Amir Masdi tunai hasrat ibu - Utusan Malaysia

Amir Masdi tunai hasrat ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH enam tahun penyanyi, Amir Masdi menyimpan hasrat untuk mendapatkan sentuhan kreatif Akim Ahmad yang turut dikenali dengan nama pena, Hang Nadim.

Apatah lagi, ia juga merupakan permintaan ibunya yang bersungguh-sungguh mahukan Amir, 26, merakamkan lagu ciptaan suami penyanyi, Stacy itu.

Doa ibu Amir atau nama penuhnya, Amir Syazwan Masdi akhirnya termakbul apabila dia berpeluang menjalin kerjasama dengan pasangan tersebut menerusi single baharu, Sengaja.

“Emak memang teringin melihat saya merakamkan lagu ciptaan Akim dan Stacy.

“Selama menjadi anak seni, saya sangat bertuah dan bersyukur apabila sentiasa mendapat sokongan serta restu emak,” katanya.

Menceritakan pengalaman bekerjasama di studio rakaman, Amir berkata, dia sangat kagum dengan sikap profesional Akim dan Stacy atau nama penanya, Bunga Cantik.

Katanya, sepanjang proses rakaman, dia bebas mengemukakan sebarang idea.

“Memang senang untuk berbincang atau memberikan idea kerana mereka juga penyanyi.

“Mereka sangat profesional dan ia membutkan saya seronok bekerja. Stacy pula sangat mengambil berat karakter dalam lagu dan vokal.

“Dia selalu bertanya pendapat, namun memberikan kebebasan untuk saya mencorakkan apa yang terbaik. Kebanyakan idea dalam pembikinan lagu ini datang daripada mereka dan saya cuba sampaikan dengan baik,” jelasnya.

IDAM MUZIK ROCK ‘n’ ROLL

Ditanya tentang perubahan arus muzik, jawab Amir, dia sentiasa bersikap terbuka dengan trend muzik semasa asalkan tidak lari daripada landasan asalnya sebagai penyanyi.

Katanya, selagi bersesuaian dengan dirinya, tidak menjadi masalah untuk dia mencuba sesuatu yang baharu.

“Karya seni itu luas dan saya terbuka dengan apa sahaja genre. Saya teringin membawakan muzik Rock ‘n’ Roll seperti penyanyi legenda, Elvis Presley. Mendiang mempunyai karisma dan kekuatan tersendiri setiap kali membuat persembahan,” katanya.

Single ketujuh yang dilancarkan di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream itu diterbitkan syarikat rakaman, Nova Music.

Amir juga melakar sejarah tersendiri sebagai artis termuda melancarkan single di atas kapal persiaran mewah milik Resorts World Cruises itu.

Pelancaran single tersebut sangat bermakna dengan kehadiran peminat yang sanggup mengeluarkan wang poket demi menyokong kerjaya seni Amir.

BERSIH TANPA GOSIP
Amir yang turut layak ke kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) menerusi lagu Debu, duet bersama Dayang Nurfaizah turut memuji karakter penyanyi itu.

Kongsinya, sikap merendah diri pada Dayang yang lebih senior membuatkan dia kagum dan ingin mencontohinya.

“Dayang membuka mata saya supaya tidak memandang rendah kemampuan orang lain. Tidak kisah sama ada penyanyi baharu atau lama, Dayang layan sama sahaja.

“Dia juga terbuka dengan apa-apa idea, malah saya banyak belajar mengenai persembahan daripada Dayang,” katanya.

Anak kelahiran Selangor ini juga bersih daripada segala gosip liar, mahupun cerita panas yang sering melingkari penyanyi muda.

Kata Amir, dia sentiasa berpegang teguh dengan nasihat dan bimbingan ibunya supaya mengelakkan diri daripada terpalit kontroversi.

“Mungkin itu juga antara faktor terbesar yang membuat saya berdiri di sini, hari ini.

“Emak sentiasa ambil tahu perkembangan, tetapi tidak pernah mencampuri urusan kerja seharian saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×