Hikmah PKP: Pusat Tahfiz Mawar jana pendapatan sampingan - Utusan Malaysia

Hikmah PKP: Pusat Tahfiz Mawar jana pendapatan sampingan

Ahmad Fahmi Abu Bakar (dua dari kanan) bergambar di Pusat Tahfiz Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar) bersama beberapa kakitangan pusat tahfiz itu di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seperti kebanyakan institut pendidikan persendirian lain, pusat tahfiz Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (Mawar) ini juga tidak dapat mengelak daripada terkena tempias akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Selain mengalami penurunan dari segi jumlah pelajar termasuk yang berhenti atau tidak dapat menyambung pengajian mereka, madrasah yang ditubuhkan hasil inisiatif sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Mawar Pulau Pinang (YMPP) itu juga berdepan masalah penyusutan dana atau sumber kewangan untuk meneruskan operasi mereka ketika ini.

Berpegang kepada prinsip Man Jadda Wajada (sesiapa yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu, maka, dia akan mendapatkan hasilnya), pemilik pusat tahfiz berkenaan, Ahmad Fahmi Abu Bakar mula memikirkan pelbagai alternatif untuk menjana pendapatan sampingan bagi meneruskan kelangsungan madrasah yang ditubuhkan sejak lebih lima tahun lalu itu.

Kata Ahmad Fahmi, dalam masa yang sama, mereka juga berusaha menganjurkan pelbagai aktiviti secara percuma sebagai sumbangan atau sedekah khususnya kepada penduduk setempat serta orang ramai yang sering mengikuti perkembangan pusat tahfiz tersebut terutamanya menerusi media sosial.

“Alhamdulillah, walaupun pusat tahfiz Mawar berdepan pelbagai kekangan termasuk PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat Covid-19 dan sebagainya hingga membataskan sumber kewangan kami, kami masih berusaha menjana pendapatan kami sendiri dengan pelbagai cara.

“Setakat ini juga, kami bersyukur kerana segala urusan kami dipermudahkan Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

 

Salah seorang tenaga pengajar mengendalikan kelas secara dalam talian bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran semasa pandemik Covid-19.

Ahmad Fahmi berkata, bermula dengan penganjuran kelas bahasa Arab dalam talian secara percuma kepada orang ramai, Mac lalu, beliau juga mengendalikan kuliah ‘tadabbur’ iaitu berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran menerusi Facebook pusat tahfiz itu yang disiarkan secara langsung hampir setiap pagi.

Katanya, sambutan untuk program itu sehingga kini amat memberangsangkan dengan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang walaupun hanya disiarkan menerusi Facebook.

Bagi memastikan dana pusat tahfiz itu terus mencukupi untuk menampung proses pengajaran dan pembelajaran di situ pula kata Ahmad Fahmi, mereka tampil dengan program Bacaan 30 Juzuk yang melibatkan 30 pelajar di situ.

“Menerusi program ini, setiap 30 pelajar itu akan membaca satu juzuk seorang secara dalam talian iaitu menerusi aplikasi Google Meet dan ini biasanya kita akan buat jika berlaku kematian dan sebagainya.

“Sebenarnya, selain bacaan al-Quran, program ini kita jalankan secara 4 dalam 1 iaitu termasuk bacaan tahlil untuk si mati, penyediaan makanan (kenduri tahlil) dan penghantarannya sekali pada kadar RM12 seorang serta bergantung kepada sumbangan yang kami terima untuk tujuan berkenaan,” ujar beliau.

Katanya, langkah tersebut sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa majoriti pusat tahfiz hanya mahu mengutip derma tanpa melakukan sesuatu sebagai balasan khususnya kepada masyarakat.

SAMPAH JADI SEDEKAH

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi memberitahu, selain program Bacaan 30 Juzuk itu, pihaknya juga mengambil inisiatif menganjurkan kempen ‘Sampah Menjadi Sedekah’ di dua taman perumahan sekitar Kepala Batas iaitu Taman Bertam Putra dan Taman Bertam Perdana, baru-baru ini.

“Melalui kempen ini, kita akan pergi dari rumah ke rumah bagi mendapatkan barang-barang terpakai atau terbuang termasuk plastik, perabot atau barang elektrik untuk dikitar semula.

“Jika barangan tersebut masih elok serta boleh dipakai, kita akan baiki kerana kita mempunyai juruteknik kita sendiri dan jika tidak, kita akan menjualnya kepada pusat kitar semula sahaja,” katanya.

Jelas Ahmad Fahmi, sehingga kini, pihaknya berjaya mengumpul dana sehingga RM10,000 hasil program-program yang dianjurkan sepanjang PKP itu.

“Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti atau program sampingan, kelas-kelas terutamanya untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) masih berjalan seperti biasa iaitu secara dalam talian sehingga cuti hujung tahun bermula,” katanya.

 

MEMBACA al-Quran antara yang aktiviti yang sering dijalankan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan bermula.

Selain itu, pusat tahfiz tersebut juga dalam perancangan untuk menganjurkan program ‘Jom Baca Al-Quran’ secara dalam talian ketika cuti sekolah nanti.

Tambahnya, pengambilan pelajar baharu untuk sesi tahun hadapan juga akan dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi dokumen Google Form.

Dalam perkembangan lain katanya, walaupun pusat tahfiz itu masih menyewa bangunan hingga ke hari ini, namun, mereka telah berjaya membeli sebidang tanah berharga kira-kira RM400,000 hasil dana serta sumbangan yang diterima sebelum ini.

“Insya-Allah, jika tiada halangan, pusat tahfiz Mawar ini akan memiliki bangunannya sendiri menjelang ulang tahun penubuhannya yang ke-10 iaitu pada 2025 nanti,” katanya optimis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×