BARU-BARU ini tular isu tikus makan dan bergelumang dalam bekas mengisi hidangan ayam goreng yang dipamerkan untuk dibeli pengguna. Meskipun tindakan telah diambil dengan menyita dan menghentikan operasi premis berkenaan dalam tempoh 24 jam, namun dalam masa sama semua pengguna juga perlu lebih berhati-hati memilih premis makanan.
Ini penting bagi memastikan makanan dibeli dan dimakan terjamin bersih dan selamat. Selain memastikan makanan diambil mengandungi nutrisi sihat dan berzat serta kandungan diperlukan tubuh, kita juga bertanggungjawab memastikan makanan adalah bersih serta disediakan di tempat yang bersih serta mengamalkan sistem disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini penting bagi mengelak jangkitan yang bukan sahaja menyebabkan penyakit yang menjejaskan seseorang sehingga boleh dimasukkan ke wad. Namun, terdapat juga kes pernah dilaporkan sebelum ini yang membawa maut.
Antara penyakit berkaitan kontaminasi silang terhadap makanan yang siap dimasak ialah cirit-birit, keracunan makanan, kepialu, kolera, salmonellosis serta penyakit cirit-birit berdarah (disenteri).
Kajian dijalankan sebelum ini mendapati ada jurang perbezaan ketara antara tahap kesedaran pengendali makanan dan pengguna. Disebabkan sistem yang memerlukan pengendali makanan hadir kursus berkaitan penyediaan makanan dan aspek berkaitan sebelum diberikan lesen beroperasi, kebanyakan mereka mempunyai tahap pengetahuan dan kesedaran cemerlang.
Namun demikian, kajian berkenaan hanya melibatkan pengendali berdaftar sedangkan dalam dunia sebenar, kita dapati ramai pekerja yang datang secara sambilan serta tidak hadir dalam kursus berkenaan.
Di pihak pengguna pula, kebanyakan mereka mempunyai tahap kesedaran yang rendah ke sederhana dengan liputan markah purata sekitar 35 hingga 60 peratus. Sejumlah besar masih tidak mempunyai pengetahuan sebagai pengguna bijak dalam memilih premis berkualiti yang dapat menyediakan makanan bersih dan selamat.
Melihat konteks premis penyediaan makanan pula, meskipun sesebuah premis makanan mempunyai pemarkahan atau gred kebersihan masing-masing, namun perlu difahami bahawa gred berkenaan diberikan dalam tempoh bermusim bergantung kepada kemampuan Jabatan Kesihatan membuat pemantauan.
Contohnya, enam bulan ke setahun sekali. Dalam banyak keadaan, situasi sebenar premis makanan mungkin berbeza dengan gred telah diberikan. Oleh itu, kita sebagai pengguna perlu mengambil sikap berhati-hati dan prihatin apabila memilih premis makanan.
Antara aspek perlu diperhatikan oleh pengguna dalam memilih premis makanan berkualiti ialah sikap dan tatacara pengendalian makanan. Mereka mesti mengenakan apron, penutup kepala dan memastikan jari dan tangan tidak mempunyai sebarang luka atau kecederaan.
Walaupun masih belum dikuatkuasakan, sebaik-baiknya ialah mereka juga dapat menggunakan pelitup muka semasa mengendalikan makanan.
MELUDAH
Pengendali makanan juga perlu mempunyai sikap dan tatacara bersih. Ini termasuklah tidak bercakap semasa mengendali makanan, tidak menggaru hidung atau bahagian badan dan sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin.
Pengendali yang didapati meludah merata-rata merupakan petunjuk tidak bersih dan perlu dielakkan untuk kita makan di premis makanan atau membeli makanan di situ.
Sesebuah premis makanan perlu menyediakan bekas menyimpan makanan yang bersih dan kalis serangga atau haiwan kecil seperti lipas, lalat atau tikus.
Antara disyorkan ialah bekas makanan yang diletakkan dalam takungan berisi air yang sentiasa dipanaskan serta ditutup dengan jaring untuk melindungi makanan berkenaan sekiranya terdedah dalam tempoh masa lama.
Lantai perlu selalu dibersihkan serta dilap meja dengan bersih di samping memastikan tiada haiwan seperti kucing atau anjing berkeliaran. Aspek penyediaan makanan mentah dan sumber air juga perlu memenuhi piawaian ditetapkan.
Satu lagi petunjuk premis yang bersih dan berkualiti ialah tahap kebersihan singki tempat mencuci tangan dan tandas yang disediakan. Keadaan singki yang berlendir, tidak diurus dengan baik serta tidak dibersihkan daripada sisa makanan berhari-hari berpotensi mengundang haiwan tertentu seperti tikus dan lipas untuk datang. Ini mendedahkan risiko keselamatan makanan dan kesihatan pelanggan yang datang.
Tandas yang tidak diselenggara dengan baik, tidak mempunyai air bersih, sistem kumbahan tidak memuaskan serta terlalu dekat dengan tempat penyediaan makanan juga merupakan petunjuk yang perlu dimanfaatkan pengguna untuk mengelakkan diri daripada makan di kedai berkenaan.
Di samping itu juga, premis makanan yang tidak mempunyai sumber air bersih sempurna untuk tujuan memasak, bekalan minuman dan membasuh peralatan memasak dan makanan juga perlu dielakkan.
Premis makanan juga disyorkan menggunakan cat warna terang serta memasang lampu cukup selesa untuk pengguna membuat pertimbangan terhadap mutu, peralatan seperti pinggan, sudu dan garpu dan kebersihan makanan yang disediakan.
Premis yang dicat gelap, menggunakan lampu malap serta tidak mampu memberikan maklumat kepada pengguna tentang tahap kebersihan dan keselamatan yang dimakan perlulah dielakkan.
Pengguna dan pengendali makanan saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam dunia pekerjaan yang mana individu tidak sempat menyediakan makanan sendiri, sebahagian besar kita mengharapkan perkhidmatan pengendali makanan untuk menyediakan makanan berkualiti yang bersih dan selamat.
Dalam masa sama, pengendali makanan juga perlu bertanggungjawab memastikan proses penyediaan dan tempat menyediakan makanan terjamin kebersihan dan keselamatannya untuk memastikan pengguna terlindung daripada bahaya penyakit bawaan makanan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Malina Osman ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM).











