Muzik perlu melalui proses islah

Muzik perlu melalui proses islah

ANTARA pemuzik antarabangsa yang terkehadapan dalam muzik genre harmoni dan bersifat sejagat ialah Mei-lan Maurits dari Mexico.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 2 Disember lalu, penggiat seni dan budaya ‘melompat terkejut’ apabila pengumuman Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menyebut nama Kementerian Pelancongan sekali gus menimbulkan tanda tanya orang ramai tentang portfolio seni dan budaya yang sebelum ini disekalikan di bawah kementerian itu.

Setelah bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penggiat seni dan budaya yang tegar menyokong Anwar sejak era reformasi, mesyuarat Kabinet enam hari selepas itu memutuskan mengekalkan nama asal iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Tidak dapat dipastikan punca berlaku kesilapan tidak sepatutnya itu tetapi saya tertarik dengan kolum ditulis oleh Felow Pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faisal Tehrani dalam sebuah portal berita bertajuk Anwar, percayalah kamu perlukan seni budaya yang dimuat naik pada 9 Disember lalu yang menggesa Perdana Menteri mengubah realiti di Malaysia sekarang apabila urusan seni dan budaya paling terkemudian dalam kepala sesiapa pun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, persepsi itu wujud kerana seni dan budaya dilihat tidak membawa manfaat termasuk dari segi pulangan kewangan dan faedah lain yang nyata kepada masyarakat kecuali kepada kocek pemuzik dan penyanyi itu sendiri.

Tegas beliau, seni dan budaya akan memanfaat dari segi jiwa rakyat termasuk mewaraskan masyarakat yang cukup terbiasa dengan rasuah dan korupsi. Seni dan budaya ini akan kembali mensiumankan orang Malaysia bahawa negara ini memerlukan kemanusiaan dan bukan fahaman perkauman sempit.

Tulisnya, seni dan budaya yang akan meleburkan India dengan India, Melayu dengan halal haram tidak berkesudahan, mencairkan Cina dan kecinaannya, merapatkan Borneo yang terasing sekian lama. Seni dan budaya yang akan sebenar-benar meletakkan perpaduan pada ‘kerajaan perpaduan.’

Dalam pada itu, perkataan seni dapat ditakrifkan sebagai suatu bentuk karya yang indah seperti pantun, ukiran, lukisan, muzik dan lain-lain lagi yang dicipta dengan bakat seseorang itu manakala budaya merujuk kepada cara hidup sesuatu bangsa yang dapat dilihat dari perilaku dan benda-benda bersifat nyata digunakan masyarakat terbabit seperti bahasa, peralatan dan organisasi sosial yang wujud.

Sebenarnya, takrif seni dan budaya memang cukup luas dan yang mahu saya sentuh adalah seni muzik harus memberi manfaat yang nyata kepada masyarakat.

Jarang sekali kita dengar pemuzik di Malaysia mencipta muzik untuk meredakan tekanan yang dialami rakyat ketika pandemik Covid-19. Kajian dalam talian melibatkan 1,554 penduduk Malaysia yang disiarkan Clinical Epidemiology and Global Health pada Oktober 2021 mendapati 70 peratus responden mengalami gejala murung sederhana dan teruk selepas gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.

Antara tanda-tanda seseorang itu mengalami sakit mental adalah berasa seperti keseorangan dan rasa kosong dalam diri sehinggakan tidak tahu untuk mengungkapkan perasaan yang sedang dialami.

JIWA

Menariknya, sakit mental juga dikenali sebagai sakit jiwa. Apabila jiwa berasa kesunyian, apakah cara kita hendak mengubatnya? Salah satu caranya adalah dengan mendengar muzik.

Saya teringat ungkapan aktivis sosial dari Amerika Syarikat, L.R. Knost yang pernah menyebut, “Muzik menuturkan bahasa jiwa, mengingatkan kita tentang kekuatan luar biasa yang tidak terhingga yang kita ada dan mengingatkan kita sekali lagi tentang siapa yang kita sepatutnya jadi.”

Perkara sama diluahkan ahli sufi, Hazrat Inayat Khan (1882-1927), “Muzik adalah bahasa jiwa dan untuk dua orang yang berlainan bangsa atau kaum untuk bersatu, tidak ada cara yang lebih baik daripada melalui muzik.”

Apakah jenis muzik yang dapat mengubati jiwa kita? Menurut ahli falsafah Greek, Pythagoras, ia termasuk dalam genre yang disebut the music of the spheres atau muzik harmoni dan bersifat sejagat.

Muzik terbabit mesti harmoni dari segi matematik sama seperti pergerakan bintang, matahari, bulan dan planet yang mempunyai keseimbangan berasaskan formula matematik dan geometri. Menurut ahli astronomi Jerman abad ke-16, Johannes Kepler, muzik yang terhasil daripada pergerakan bintang, matahari, bulan dan planet tidak boleh didengar oleh telinga fizikal tetapi dapat dirasakan oleh jiwa atau roh kita.

Untuk menghasilkan muzik sedemikian, kita perlu ‘mendengar’ muzik dengan jiwa dan kemudian menirunya semula menggunakan alat-alat muzik fizikal yang boleh didengar semua orang.

Dikatakan antara muzik yang mencapai taraf itu adalah dihasilkan Wolfgang Amadeus Mozart dari Austria. Berdasarkan kajian yang dijalankan sekumpulan pakar dari Universitas Riau, Indonesia pada 2017, muzik-muzik klasik ciptaan Mozart berkesan merawat pesakit skizofrenia iaitu sejenis penyakit jiwa yang menyebabkan fikiran seseorang itu bercelaru, halusinasi dan suka memencilkan diri. Muzik-muzik Mozart memberikan kesan santai dan damai serta mengurangi perilaku agresif dan antisosial.

Selaras dengan gesaan yang dibuat oleh Anwar supaya kita berpegang kepada semangat atau nilai islah yang membawa maksud pembaharuan, dalam erti kata usaha untuk memperbaiki dan menjadi lebih baik, maka diharapkan akan ada pemuzik di Malaysia yang sehebat Mozart untuk menghasilkan muzik harmoni dan bersifat sejagat.

Antara pemuzik antarabangsa yang terkehadapan dalam muzik genre itu ialah Mei-lan Maurits dari Mexico. Nama beliau selalu disebut oleh artis-artis Hollywood kerana telah menghasilkan muzik alternatif baharu untuk mengubat tekanan hidup dihadapi mereka.

Maurits apabila dilontar pujian terhadap dirinya, mengambil sikap merendah diri dengan menyatakan beliau hanya sound oracle (pengantara) yang membawa muzik dari alam lain yang tidak dapat didengar ke alam fizikal kita.

Sebelum ini, artis-artis Hollywood menjadikan puisi-puisi ahli sufi abad ke-13 dari Konya, Turkiye, Jalaluddin Rumi sebagai pengubat tekanan hidup mereka.

Misalnya, penyanyi utama kumpulan rock, Coldplay, Chris Martin pernah menceritakan pengalaman semasa berada dalam situasi kemurungan ketika dalam proses perceraian dengan bintang filem Iron Man dan The Avengers, Gwyneth Paltrow pada 2014.

Seorang kawan memberikan sebuah buku koleksi puisi ahli sufi itu yang kemudiannya telah mengubah hidupnya untuk bersikap lebih positif walaupun perkahwinan selama 10 tahun itu berakhir dengan perpisahan. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×