MESIN jahit dan fabrik yang mengelilingi Alaa Adel di studio ‘Iraq Couture’ miliknya di Baghdad adalah bukti kejayaannya di Iraq yang sangat patriarki, semuanya didominasi lelaki.
Alaa, 33, menganggap dirinya antara sebilangan kecil usahawan wanita di negara yang kebanyakan wanita tidak bekerja di luar selain hanya duduk di rumah.
“Kami mempunyai tradisi sosial yang menghalang ramai wanita daripada bekerja.
“Malah bagi mereka yang berjaya melakukannya, ia tidak selalunya semudah yang disangka,” kata Alaa di studionya di daerah komersial Karrada di Baghdad.
Menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa dalam satu laporan Oktober lalu, adat dan tradisi yang lazim mengehadkan aktiviti wanita hanya kepada peranan domestik dan mengasuh anak-anak.
Alaa mengakui prasangka sedemikian serta kesukaran mempraktikkan cara hidup yang berbeza menimbulkan cabaran paling besar dalam usaha memenuhi impiannya sebagai pereka fesyen.
Lulusan Universiti Baghdad yang pakar dalam fesyen dan reka bentuk ini masih kekal bersemangat mencipta butik atau rumah fesyennya sendiri walaupun diskriminasi jantina yang menyelubungi seluruh industri tekstil di Iraq.
“Saya pernah pergi berjumpa dengan penaung organisasi yang menyokong seni dan budaya untuk menghantar kertas cadangan.
“Tetapi idea saya ditolak mentah-mentah atas alasan saya tidak mempunyai pengalaman untuk menjalankan projek berkenaan,” katanya.
Namun Alaa sangat berterima kasih kepada pertubuhan The Station iaitu sebuah yayasan di Iraq, dan program ‘Raidat’ untuk membantu usahan wanita yang dibiayai oleh kedutaan Perancis di Baghdad.
Melalui dua pertubuhan tersebut, Alaa mendapat latihan yang memberinya keyakinan untuk memulakan perniagaannya sendiri.
BIROKRASI & SEKSISME
Sektor swasta Iraq masih terlalu kecil dan tidak berkembang sehinggakan proses mudah bertukar panjang dan rumit hanya untuk menubuhkan sebuah syarikat.
Negara yang baharu saja melepasi tempoh empat dekad peperangan dan pergolakan itu, turut dibelenggu masalah rasuah, endemik, pengangguran yang berleluasa dan kadar kemiskinan sekitar 30 peratus.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), lebih 38 peratus rakyat yang mempunyai pekerjaan di Iraq adalah kakitangan di sektor awam yang merupakan salah satu kadar tertinggi di dunia.
Alaa akhirnya memperoleh pinjaman daripada bank swasta, dan mencipta jenama ‘Alaa Adel’ pada musim panas lalu.
Pada awalnya, dia terpaksa berhadapan dengan seksisme daripada beberapa pembekal fabrik yang enggan berurus niaga dengan seorang wanita.
Selain itu, terdapat kekurangan kemudahan penjagaan kanak-kanak kerana penduduk di Iraq sudah diasuh dengan pemikiran bahawa anak-anak kecil harus dijaga di rumah oleh ibu mereka sendiri sehingga memasuki alam persekolahan.
Namun Alaa bertuah kerana mendapat bantuan daripada ahli keluarga yang menjaga dua anak lelakinya, berusia sembilan dan empat tahun semasa dia keluar bekerja.
PELUANG TERHAD
Penyelaras ILO, Maha Kattaa ketika membentangkan laporan pada Julai tahun lalu memaklumkan, Iraq mempunyai 13 juta wanita yang mampu bekerja namun hanya sekitar satu juta yang berjaya mendapat peluang itu.
Kadar penyertaan tenaga buruh bagi wanita didapati sangat rendah, yang hanya meliputi 10.6 peratus berbanding 68 peratus untuk lelaki.
Sebaliknya, negara jiran Arab Saudi, yang turut menjadi salah satu negara paling ketat di dunia untuk kaum hawa, mempunyai kadar penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 35.6 peratus pada suku kedua tahun lalu.
Kebanyakan wanita bekerja di Iraq adalah guru atau jururawat sementara sebilangan kecil adalah anggota polis atau anggota angkatan tentera.– AFP









