Hari ini kita pula PATI di negara orang

Hari ini kita pula PATI di negara orang

JIKA benar rakyat Malaysia selesa untuk bekerja di luar negara, maka kerajaan harus merangka strategi dan polisi supaya mereka bekerja di sana mengikut saluran yang betul. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA marah bukan main dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh masuk ke dalam negara ini demi mencari sesuap rezeki. Warga Bangladesh, Nepal dan Indonesia sentiasa menjadi sasaran pejuang anti-PATI tanah air.

Masyarakat juga berang dengan sikap sebahagian pendatang haram ini yang menyalahgunakan pas lawatan atau visa pelancong mereka dengan menetap dalam tempoh lebih panjang dan bekerja secara haram.

Pepatah Melayu ada menyebut, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Dahulu kita benci PATI tetapi hari ini, kita pula jadi PATI di negara orang. Kalau dahulu, asal nampak wajah warga Bangladesh dan Nepal, terus kita menganggap mereka sebagai PATI.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada hari ini, kita jadi PATI di bumi orang. Lihat sahaja kes-kes warga kita yang sanggup menyalahgunakan visa pelancong mereka untuk bekerja sebagai pemetik buah di Australia dan pekebun di Korea Selatan.

Disebabkan perangai segelintir mereka ini, akhirnya sukar untuk pelancong kita yang ingin mendapatkan visa ke Australia. Golongan yang bekerja secara haram di luar negara ini beralasan gaji di sana lebih besar dan memuaskan serta dakwa mereka, tidak salah nak cari rezeki di bumi orang. Nah, sekarang mereka guna semua hujah PATI yang menceroboh ke Malaysia.

Cari rezeki biar kena pada caranya. Mana boleh bekerja secara haram, tanpa permit. Kalau macam itu, biarlah PATI bertebaran di atas muka bumi Malaysia ini dengan alasan mencari rezeki.

Melihat dari sudut berbeza, sebenarnya saya lihat ini adalah satu perkembangan yang baik untuk negara. Memandangkan rakyat Malaysia sudah mula berminat berkelana ke luar negara bagi mencari kerja sebagai peladang atau pekebun, maka saya fikir kerajaan perlu memudahkan urusan mereka dengan merangka polisi untuk menghantar buruh Malaysia ke luar negara secara sah.

Mengapa tidak? Apa yang nak dimalukan? Bukankah rakyat kita sendiri akui bayaran di sana jauh lebih lumayan daripada gaji yang diterima di negara sendiri? Bukankah ini satu perkhabaran baik apabila rakyat Malaysia yang sebelum ini dilihat sangat memilih pekerjaan kini sudah mampu menurunkan taraf mereka dengan bekerja sebagai buruh?

Apa salahnya orang kita jadi pekerja pembersihan di Indonesia? Buruh binaan di Singapura atau pemetik buah di Australia? Adakah ia satu pekerjaan yang menjijikkan? Sudah pasti tidak. Maka tidak ada alasan untuk tidak pelbagaikan sumber ekonomi negara.

Mungkin cadangan ini kedengaran agak pelik dan janggal, tetapi inilah realiti di lapangan, iaitu rakyat kita sudah bersedia untuk menjadi buruh di luar negara. Kerajaan harus merangka strategi dan polisi supaya warga kita bekerja di sana mengikut saluran yang betul.

Antara pekerjaan, tenaga atau kepakaran warga kita yang boleh dieksport ke luar negara termasuklah dalam sektor pembinaan, pembersihan dan perladangan.

Saya yakin, kalau kita berani mengambil langkah ini, kita boleh pergi lebih jauh selain mempelbagaikan kaedah menjana pendapatan ekonomi negara. Selain itu menjadikan warga kita lebih aktif, produktif, berdaya saing dan berkualiti.

Nak tak nak, suatu hari nanti kita kena turut serta juga dalam globalisasi aktiviti ekonomi dunia di mana semua orang akan berhijrah secara meluas ke serata dunia. Faktor utama penghijrahan ini berlaku adalah semata-mata untuk mencari rezeki selain membina sebuah kehidupan yang lebih baik.

Andai kata cadangan ini dilihat dapat menjatuhkan maruah dan air muka warga Malaysia, maka kerajaan harus mendidik rakyat supaya mampu menghasilkan apa sahaja pengeluaran yang dapat dieksport ke luar negara.

Atau cara terakhir yang sememangnya agak sukar untuk dilakukan ialah mengurangkan pengambilan tenaga buruh asing lalu menggantikannya dengan anak tempatan kita. Yang paling penting, menaikkan gaji minimum ke tahap yang memuaskan.

Kalau kita mampu buat perkara-perkara ini, maka kita sudah tidak perlu berfikir atau bercakap soal eksport tenaga buruh warga Malaysia ke luar negara. Dan kita juga sudah tidak perlu nak pening kepala menguruskan warga kita yang ditahan di luar negara hanya kerana jenayah memetik buah epal di ladang mat saleh tanpa permit yang sah!-UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu-isu tempatan & antarabangsa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×