Shafie terus gigih, tidak putus asa

Shafie terus gigih, tidak putus asa

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN berkecimpung dalam dunia politik lebih 30 tahun telah menjadi asam garam buat ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sepanjang hidupnya.

Anak jati Sabah dan berketurunan Bajau itu mula berjinak dalam dunia politik sejak ketika UMNO mula bertapak di negeri itu. Beliau telah terpilih sebagai Exco Pemuda UMNO bagi penggal 1993/1996.
Pada 2015, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri keenam mengugurkan nama beliau bersama empat menteri lain iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri G. Palanivel, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Dr. Ewon Ebin.

Beliau pada waktu itu memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 24 Jun 2016, beliau yang merupakan Naib Presiden UMNO dan juga merangkap Ketua UMNO bahagian Semporna digantung keahliannya selama 10 hari disebabkan dakwaan melanggar disiplin parti.
TIdak lama selepas itu, Mohd. Shafie mengejutkan ahli-ahli UMNO, dengan mengumumkan beliau mengambil keputusan berundur dari UMNO selama-lamanya.

Ketika itu beliau menyifatkan perjuangan UMNO cukup berbeza jika dibandingkan pada masa lalu.

Setelah meninggalkan UMNO, beliau bersama Datuk Darell Leiking dan beberapa ahli politik Sabah lain menubuhkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 17 Oktober 2016.

Matlamat parti adalah untuk memperjuangkan rakyat pelbagai kaum supaya dapat membentuk negara bangsa kukuh dan stabil. Ini bermakna, Warisan merupakan sebuah parti berlandaskan konsep dimiliki oleh semua kaum dengan tidak memandang perbezaan agama.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Warisan buat pertama kalinya menyertai pilihan raya besar dan juga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2018. Parti itu berjaya memenangi 21 kerusi, malah menjadi parti yang memerintah di negeri tersebut ketika itu.

Namun, pada 2020, penyertaan Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis berdepan kekalahan ketika menentang Barisan Nasional (BN).

Dalam tahun yang sama, kegagalan seterusnya terus menimpa Warisan iaitu ketika gabungan parti tersebut bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) gagal mempertahankan pemerintahan selama dua tahun sembilan bulan.

Warisan cuma memenangi 23 kerusi selepas tewas kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

LEBAR SAYAP
Pada tahun 2021, Warisan mula memperkembangkan sayap ke Semenanjung.

Tujuan utama langkah tersebut bagi memperluaskan ideologi parti dalam menyatupadukan seluruh penduduk di negara ini.

Pelebaran sayap itu adalah juga bagi mempersiapkan parti menghadapi PRU15 baru-baru ini.

Presiden Warisan itu pernah berkata kepada media sebelum ini bahawa perluasan tersebut diharapkan dapat meneruskan perjuangan pemimpin yang juga bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan negarawan, Tun Datu Mustapha.

Malah, keputusan untuk melebarkan sayap ke Semenanjung juga berdasarkan kepada permintaan rakan-rakan pemimpin yang kagum melihat semangat perjuangan dalam membela hak rakyat.

Usaha tersebut sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada pucuk pimpinan parti untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen di Sabah termasuk satu di Labuan manakala 26 lagi di Semenanjung pada PRU15.

Sayangnya, parti itu hanya berjaya memenangi tiga kerusi iaitu Semporna yang dimenangi beliau, Parlimen Lahad Datu (Datuk Mohd Yusof Apdal) dan Parlimen Kota Belud (Isnaraissah Munirah Majilis).
Kegagalan pada PRU15 menggambarkan prestasi parti yang semakin merosot kerana tidak berjaya mempertahankan kerusi-kerusi yang telah disandang sebelum ini di Sabah.

Namun, Mohd. Shafie menerimanya dengan sikap terbuka dan menghormati keputusan rakyat kerana yakin bahawa rakyat juga telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.-UTUSAN

PENULIS ialah pelatih industri Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×