FAKTA yang cukup menarik apabila bandar raya Ipoh disenarai pada kedudukan pertama sebagai Most Underrated Places atau tempat menarik paling kurang dinilai daripada 18 lokasi di Asia oleh portal pelancongan antarabangsa terkemuka, CNN Travel.
Perkara itu diumumkan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin baru-baru ini mengatasi lain-lain destinasi pelancong di Asia iaitu Isaan (Thailand), Leshan (China), Skardu (Pakistan), Nikko (Jepun), Dalat (Vietnam), Davao (Filipina), Meghalaya (India), Pulau Ubin (Singapura), Pulau Samosir (Indonesia), Pakse (Laos), Bangladesh, Tengchong (China), Kepulauan Gogunsan, (Korea Selatan), Teluk Lan Ha (Vietnam), Kenting (Taiwan), Banteay Chhmar (Kemboja) dan Jaffna (Sri Lanka).
Penilaian itu merupakan satu pengiktirafan yang amat baik untuk menarik pelancong selain merupakan satu penghormatan kerana sememangnya Ipoh memiliki produk dan nilai pelancongan menarik. Sayangnya, selama ini kurang mendapat perhatian yang sewajarnya.
Menjelaskan kenapa Ipoh berada pada kedudukan nombor satu sebagai tempat menarik kurang dinilai, portal itu menggambarkan Ipoh sebagai sebuah bandar kaya dengan keindahan bukit batu kapur dan gua yang menjadi lokasi kuil unik, sesuatu yang menakjubkan yang sukar dilihat di tempat lain.
Ketika Pulau Pinang terkenal dengan makanan yang enak, portal itu menjelaskan, Ipoh juga terkenal sebagai bandar makanan Malaysia yang hebat.
Keenakan makanan di Ipoh sememangnya sudah dikenali. Lantaran itu tidak hairan setiap hujung minggu, bandar raya Ipoh mengalami kesesakan lalu lintas berikutan kehadiran orang luar untuk menikmati makanan.
Lokasi Ipoh di antara Kuala Lumpur dan George Town di Pulau Pinang juga menjadikan bandar raya itu tempat persinggahan yang ideal untuk ke mana-mana destinasi lain.
Satu aspek ketara ialah walaupun membangun, seni bina warisan kolonial di Ipoh tetap dijaga. Antaranya stesen kereta api dan Menara Jam Birch, bangunan dewan bandar raya dan pejabat pos lama di tengah bandar raya Ipoh.
Pengiktirafan yang diberikan oleh portal tersebut bertepatan dengan usaha kerajaan negeri mempergiatkan promosi bagi menarik seramai mungkin pelancong dan pelabur ke Ipoh.
Mengulas berita baik tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pengunjung perlu merasai sendiri keistimewaan bandar raya Ipoh.
“Penilaian oleh portal pelancongan antarabangsa itu amat bermakna dan diterjemahkan sebagai pengiktirafan, di samping dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Ipoh sempena Tahun Melawat Ipoh 2023,“ kata Sandrea.
Selain aspek pelancongan, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Ipoh dan Petaling Jaya dalam senarai dua kawasan di negara ini dengan jumlah carian tertinggi oleh rakyat Malaysia yang sedang mencari hartanah kediaman untuk dijual di laman web iProperty.com.my, antara Januari hingga November.
Ini mencerminkan perubahan dalam corak carian hartanah kediaman apabila lebih ramai pembeli rumah dan pelabur berpotensi kini mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang.
Apa yang pasti, Ipoh menawarkan lokasi menarik dan rumah bertanah mampu milik dalam persekitaran yang mesra keluarga.
Ipoh menjadi pilihan kerana mempunyai laluan perhubungan terus dengan Lebuh Raya Utara-Selatan yang memudahkan untuk ke mana-mana destinasi ke utara atau ke selatan.
LONELY PLANET
Sebenarnya Ipoh juga pernah disenaraikan di dalam laman web pelancongan antarabangsa, Lonely Planet, sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di negara ini yang terbaik pada 2016.
Salah satu sebab mengapa Ipoh menjadi lokasi pilihan kepada ramai pelancong adalah kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik di sebalik pembangunan pesat dialaminya.
Di Ipoh, masih banyak bangunan-bangunan lama yang masih terpelihara dengan baik. Apa yang menarik, fungsi bangunan lama ini diubah mengikut selera anak-anak muda yang tinggal di Ipoh sehingga bandar raya itu digelar sebagai bandar hipster Malaysia.
Tidak ketinggalan juga kajian menunjukkan Ipoh merupakan salah satu destinasi untuk golongan pencen termasuk warga asing.
Malah, dikatakan ramai orang Jepun memilih Malaysia khususnya Ipoh sebagai lokasi bersara menggunakan skim rumah kedua.
Berdasarkan laporan Long Stay Foundation Tokyo, ramai penduduk Jepun memilih bandar raya itu sebagai lokasi untuk mereka menetap selepas pencen antaranya kerana Ipoh mempunyai banyak suasana hijau, kualiti air yang baik, pelbagai makanan lazat, kos sara hidup rendah dan mampu milik, kemudahan hospital dan ramai doktor profesional, tiada kesesakan lalu lintas selain banyak tarikan semula jadi.
Diakui orang luar yang bekerja di Ipoh kebanyakan mereka tidak berfikir panjang untuk mengambil keputusan terus tinggal di situ atas pelbagai faktor.
Namun, kesesakan lalu lintas semakin menjadi keluhan warga Ipoh berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Selain itu, isu kerosakan jalan juga perlu diberikan perhatian demi menjaga imej Ipoh dan keselesaan pengguna.
Selepas satu persatu pengiktirafan yang diterima oleh Ipoh khususnya dalam aspek pelancongan, maka sudah sewajarnya mereka yang belum menjejakkan kaki ke sana memikirkan bandar raya itu sebagai destinasi kunjungan jika mahu bercuti.
Jelajahilah bandar raya yang terkenal dengan ekonomi berasaskan bijih timah suatu ketika dahulu, moh le ramai-ramai ke Ipoh. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.











