SHAH ALAM: Hujung minggu lalu genap setahun peristiwa banjir terbesar pernah melanda Selangor yang menyaksikan lebih 30,000 mangsa melibatkan hampir 6,500 keluarga terjejas akibat bencana tersebut.
Malah, lebih 100 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir melibatkan kawasan-kawasan hampir di seluruh negeri ini, namun sebahagian besar mereka juga gagal dipindahkan atas pelbagai halangan.
Bencana tersebut terutama di Hulu Langat dan Taman Sri Muda disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh hampir 30 tahun sehingga meninggalkan kesan mendalam kepada diri mereka.
Rata-rata penduduk terutama di Taman Sri Muda ketika ditemui Utusan Malaysia memaklumkan, walaupun pernah berdepan banjir besar pada 1996, situasi seperti peristiwa setahun lalu itu belum pernah mereka alami.

SAMPAH-SARAP sisa banjir Disember 2021 dikutip sekitar Taman Sri Muda dan Shah Alam yang dikumpulkan di Pusat Transit Sisa Banjir Seksyen 21, Shah Alam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Seorang peniaga kedai runcit dan makanan, Harjit Singh, 36, yang juga penduduk di kawasan perumahan Seksyen 25 itu berkata, dia terpaksa menjual rumah kedai miliknya jika peristiwa terburuk itu berlaku lagi.
“Saya belum membeli kelengkapan rumah seperti sofa dan meja makan yang rosak, sebab bimbang banjir berulang. Saya kena utamakan kelengkapan kedai. Tetapi kalau jadi juga banjir memang saya terpaksa give-up.
“Bukan mudah, perasaan susah hati itu datang pada setiap kali hujan. Bila hujan lebih sejam, saya ke kedai selamatkan barang-barang niaga dulu. Kemudian tunggu, suami pula pindahkan kereta ke tempat selamat,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam Selangor pada Disember tahun lalu. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Pada masa sama, penduduk di situ ketika ditemui memberitahu, masih segar dalam ingatan mereka setiap perkara yang berlaku pada hari pertama banjir hingga hari kelima.
Seorang penduduk di Jalan Sabar, Sulaiman Abdul Hamid, 50, berkata, sukar dilupakan perkara yang dialami masyarakat di situ walaupun sebahagaian besar mereka tinggal di tingkat atas pangsapuri.
“Terputus bekalan elektrik, suasana gelap dan tiada liputan telekomunikasi. Bantuan lambat sampai, kemudian penduduk mula kehabisan bekalan makanan. Dapat bantuan makanan tetapi basi.
“Pada hari ketiga, air mula surut, penduduk jalan kaki redah banjir untuk ambil sendiri bantuan barangan keperluan. Saya ingat lagi ‘rakyat bantu rakyat’ terima kasih kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu kami,” ujarnya.
Sementara itu, Ibrahim Yaakub, 55, yang sudah 33 tahun tinggal di situ mendakwa, masih ada penduduk yang belum mendapat bantuan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan berjumlah RM5,000.
“Jangan ingat sudah selesai, ramai lagi yang belum dapat. Dahulu kita dengar macam-macam bantuan ditawarkan termasuk pembelian perkakasan elektrik dan baik pulih kenderaan.
“Tahu tak semua orang layak dapat, tetapi yang layak tak dapat pula. Bila kita rujuk ke pejabat berkaitan, kata tak terima boranglah, nama tiada dalam senarai dan macam-macam lagi. Akhirnya penduduk reda sahaja dengan apa yang mereka alami,” tuturnya.
Bagi Jamil Abd. Jalil, 43, pula, penduduk kini semuanya dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga terutama ketika hujan lebat lebih sejam bagi mengelak daripada terus mengalami kerugian akibat banjir.
“Berbelas ribu ringgit saya habis untuk baiki kereta. Bukan saya seorang, ramai lagi alami situasi sama. Sekarang bila hujan, semua berpakat alihkan kereta ke tempat selamat. Keadaan itu menyebabkan laluan keluar di Jalan Jitu, Jalan Sepadu dan Persiaran Budiman sesak,” katanya. – UTUSAN











