Mengemudi cabaran ekonomi negara 2023

Mengemudi cabaran ekonomi negara 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT menyambut tahun baharu 2023. Kerajaan yang baru dibentuk menjadi harapan untuk membawa Malaysia ke landasan pertumbuhan ekonomi yang mampan, meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Kestabilan politik adalah syarat penting untuk sebuah negara membangun dengan berjaya tetapi itu sahaja tidak cukup. Kita amat mengharapkan perancangan jitu disusuli tindakan berkesan. Masih terlalu awal untuk menilai. Mungkin dibentang 100 hari nanti?

Malaysia memasuki 2023 dengan dua cabaran besar. Pertama, mengemudi ekonomi negara dalam suasana ekonomi global yang dijangka lembab. Kedua, menangani cabaran bagi menstruktur semula ekonomi negara agar dapat menyelesaikan permasalahan dan kekangan yang membelenggu kita untuk melonjak semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terkini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi dunia tumbuh dengan kadar 2.7 peratus pada 2023, dari 6.2 peratus (2021) ke 3.2 peratus (2022). Negara-negara maju dijangka tumbuh pada kadar 1.1 peratus dan negara membangun 3.7 peratus.

Rumusannya, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, 2023 adalah mencabar buat Malaysia. Perdagangan antarabangsa dijangka menyusut kepada 2.5 peratus, menurun daripada 10.1 peratus (2021) dan 4.2 peratus (2022). Dengan permintaan global menguncup, eksport negara akan terkesan. Hampir 30 peratus eksport negara pergi ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan China yang semuanya diunjur tumbuh dengan kadar sangat rendah.

Kadar inflasi global mencecah 8.8 peratus, 7.2 peratus di negara maju dan 9.9 peratus dalam kalangan negara membangun. Tindakan AS menaikkan kadar faedah bagi mengekang tekanan inflasi telah memperlahankan ekonomi negara berkenaan (dijangka 1 peratus untuk 2023) dan turut menaikkan nilai dolar AS. Tamparan kepada ekonomi membangun termasuk Malaysia.

Sudahkah kita mengenal pasti kumpulan masyarakat yang berkemungkinan terkesan? Bagaimana mereka terkesan? Apa langkah akan diambil bagi meringankan kepayahan mereka? Yang pasti, keutamaan adalah kumpulan isi rumah berpendapatan rendah. Satu cabaran utama Malaysia adalah hampir separuh daripada tujuh juta isi rumah (anggaran kasar melibatkan 14 juta rakyat) mempunyai pendapatan kurang dari garis pendapatan rentan, iaitu 2.5 kali garis kemiskinan. Rentan bukan miskin. Berdasarkan Kajian Pendapatan Isi Rumah 2019, pendapatan penengah isi rumah di sembilan negeri adalah lebih rendah dari garis pendapatan rentan negeri berkenaan.

Isi rumah berpendapatan rentan mudah terjejas kepada kejutan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi perlahan yang mengurangkan permintaan akan memberi kesan kepada kumpulan ini.

Kerajaan perlu segera membangunkan sistem jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan mudah dicapai semua rakyat. Bukan untuk bermajikan dan berniaga sahaja. Malaysia tidak mempunyai sistem jaringan keselamatan sosial yang berkesan. Pengalaman menangani krisis pandemik Covid-19 menyedarkan kita bahawa sistem jaringan sosial yang menyeluruh amat penting. Pelbagai program bantuan sosial diperkenalkan oleh pelbagai agensi tetapi setiap satu bersifat terasing dan tidak membentuk satu sistem yang mudah dicapai.

Pemetaan program bantuan sosial Kerajaan Persekutuan pada 2020 mendapati 192 program melibatkan sekitar 20 kementerian/agensi. Terdapat pertindihan skop dan masing-masing dengan birokrasi, syarat dan kriteria berbeza menjurus kepada fungsi kementerian. Ada juga isi rumah yang layak tetapi tidak mendapat bantuan sewajarnya. Tiada matlamat akhir yang jelas bagi program bantuan sedia ada.

PRU14
Pemberian bantuan sosial sebegini bukan sahaja tidak efisien, tidak komprehensif, tidak bersasar malah ia juga berpotensi membebankan kewangan negara. Bantuan bersifat ad hoc tertakluk kepada permasalahan dihadapi dan kesegeraan. Satu sistem jaringan sosial dengan pangkalan data terperinci mampu mempercepatkan bantuan sampai kepada yang memerlukan.

Cabaran kedua Malaysia adalah menangani kekangan struktur ekonomi negara. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita jarang berbincang tentang status daya saing negara. Ia hilang dari radar utama. Laporan IMF World Competitiveness Yearbook 2022 sangat merisaukan. Daya saing negara merudum dari kedudukan ke-22 (2018) kepada 32 (2022), jatuh 10 anak tangga.

Kejatuhan juga dilaporkan bagi daya saing bakat, kini berada di tangga ke-33 (2022) dari tangga ke-22 (2018). Begitu juga daya saing digital, menurun dari tangga ke-27 (2018) ke 31 (2022). Daya saing negara semakin rendah, berganjak tangga 30-an! Keupayaan negara untuk mengubah asas ekonomi negara menepati ekonomi digital dan mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 kini tercabar. Kita tidak boleh membiarkan kejatuhan daya saing ini berlarutan. Tindakan mesti diambil segera bagi memastikan struktur ekonomi bersedia untuk membuat anjakan ini.

Pelabur antarabangsa memilih lokasi mereka berdasarkan daya saing sesebuah negara. Hala tuju jelas, pelaksanaan berkesan dan komitmen tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan berkualiti perlu disegerakan.

Umumnya, cabaran struktur memerlukan koordinasi berkesan antara kementerian dan agensi berkaitan. Tiada isu struktur yang boleh diselesaikan oleh satu kementerian sahaja. Perlu tindakan bersama, serentak, sepakat, bukan berasingan. Sebagai contoh, untuk membangunkan industri aeroangkasa, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu menggiatkan promosi menarik pelabur antarabangsa dengan tawaran nilai yang jelas. Geran dan insentif khusus industri mesti diperkenalkan oleh MITI dan Kementerian Kewangan. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia perlu membangunkan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan menyediakan tenaga kerja berkualiti. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), KPT dan agensi pembangunan teknologi bersama-sama membangunkan program penyelidikan dan inovasi aeroangkasa serta infrastruktur teknologi diperlukan.

Hampir semua kekangan struktur yang kita hadapi telah lama dikenal pasti. Bukan baharu. Berulang kali dibincang di pelbagai majlis dan jawatankuasa.

Antaranya kualiti pendidikan, kualiti tenaga kerja, kemajuan teknologi, birokrasi melaksanakan perniagaan, kebanjiran pekerja asing, sekuriti makanan, kemajuan wilayah, pekerjaan berkualiti, kemalaran kadar upah, kos sara hidup, dan banyak lagi. Pelan induk, pelan hala tuju, pelan tindakan dan pelbagai dokumen telah dilancarkan.

Cabaran utama kita adalah pelaksanaan berkesan. Kita perlu kesanggupan politik dan komitmen tinggi bagi menangani kekangan struktur ini. Pastinya kepimpinan kerajaan, anggota perkhidmatan awam, industri dan rakyat semuanya berperanan. Semoga 2023 menjadi pencetus kepada komitmen yang bersungguh-sungguh. Kita tiada masa untuk bertangguh lagi.-UTUSAN

PROFESOR Tan Sri. Dr. Noor Azlan Ghazali ialah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif ,Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM). Kini beliau Sarjana Fulbright di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×