Kemelut Palestin-Israel tiada jalan kembali? - Utusan Malaysia

Kemelut Palestin-Israel tiada jalan kembali?

TRAGEDI yang menimpa rakyat Palestin seharusnya membuka mata umat Islam di seluruh dunia agar bersama berganding bahu berjuang demi memerdekakan saudara seagama di negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH terdahulu memperlihatkan masyarakat Yahudi ataupun Bani Israel adalah sekumpulan kecil manusia yang wujud dari abad sebelum Masihi hingga ke hari ini.

Allah SWT menggambarkan perbuatan buruk mereka dalam melakukan kerosakan di bumi ini dengan firman-Nya: “Mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.” (Surah al-Maidah: 64)

Negara ataupun bangsa Israel merupakan penganut Yahudi sejak diisytiharkan sebagai negara pada 1948. Walaupun berasal daripada sekumpulan masyarakat kecil, mereka menunjukkan kepada dunia bahawa mereka merupakan bangsa yang wujud di dunia ini dengan cara perjuangan. Perbuatan yang menjadi topik hangat dalam perbincangan umum global yang tidak pernah menemui penyelesaiannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sedangkan Palestin pula merupakan sebahagian daripada takluk jajahan kerajaan Uthmaniyah pada zaman kegemilangannya. Akan tetapi, Palestin dikuasai oleh Barat pada 1917 sehingga membuatkan daerahnya terhakis sedikit demi sedikit oleh Israel. Ini membuatkan Palestin yang mempunyai majoriti penduduk Islam belum pernah mendapatkan kemerdekaannya sejak itu.

Keadaan semakin memburuk bagi Palestin. Ini disebabkan perang yang berlaku pada Jun 1967. Peperangan selama enam hari itu menyebabkan Jerusalem Timur, Masjid al-Aqsa dan Baitulmuqaddis dikuasai oleh Israel.

Rampasan itu dikatakan sebagai penguasaan secara politik dan perundangan. Namun realitinya, serangan tiada belas kasihan dan pembunuhan dilakukan oleh tentera Israel terhadap umat Islam di Palestin secara berterusan tanpa titik noktah.

Pada 21 Ogos 1969, sebahagian daripada Masjid al-Aqsa dibakar termasuklah khazanah sejarah bagi umat Islam, iaitu mimbar berusia 1,000 tahun musnah begitu sahaja.

Untuk mengelak penindasan berterusan, sebuah perjanjian dibuat pada 1993. Perjanjian tersebut dinamakan Perjanjian Oslo, perjanjian yang dilakukan oleh gerakan intifadah iaitu gerakan yang mahukan pembebasan orang Islam digiatkan. Perjanjian itu menuntut agar perdamaian antara Israel-Palestin dan membolehkan rakyat Israel hidup bebas di Palestin.

Akan tetapi perjanjian tersebut tidak bertahan lama. Pada akhir 2008, Israel memulakan kembali serangan mereka terhadap Palestin. Tentera Israel mengebom sekolah, rumah ibadat, kediaman orang awam serta tempat kunjungan umum.

Ia dianggap sebagai serangan untuk memerangi Hamas yang memerintah Gaza sejak Mac 2006 kerana Israel menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas yang harus diperangi.

Dalam siri penindasan dan kezaliman dilakukan tentera Israel kepada Palestin, apakah rakyat Palestin mendiamkan diri dan dibiarkan sahaja terus ditindas? Terdapat beberapa usaha membebaskan Palestin, antaranya gagasan belia daripada negara-negara Asia Barat yang ingin berjuang bersama Palestin.

PBB

Antara organisasi yang muncul adalah Gerakan Fatah. Organisasi tersebut beraliran Marxisme yang berinspirasikan revolusi al-Jazair. Selain itu, terdapat juga Organisasi Pembebasan Palestin (PLO). Organisasi tersebut muncul hasil daripada usaha Presiden Liga Arab iaitu Jamal Abdul Naser. Beliau melihat banyak usaha untuk membebaskan Palestin dibuat secara senyap dan rahsia.

Pada 1959, mesyuarat Liga Arab menyuarakan bagi mengadakan satu medan untuk mereka bersatu dalam memperjuangkan Palestin. Maka, terwujudlah organisasi itu yang bertujuan menyatukan kembali rakyat Palestin, menyelesaikan masalah, merapikan semula organisasi masyarakat dan menggiatkan rakyat Palestin untuk berjuang demi tanah air mereka.

Gerakan ini turut mendapat sokongan daripada Mesir. Organisasi itu telah memperjuangkan hak orang Palestin dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 November 1975 demi memberi keamanan dan memerdekakan Palestin.

Selain Gerakan Fatah dan PLO, terdapat juga Hamas. Gerakan tersebut merupakan kumpulan yang paling dinamik dan efektif dalam jalan kerjanya. Mereka merupakan tulang belakang daripada gerakan Ikhwanul Muslimin.

Di dalam piagamnya juga menyebutkan Islam Sebagai Jalan yang dijadikan sebagai idea, konsep dan persepsi. Gerakan ini bertujuan berjihad di jalan Allah dengan berusaha sehabis baik untuk memerdekakan bumi Palestin dan membangunkannya sebagai negara Islam yang kukuh.

Mereka turut menyeru kepentingan pendidikan dalam akar umbi bagi mewujudkan generasi diidamkan. Diketuai oleh Syeikh al-Intifadah, Ahmad Yasin; Abd al-Aziz; Jamal Salim; Hasan Yusuf dan beberapa yang lain. Mereka menciptakan satu kuasa ketenteraan yang kuat sehingga mampu menggoncang tentera Zionis Yahudi.

Hasilnya, mereka berjaya membunuh 70 orang Yahudi pada Mac 1996. Namun ironinya, PLO itu sendiri bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menekan Hamas. Hasilnya beberapa pemimpin Hamas ditangkap dan mendapat ugutan bunuh.

Penindasan Palestin dan konfliknya bersama Israel merupakan realiti di dunia kini. Perkara ini masih wujud malah akan berterusan. Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Palestin ditekan bertubi-tubi oleh Yahudi Israel, namun tidak mendapat sokongan penuh daripada negara-negara Islam di sekitarnya.

Asia Barat yang pernah bersatu suatu ketika dahulu dipanggil Jazirah Arab, kini berpecah belah menjadi negara-negara yang mementingkan diri dan mata mereka turut dikaburi akibat kekayaan yang mereka dapat pada hari ini.

Sementara itu, Israel pula semakin kukuh dan kuat dalam ekonomi dan ketenteraan mereka. Perkembangan mereka semakin pantas dengan bantuan dan sokongan daripada negara Barat seperti AS, Britain dan Perancis.

Tragedi yang menimpa Palestin ini seharusnya membuka mata umat Islam di seluruh dunia agar bersama berganding bahu berjuang demi memerdekakan saudara seagama di Palestin. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor ialah Ketua Jabatan Sejarah & Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM) manakala Harith Fahmi Mohamad Hanafi ialah pelajar di jabatan sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×