KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan makin kritikal semalam dengan bilangan penduduk terjejas dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) melebihi 66,000.
Daerah paling teruk terjejas adalah Kemaman iaitu 10,042 orang daripada 2,597 keluarga dipindahkan ke 31 PPS daerah itu.
Jumlah penduduk yang terjejas banjir di Terengganu terus meningkat kepada 39,108 orang daripada 10,735 keluarga setakat 4 petang semalam berbanding 37,792 orang daripada 10,401 keluarga pada 8 pagi.
Sementara itu, di Kelantan, keadaan banjir di Rantau Panjang yang mempunyai kira-kira 100,000 penduduk pula boleh disifatkan ‘kritikal’ ketika ini apabila kawasan itu sudah ditenggelami air dan hanya boleh diakses menggunakan bot atau lori seberat 20 tan sahaja.
Ia susulan Jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang ditutup kepada semua jenis kenderaan kecuali lori seberat 20 tan selepas ditenggelami banjir sedalam 1 hingga 2 meter.
Di Kelantan, situasi banjir makin serius apabila jumlah mangsa makin bertambah kepada 26,513 orang berbanding 25,353 orang pagi semalam.
Menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana negeri, setakat pukul 12 tengah hari semalam, sebanyak 7,739 mangsa dari lapan jajahan ditempatkan di 133 PPS.
Pasir Mas terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi melibatkan seramai 6,994 mangsa. Ia diikuti Pasir Puteh (4,379), Tumpat (4,302), Kota Bharu (4,071), Kuala Krai (3,428), Tanah Merah (1,315) Bachok (1,158) dan Machang sebanyak 1,124 mangsa.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, buat masa ini, Kemaman masih paling teruk terjejas iaitu 10,042 orang daripada 2,597 keluarga dipindahkan ke 31 PPS daerah itu.
Bagaimanapun, angka itu telah berkurangan berbanding 12,000 orang daripada 3,094 keluarga pada 8 pagi semalam berikutan penutupan enam PPS secara berperingkat setelah banjir di beberapa kawasan surut pada tengah hari.
Penambahan jumlah mangsa itu kerana semakin ramai penduduk yang terjejas disebabkan limpahan air sungai yang turun dari kawasan hulu menuju ke muka kuala di beberapa sungai utama Terengganu.
Kesemua mereka kini ditempatkan di 315 PPS di semua lapan daerah iaitu penambahan lagi lima PPS dalam tempoh lapan jam sahaja berbanding 310 PPS sebelum ini.
“Jumlah mangsa bagaimanapun terus meningkat di Besut iaitu 9,378 orang daripada 2,488 keluarga di 96 PPS berbanding 8,228 orang daripada 2,250 keluarga di 92 PPS sebelum ini.
“Daerah Dungun juga mencatat sedikit peningkatan kepada 2,913 orang daripada 831 keluarga berbanding 2,484 orang daripada 659 keluarga pagi tadi. Jumlah PPS bagaimanapun kekal di 36 lokasi.
“Di Hulu Terengganu pula, situasi banjir tidak banyak berubah dengan mangsa hanya berkurangan sedikit kepada 6,652 orang daripada 2,133 keluarga di 60 PPS berbanding 6,691 orang daripada 2,097 keluarga di 61 PPS pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertambahan mangsa banjir turut berlaku di daerah Kuala Terengganu iaitu seramai 2,252 orang daripada 594 keluarga di 11 PPS berbanding 1,900 orang daripada 503 keluarga di 10 PPS pagi semalam.
“Begitu juga di Kuala Nerus, mangsa meningkat kepada 1,720 orang daripada 407 keluarga di 12 PPS petang ini berbanding 1,521 orang daripada 371 keluarga di 10 PPS.
“Situasi sama juga di Marang yang mencatat kenaikan 1,403 orang daripada 346 keluarga di 12 PPS berbanding 980 orang daripada 231 keluarga di lapan PPS sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, banjir di Setiu menunjukkan sedikit berkurangan jumlah mangsa kepada 4,748 orang daripada 1,339 keluarga berbanding 3,988 orang daripada 1,196 keluarga pagi semalam. – UTUSAN










