PETALING JAYA: Penyerang muda skuad hoki negara, Shello Silverius teruja apabila diberikan peluang barisan kejurulatihan untuk beraksi di Piala Dunia 2023 walaupun mulanya hampir tidak tersenarai akibat kecederaan.
Beraksi buat kali pertama di pentas tertinggi dalam sukan hoki, anak muda kelahiran Sabah itu mengakui tidak gementar dan menantikan saat-saat namanya dipanggil oleh Arul Selvaraj untuk diturunkan dalam pasukan.
Justeru Shello bertekad untuk memberikan segala-galanya sekiranya diberikan peluang oleh jurulatih itu sekali gus membantu skuad kebangsaan mencapai sasaran untuk mara ke suku akhir di kejohanan yang berlangsung di Bhubaneswar-Rourkela, India.
“Ini adalah Piala Dunia pertama saya dan bersyukur kerana terpilih untuk mewakili negara. Saya nak mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang memilih saya untuk berada dalam skuad Piala Dunia 2023.
“Saya sangat teruja untuk beraksi dan sasaran peribadi saya adalah untuk buat yang terbaik dalam kejohanan yang berprestij tinggi ini dan perform dalam setiap aksi sekiranya saya diturunkan,” katanya.
Sebelum ini, nasib Shello menjadi tanda tanya selepas dia mengalami patah tangan pada kempen Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan baru-baru ini.
Ketika ditanya tentang status kecederaannya, Shello mengakui kini sudah boleh menarik nafas lega apabila kini mampu untuk memegang kayu hoki semula.
Bagaimanapun katanya, jurulatih masih belum memberinya lampu hijau untuk berlatih secara kontak bagi membenarkan tangannya benar-benar pulih sebelum Piala Dunia. – UTUSAN







