemain berusia 34 tahun itu turut memaklumkan, dia berhak menyatakan setiap tanggungannya kepada LHDN termasuklah pembayaran nafkah anak-anaknya. – UTUSAN











