Daren beri bayangan akan ‘gantung raket’

Daren beri bayangan akan ‘gantung raket’

LIEW DAREN (UTUSAN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan negara, Liew Daren memberi gambaran mungkin akan mengumumkan persaraan tahun ini, tetapi masih belum menetapkan tarikhnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang bakal menginjak usia 36 tahun pada Ogos tahun ini ketika ditemui pemberita selepas mencatat kemenangan ke atas wakil Perancis, Tomo Junior Popov 21-15, 14-21, 21-17 pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, semalam, hanya menjawab pendek tentang perkara tersebut.

“Ya (tentang persaraan)…mungkin saya memilih jadi jurulatih, tetapi saya tak pasti lagi,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena dekat sini, semalam.

Daren yang dipaksa beraksi selama hampir sejam oleh Popov yang berusia 24 tahun turut mendedahkan bahawa dia mungkin akan menarik diri daripada beraksi pada pusingan kedua, esok, jika masalah kecederaan betis kanannya masih tidak berkurangan.

Dalam perlawanan peringkat awal itu, Daren kelihatan terhincut-hincut ketika bermain dan mengakui, dalam set ketiga dia cuba bertahan dan bergantung kepada sebelah kakinya untuk melompat.

“Saya bermain dalam kesakitan tadi, Popov pula bukanlah lawan yang mudah, cuma setiap kali berdepan dengannya keyakinan saya untuk menewaskan dia memang ada.

“Sokongan penyokong juga banyak membantu saya melengkapkan permainan ini, walaupun kesakitan yang saya tanggung memaksa saya beraksi dengan sebelah kaki tadi,” katanya.

Daren pernah berdepan isu kecederaan yang sama ketika beraksi dalam Kejuaraan Dunia di Nanjing, China pada 2018 yang menyaksikan dia memenangi gangsa yang merupakan antara pencapaian terbaiknya di pentas antarabangsa.

Ketika ditanya pula tentang pemain perseorangan utama Malaysia, Lee Zii Jia yang hanya turun ke gelanggang menentang Kodai Naraoka dari Jepun, hari ini, Daren berkata, bukan mudah untuk Zii Jia berdepan pemain No. 7 dunia itu.

“Bergantung kepada keadaan gelanggang juga, tetapi saya akan cuba bantu dia untuk mendapatkan kemenangan dalam pusingan awal itu,” kata Daren yang merupakan rakan sepelatih jaguh No. 2 dunia tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×