POLITIK Malaysia yang dinamik ada kala tidak tersampai ‘dek akal’ boleh dipacu sedemikian rupa.
Politik tanah air terkini tidak lagi klise dan statik. Sudah masuk ‘di luar kotak’ yang sukar dijangka. Di mata kasar, bukan lagi ambil kira jangka panjang, tetapi berupa ad hoc. Banyak situasi menyaksikan tradisi itu dilanggar, yang jika diamati mendatangkan ‘kelebihan’ pula. Ketika tampak sesebuah parti itu kelihatan rebah dan mustahil bangkit semula, namun berjaya pula menundukkan keadaan. Lantas bertatih, berdikit untuk naik semula dalam ‘pemikiran strategis’ pemimpinnya.
Semenjak Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum (PRU) 2008, tiada lagi gabungan parti selepas itu mampu melepasi 148 kerusi. Hanya bermain sekitar angka majoriti mudah 112 kerusi hingga takat lebih kurang 130 kerusi dalam dua PRU, 2013 dan 2018.
Dari berlegar majoriti mudah, beralih pula ke perkiraan nombor atau akuan bersumpah (SD) untuk berkuasa selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan hanya baru 22 bulan mentadbir menerusi gerakan pintu belakang, ‘Langkah Sheraton’, Februari 2020. Selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa 17 bulan setakat Ogos 2021, diikuti pimpinan kerajaan campuran PN-BN-Gabungan Parti Sarawak (GPS)-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sehingga 19 November dengan Malaysia diterajui kerajaan perpaduan, masih lagi SD menjadi penentu kuasa.
Dan sehinggalah pagi ini, polemik SD itu bakal ditamatkan menerusi usul undi percaya terhadap Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai kerajaan perpaduan di lantai legislatif atau Parlimen.
Yang menjadi tumpuan bukan lagi usul undi percaya itu. Ataupun kemenangan undi belah bahagi di Dewan Rakyat itu mengatasi majoriti mudah. Tapi lebih jauh lagi adakah sokongan kepada Anwar dan kerajaannya melepasi majoriti dua pertiga 148. Jika itu berlaku, tampak mudah, lancar perjalanan kerajaan perpaduan memasuki gerbang tahun baharu 2023.
Persempadanan semula
Dengan kekuatan majoriti dua pertiga, satu perkara yang akan diutamakan mana-mana parti yang memiliki kelebihan itu adalah melakukan segera persempadanan semula kawasan dan bahagian pilihan raya.
Dengan mencongak di kerusi-kerusi bandar, luar bandar, berpendudukan majoriti Melayu, bukan Melayu serta marginal, peluang dan ruang lebih memihak kepada PH dan BN untuk mencaturnya. Apa lagi jika kerusi-kerusi Parlimen itu dimenangi majoriti puluhan ribu undi atau meraih melepasi 100,000 undi atau kedudukan tipis di bawah 1,000 undi.
Di atas kertas, mudah ‘membaca’ sentimen dan penguasaannya, biarpun dalam dua PRU lepas, ‘tsunami’ membadai.
Daripada 222 kerusi Parlimen, Semenanjung memiliki 117 kerusi luar bandar Melayu. Sabah dan Sarawak pula masing-masing mempunyai 19 kerusi didominasi pengundi bumiputera.
Semua 117 kerusi itu termasuk 54 kawasan Parlimen peneroka Felda dianggap nadi orang Melayu, dengan isu keagamaan dan perkauman menjadi tumpuan utama.
Mempersempadankan semula ini yang didahulukan fokusnya, akan memberi kelebihan besar kepada gabungan pemilik 148 kerusi. Kerusi-kerusi kawasan luar bandar dan negeri-negeri teras Melayu menjadi kingmaker dilupa jangan. Kelantan, Terengganu dan Kedah membuktikan persaingan sengit berterusan, sama ada mahu mempertahan atau terlepas.
Di serata dunia, pengundi luar bandar terus dan masih menjadi penentu. Di Amerika Syarikat (AS) pun lebih kurang sama senarionya. Donald Trump menang pilihan raya presiden tempoh hari menerusi sokongan padu kawasan luar bandar, bukannya New York, Los Angeles atau Washington DC.
Bahkan, beliau kalah undi popular dengan margin lebih besar berbanding mana-mana presiden dalam sejarah AS.
Undi18 dikembali ke 21?
Di sebalik persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), adakah had kelayakan mengundi dari 18 tahun akan dikembalikan semula ke 21 tahun? Ada pihak mengutarakan kebimbangan, mereka yang berumur 18 tahun tidak mempunyai pengalaman dan ilmu yang meluas tentang politik. Bahkan kebanyakan generasi muda dikatakan sangat mudah terpengaruh pada berita politik. Dan mereka berkemungkinan hanya mengundi berdasarkan undian majoriti ataupun terpengaruh dengan warga dewasa yang lain. Terserah kepada pihak berwajib untuk membuat post mortem penilaian ini.
Mendatangi 2023 dua minggu lagi, mana-mana parti politik perlu melihat kepada realiti. Tidak perlu kosmetik atau statik sangat. Harus berfikir dan mengatur strategi di luar kotak untuk berdepan cabaran lima tahun akan datang.
Beringatlah juga, mana-mana ‘tsunami’, gelombang atau revolusi tidak akan berlaku melainkan masyarakat yang mulakan. Ia tidak akan berlaku jika ahli politik ingin melakukannya. Tunjukkan satu revolusi yang dimulai oleh ahli politik? Tidak ada.
Sejarah revolusi semuanya dimulakan oleh rakyat. Ahli politik hanya ‘rampas’ revolusi ini. Daripada Revolusi Perancis sehingga ke Perang Dunia Pertama, revolusi dicetuskan oleh rakyat. Dan kebanyakan revolusi ini dimulakan sebab rakyat kelaparan.
Dan kita kena faham lebih 70 peratus rakyat Malaysia melayari internet. Bagaimana hendak menipu generasi ini? Mereka well informed. Bagaimana kita hendak memperbudakkan generasi muda hanya dengan perubahan kosmetik? Tidak, perubahan ini semua kena nyata dan drastik.
Rule of law, not rule by law, akauntabiliti, ketelusan, kebebasan dan kehakiman, kini berada di tangga nombor satu rakyat.
Sebilangan rakyat mungkin masih perlu ‘bayar bawah meja’ untuk selesaikan sesuatu hal. Itu yang perlu diperangi habis-habisan.
Mana-mana parti politik, tidak kira PKR, DAP, UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) atau apa sahaja parti, sudah sampai ke peringkat change or die (berubah atau mati) demi untuk meraih sokongan rakyat dan akhirnya pasti sekali untuk berbuat apa sahaja demi berkuasa. – UTUSAN








