PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion turut difokuskan terhadap sumber kewangan membabitkan sebuah parti politik.
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, keterangan beberapa individu daripada enam agensi kerajaan diambil SPRM berhubung siasatan pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga tahun lalu.
Kata sumber itu, sebanyak lima pemilik syarikat swasta dipanggil dan disiasat termasuk seorang ketua pegawai eksekutif yang ditahan kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’, baru-baru ini.
“Siasatan SPRM turut memberi fokus kepada sumber kewangan yang diperoleh sebuah parti politik yang dikatakan menerima wang berkenaan bagi tujuan pembiayaan politik.
“Siasatan terarah kepada penerima dana itu, setakat ini sebanyak 29 individu SPRM ambil keterangan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Mingguan Malaysia difahamkan, ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta yang menjadi ‘dalang’ dalam pengagihan projek itu adalah individu berkepentingan yang mempunyai kaitan dengan menantu kepada salah seorang pemimpin parti politik yang disiasat.
Pada 6 Januari lalu, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta berusia 42 tahun ditahan SPRM ketika hadir memberikan keterangan dalam siasatan kes berkenaan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber, suspek yang ditahan itu dipercayai telah menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor-kontraktor dengan pihak atasan.
Kata sumber itu, setakat ini, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisyen sebanyak tiga hingga lima peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.
Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas tamat remat pada 12 Januari lalu.
SPRM sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan yang difokuskan kepada dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion di bawah program rangsangan dan pemulihan ekonomi.
SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperolehi projek-projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.
Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.
Justeru itu, SPRM memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










