SEREMBAN: Bermula untuk mengisi waktu terluang, minat mengumpul barangan antik sejak 20 tahun lalu menjadi aktiviti mengeratkan hubungan keluarga seorang eksekutif, di sini.
Ridzwan Darus, 53, berkata, pada mulanya hanya dia yang berminat mengumpul barangan antik namun lama kelamaan diikuti isteri dan anaknya.
Sehinggakan rumah mereka di Taman Panchor Jaya, dekat sini penuh dengan koleksi barang antik yang dihias dan disusun rapi termasuk seterika tembaga, telefon lama dan pinggan.
Bekerja sebagai eksekutif di sebuah kilang, Ridzwan berkata, dia mula mengumpul barangan antik hanya untuk mengisi masa selepas mengalami masalah kesihatan pada 2001.
“Saya mahu mencari hobi mengisi waktu terluang dengan menanam pokok namun minat itu tiada.
“Kemudian saya mengumpul sedikit demi sedikit barangan lama seperti seterika dan tempayan. Saya mula rasa seronok sehingga sanggup mencari barangan di kawasan timbunan sampah dan kini rumah saya sudah seperti galeri antik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Ridzwan, minatnya turut disokong isteri, Fouzia Mahamad Hamli, 51, dan anak keduanya, Alif Ridzwan, 9, yang mengumpul barangan lama seperti mangkuk tingkat, magnet, pinggan mangkuk lama serta barangan minuman berjenama Milo dan Coca-Cola.
“Mereka mengumpul mengikut citarasa masing-masing,” katanya.
Tambahnya, dia yang mempunyai lebih 800 jenis barangan lama dan terpakai turut menjual koleksi antik sekiranya mendapat permintaan terutama di laman sosial Facebook. – UTUSAN











