APABILA harga daun kari dilaporkan naik sehingga RM15 sekilogram di Pulau Pinang pada awal tahun ini, berita itu kurang mendapat perhatian ramai.
Walaupun rata-rata masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menggunakan daun kari dalam masakan harian, kenaikan harga bahan rempah itu seolah-olah bukan isu besar untuk ditularkan.
Sewaktu membaca berita mengenai rungutan beberapa peniaga di pasar awam dan kedai runcit di akhbar, saya teringat catatan sejarah tentang negara-negara Eropah seperti Portugis dan Belanda menjajah beberapa wilayah di Nusantara semata-mata kerana mahu menguasai perdagangan rempah-ratus. Pada zaman itu, rempah-ratus amat bernilai dan dijual pada harga tinggi.
Golongan bangsawan di Eropah memanfaatkan rempah-ratus dari Nusantara untuk menjadikan makanan lebih sedap. Makanan yang dimasak menggunakan rempah-ratus juga menjadikan badan lebih hangat dan hal ini penting pada musim dingin.
Rempah-ratus seperti cengkih dan kayu manis digunakan orang Eropah untuk mengawet makanan. Nama saintifik bagi pokok kari ialah murraya koenigii. Nama umum bagi spesies pokok murraya diberi sempena pakar botani kelahiran Sweden, Johan Andreas Murray (1740-1791).
Nama khusus koenigii pula sempena seorang lagi pakar botani dari Jerman, iaitu Johann Gerhard Konig (1728-1785) yang melakukan kajian tumbuhan perubatan di India.
Pokok kari berasal dari India sebelum dibawa ke pelbagai negara beriklim tropika termasuk Malaysia di mana ia senang tumbuh. Malah, pada masa kini terdapat ladang pokok berkenaan di Australia.
Akhbar Los Angeles Times (5 Januari 2023) menyiarkan rencana khas mengenai Anand Prasad, 70, yang mengusahakan ladang pokok kari seluas beberapa ekar di California, Amerika Syarikat.
Datuknya berasal dari Uttar Pradesh, India dan dibawa sebagai buruh kontrak ke Fiji untuk bekerja di ladang tebu pada masa dahulu. Pada 2000, Anand meninggalkan pekerjaan dalam bidang pembinaan untuk terbang ke California dan membeli sebidang tanah, lalu menanam beberapa ribu pokok kari. Pelbagai tumbuhan dan sayur-sayuran tradisional India turut ditanam di ladangnya.
Jangan terkejut jika anda ke negara Eropah beriklim sejuk dan penduduk di sana tekun menanam pokok kari sama ada di kebun kecil, ladang besar atau di dalam pasu di balkoni rumah serta dijaga seperti pokok emas. Mungkin pada masa itulah mula sedar betapa kita memandang enteng kehebatan pokok kari yang tumbuh merimbun di halaman rumah.
Pokok herba ini merupakan tumbuhan renek yang boleh dibeli di nurseri atau diambil secara percuma daripada sesiapa yang memiliki anak-anak pokok yang banyak.
Tumbuhan ini tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi dan boleh tumbuh dengan baik di kawasan beriklim tropika. Tidak hairanlah ia turut tumbuh dengan mudah di China, Vietnam dan Thailand.
PAHIT
Nama pokok dan daun ini dalam bahasa Sanskrit ialah kalashaka. Nama-nama lain ialah karuvepilai atau karivepilai (Tamil), karapincha (Sinhala) dan karibevu (Kannada). Laman sesawang Agua Viva Eco-life, sebuah taman tumbuhan herba dan perubatan di Trinidad menyenaraikan lebih banyak nama seperti bishahari, karapule, garupillai, kadipatta dan karivampu.
Daun kari boleh disimpan dan dikeringkan, tetapi lebih sedap jika daun segar digunakan untuk memasak. Rasa daun kari agak pahit jika digigit. Ia kaya dengan kalsium, zat besi dan pelbagai vitamin.
Ayam yang digoreng dengan mencampurkan daun kari menjadi lebih harum dan sedap dimakan. Masakan masala vadei (masalode) dan rava tose juga tidak lengkap jika tidak dicampur daun kari.
Masakan gulai, lauk, kari, rasam dan saambar yang sinonim dengan kaum India seolah-olah tidak sedap jika tidak dimasukkan daun kari secukup rasa. Sebab itulah juga campuran rempah-ratus yang dikisar dan dijual di kedai biasanya turut mengandungi daun kari.
Karuvepilai podi (serbuk daun kari) juga boleh dibeli secara berasingan di kedai runcit India yang menjual rempah-ratus. Karuvepilai kolumbhu pula lauk tradisional berasaskan daun kari yang jarang disajikan sekarang.
Pelbagai manfaat daun kari dibincangkan dalam sebuah rencana khas di Gulf News (2 Januari 2023). Daun herba ini turut digunakan untuk menghasilkan barangan seperti losen, sabun, minyak wangi dan produk penjagaan rambut.
Pasti sahaja produk kesihatan seperti ini mendapat sambutan daripada orang ramai yang menyedari risiko barangan kosmetik berasaskan bahan kimia.
Pengambilan daun kari dalam makanan terbukti baik untuk kesihatan dan penghadaman. Dalam ilmu perubatan ayurveda dari India, kandungan kimia dalam daun kari dikatakan mampu mengawal dan mengurangkan kandungan gula dalam darah, sekali gus membantu mengelakkan penyakit kencing manis.
Mengikut kata orang tua, daun kari juga membantu meningkatkan daya imunisasi badan terhadap pelbagai penyakit. Daun warna hijau ini kaya dengan vitamin A, B, C dan B2 serta dikatakan turut membantu usaha mengurangkan berat badan. Itulah antara petua tradisional dalam budaya generasi lama yang mungkin sudah kurang diamalkan sekarang.
Bagaimanapun, jangan pula anda mengambil keputusan mahu makan daun kari dalam jumlah yang banyak sebaik menyedari pelbagai manfaat perubatan yang dimiliki. Jika diambil secara berlebihan, anda mungkin mengalami kesan pening, muntah, sakit perut dan cirit-birit. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











