Nyahkan sikap si katak rebus - Utusan Malaysia

Nyahkan sikap si katak rebus

Selangor dan Kelantan dijangka membubarkan DUN masing-masing paling awal. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2022 membawa pelbagai kenangan pahit manis, dan melabuhkan tirainya dengan Igauan Batang Kali. Suatu igauan yang mana rakyat jelata kesudahannya menjadi mangsa selepas begitu banyak tumpuan diberikan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang tidak sampai pun dua bulan lompangnya.

Sepanjang jangka masa berkempen merebut kuasa, nasib rakyat dijadikan penumpuan cukup tinggi oleh setiap parti dan calon yang menjadi jaguh serta wira mereka. Keluhan rakyat tidak lekang di bibir di samping tempikan pidato untuk memenangi hati sanubari, lebih tepat lagi undi mereka.

Pelbagai jampi serapah digunakan, baik bersemuka mahupun secara maya. Jutaan pengundi muda menjadi fokus dalam menyelami kehendak mereka memandangkan buat kali pertama menampilkan diri memilih kerajaan baharu. Masing-masing calon meneka-neka itu dan ini dengan harapan jerat samar yang dipasang akan mengena. Malangnya tidak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Parlimen tergantung lebih seminggu untuk kali pertama dalam sejarah PRU negara. Suasana menjadi kelam-kabut. Rakyat terpegun melihat gelagat bakal-bakal ketua mereka. Tidak manis!

Sekali gus kotak pandora terbuka luas dengan pelbagai kejutan. Nasib rakyat jatuh nombor dua tiba-tiba. Wira dan jaguh yang mendabik dada mula menepuk meja berebut kuasa gila-gila. Aib dan cela bermaharajalela.

Segan silu diketepikan, sedangkan rakyat jelata terpinga-pinga. Apa jadi dengan janji kerajaan bersih tanpa perasuah dan kleptokrat? Apa jadi dengan prinsip tolak si anu dan si ani kerana terpalit berbagai kerenah?

Apa jadi kepada demokrasi yang mengutamakan undian terbanyak dan calon terhebat membentuk kerajaan? Mengapa Si Luncai dibiarkan terjun dengan labu-labu sekali lagi?

Ini bukan kehendak rakyat yang sedang menderita lara sejak serangan Covid-19 melanda dan pemimpin kerajaan bergelar Perdana Menteri silih berganti angkara langkah itu dan ini.

Rakyat jelata tertipu lagi sekali? Harga yang mereka bayar bukan setakat harga telur atau ayam yang ramai tidak mampu, tetapi harga maruah diri yang terpaksa mengemis kais pagi dan kais petang.

Sementara itu, laungan dan akuan membela nasib rakyat bertukar nada menyepi. Kini kononnya siapa yang tidak mampu jangan beli. Pengalaman ini sudah lama diketahui umum tanpa membawa kesan. Penyelesaian ini cetek untuk menjuarai derita rakyat mengikut pendapat para pakar ekonomi. Bukan begitu?

Dalam kemelut bertikam lidah, nasib rakyat terus dikompromi hari demi hari. Hanya belum ada yang dilaporkan mati umpama peristiwa Baling 1974. Namun, pada kali ini peristiwa Batang Kali pula menawar diri.

MEWAH

Lebih 30 nyawa dilenyapkan serentak sekelip mata akibat tanah runtuh yang tidak diduga. Hampir setengah kanak-kanak menjadikannya peristiwa terburuk selepas tragedi keruntuhan Highland Towers di Ulu Klang, Selangor sekitar tiga dekad lalu. Bezanya ketika itu lebih ramai yang terkorban dan dikatakan ada masih belum dijumpai sehingga hari ini.

Letaknya di puncak bukit sebagai pangsapuri mewah dan diiktiraf strukturnya. Sedangkan Batang Kali di lereng lembah bukit untuk tujuan bercucuk tanam. Tidak diiktiraf selain daripada itu. Apatah lagi sebagai tempat perkhemahan awam yang tidak mendapat izin dari pihak berwajib.

Walaupun semua mangsa dilaporkan dijumpai, ternyata mereka lebih mewakili kelompok marhaen. Ada yang mati terkambus dalam beg tidur kerana tidak sempat menyelamatkan diri. Kedua-dua peristiwa mungkin berbeza namun besar kemungkinan sebab-musababnya agak sama.

Pun begitu, kempen PRU15 tidak menyentuh hal alam sekitar sebagai isu kebajikan dan keselamatan yang utama untuk rakyat jelata khususnya yang marhaen. Ramai yang sibuk tentang kemungkinan cuaca buruk jika PRU diawalkan, tetapi hanya atas keselesaan mengundi sahaja.

Soal mati hidup tidak dipentingkan kerana saban tahun akan ada sahaja kematian akibat banjir dan cuaca buruk. Umumnya, seperti Batang Kali, melibatkan kanak-kanak tanpa berdosa akibat kealpaan. Mereka tidak boleh mengundi, jadi apa hendak dikira! Lagipun tidak mencemaskan, berbeza dengan Batang Kali, walaupun nyawa yang hilang tetap merugikan serta mengecewakan.

Paling tidak jumlah kes sepanjang musim banjir mungkin melebihi angka 30. Oleh itu, tragedi yang sama berulang tahun demi tahun tanpa tindakan secemas Batang Kali. Mengapa?

Ini berkait fenomena ‘katak rebus’ – yakni katak apabila diletakkan dalam air yang dididihkan perlahan-lahan akan mati terebus jua. Berbanding apabila katak dimasukkan terus ke dalam air sudah mendidih, akan segera melompat keluar, terkejut.

Ini serupa dengan tragedi Batang Kali yang terjadi serta-merta. Dan oleh itu pihak berkuasa ‘meloncat’ terkejut dan bertindak! Sedang yang satu lagi tidak begitu. Malah tidak sangat dipedulikan, walaupun ramai juga mangsa yang mati.

Maka tidak hairanlah reaksi politik juga sama – iaitu mengambil ringan kerana pulangan politiknya tidak seberapa atas alasan fenomena ‘katak rebus’ tadi. Lama-kelamaan fenomena ini menjadi kelaziman sebati dengan fikiran penggubal serta pelaksana dasar yang liat menukar budaya tindakannya.

Lantas atas sebab itulah banjir akan terus berlarutan berbanding kejadian Batang Kali, mahupun Highland Towers yang lebih berkala. Maksudnya, kes-kes kecil (termasuk kematian) akan terus berlaku selagi budaya lama terus menebal seperti sekarang ini!

Pendek kata, masih belum ternampak bagaimana derita rakyat jelata akan terhindar selagi keselesaan minda ‘katak rebus’ berakar umbi sejak dahulu lagi! Mungkinkah tahun 2023 membawa reformasi yang dinanti-nanti tatkala sikap si katak rebus dinyahkan sama sekali.

Sebaliknya, lebih segera ‘meloncat’ terkejut melindungi rakyat melalui usaha yang lebih berkesan dan bermanfaat. Yakni, rakyat jelata mendapat penghormatan setanding sebagai para pengundi dan tidak diolok-olokkan dalam percaturan politik seadanya.

Sekali gus pengorbanan wira bomba antara yang terawal tiba di lokasi tragedi Batang Kali, Allahyarham Abd. Aziz Usoff disanjung tinggi. Al-Fatihah. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×