Hasil laut mahal - Peniaga

Hasil laut mahal – Peniaga

Ikan rakyat seperti ikan sardin didakwa berkurangan ketika ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Harga hasil laut seperti ikan, sotong dan udang di pasar basah di sini masih mahal walaupun cuaca semakin baik sejak kebelakangan ini.

Peniaga mendakwa, kebanyakan nelayan tidak dapat turun ke laut kerana cuaca belum pulih sepenuhnya dan keadaan diburukkan lagi kerana ombak masih tinggi serta bergelora.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Chabang Tiga dan Pasar Bukit Besar di sini mendapati, harga hasil laut yang naik sejak awal Disember lalu masih kekal menyebabkan pengguna mengeluh kerana membebankan kewangan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang peniaga, Zakaria Abdullah, 38, berkata, kebanyakan pembeli memahami situasi tersebut kerana kenaikan hasil laut adalah lumrah setiap kali musim Monsun Timur Laut berlaku di Pantai Timur khususnya di Terengganu.

“Pada hari ini (semalam), harga ikan kembung ialah RM20 untuk satu kilogram (kg), selar saiz kecil (RM16), selar saiz besar (RM20), kerisi (RM14 hingga RM16), sardin (RM14) dan tongkol (RM14).

“Harga ikan dijangka kembali turun selepas perayaan Chap Goh Mei kerana cuaca ketika itu pun sudah semakin baik dan nelayan kembali turun ke laut seperti biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Seorang lagi peniaga, Hisham Mohamad, 33, berkata, trend pembeli ketika ini dilihat lebih berjimat-cermat dalam membuat pembelian barangan mentah kerana mereka mahu membuat persiapan sesi persekolahan baharu dan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Ramai juga yang datang pegang ikan, pegang sotong tapi lepas tanya harga mereka tak jadi beli sebab mahal. Memang kasihan tapi apa boleh buat kerana kami dapat harga borong pun dah mahal, keuntungan yang diambil pun cuma sedikit.

“Kebanyakan yang datang membeli ikan rakyat seperti kembung, sardin dan selar. Tidak ramai yang beli ikan tenggiri, ikan merah atau jenahak kerana harganya memang mahal,” katanya.

Sementara itu, beberapa pembeli yang ditemui mengakui mereka terpaksa mengehadkan pembelian hasil laut seperti sotong kerana harganya mencecah antara RM40 hingga RM45 ketika ini.

Kakitangan swasta, Nora’ini Rahman, 43, berkata, dia terpaksa membeli hasil laut sejuk beku di beberapa pasar raya besar kerana mahu menjimatkan perbelanjaan keluarga.

“Macam saya anak enam orang, memang terpaksa ikat perut tahan selera nak makan mewah. Kena beli ikan rakyat, ikan marhaen seperti sardin dan kerisi kerana itu sahaja yang mampu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini