Persekolahan luar biasa 2021 - Utusan Malaysia

Persekolahan luar biasa 2021

Melalui pembelajaran di alam maya, kita dapat melihat interaksi antara pelajar dan guru atau pensyarah adalah sama dengan pembelajaran secara dalam talian. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, murid-murid Tahun 1 akan memulakan sesi persekolahan 2021 di rumah mulai hari ini sekali gus diramal menjadi hari `luar biasa’ bukan sahaja buat murid dan guru tetapi juga ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Jika tahun-tahun sebelum ini, guru perlu berdepan kerenah murid-murid di sekolah, tetapi kali ini guru perlu memastikan murid-murid terutama yang baru melangkah ke alam persekolahan menyertai seterusnya membiasakan diri dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tiada lagi peluang bagi murid Tahun Satu memakai seragam sebelum dihantar ke sekolah, berjumpa kawan baharu dan seterusnya menyaksikan gelagat antara satu sama lain pada hari pertama melangkah ke bilik darjah.

Bukan setakat murid Tahun Satu, dijangka turut terkesan dengan cara pembelajaran ikut norma baharu ialah bagi pelajar sekolah menengah terutama pelajar memasuki Tingkatan Satu, Tingkatan Empat malah pelajar Tingkatan Lima.

Pelajar semua peringkat juga dijangka berdepan masalah besar apabila disarankan Kementerian Pendidikan menggunakan e-teks, selain kekeliruan kedudukan kelas, aliran dan silibus buat pelajar Tingkatan Lima.

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya menjangka berlaku masalah dan kekeliruan pada sesi persekolahan tahun ini kerana terlalu banyak perkara berubah dan tidak berjalan ketika sesi persekolahan tahun lalu.

Sebagai contoh, menurut beliau, peralihan murid Tahun Enam ke Tingkatan Satu menjadi bebanan dan banyak persoalan sama ada ia diuruskan dengan baik oleh pihak sekolah.

“Sekolah menengah mungkin berdepan kesukaran menguruskan ratusan peralihan murid Tahun Enam ke Tingkatan Satu, berpindah dari sekolah lama ke sekolah baharu secara maya.

“Kementerian Pendidikan pula tidak menyatakan secara terperinci bagaimana peralihan murid tersebut dikendalikan,” kata beliau semasa dihubungi.

Aminuddin berkata, perkara tersebut hanya salah satu cabaran yang dihadapi pentadbiran semua sekolah ketika ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, bagi memastikan kelas secara maya lancar, guru sangat memerlukan kerjasama ibu bapa membimbing anak masing-masing.

Kata beliau, walaupun guru juga tidak lagi `sakit telinga’ mendengar raungan dan tangisan murid Tahun 1 di sekolah sebaliknya tugas lebih besar ialah mengawal anak muridnya kekal mengikut PdPR.

“PdPR memerlukan guru menggunakan kreativiti masing-masing supaya murid-murid dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran baharu,” katanya.

Namun, Aminuddin berpendapat, kerajaan perlu mencari penyelesaian terbaik terutamanya dalam isu kualiti capaian internet dan pemilikan peranti bukan sahaja buat pelajar tetapi juga guru di seluruh bagi melancarkan PdPR.

“Sekiranya, dua hal tersebut gagal diselesaikan, sudah tentu akan bertambah ramai murid dan pelajar tercicir,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan pula berkata, permulaan sesi sekolah hari ini sudah tentu akan membangkitkan pelbagai kekurangan.

“Antaranya membabitkan isu liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar, kesediaan peranti, buku teks atas talian serta pemantauan dan penilaian secara berkesan,” kata beliau.

Menurut beliau, ibu bapa dan guru ketika ini perlu saling bekerjasama dan bukan mencari salah antara satu sama lain.

“Masa depan anak-anak banyak bergantung dengan norma baharu susulan impak pandemik Covid-19.

“Semua pihak tiada pilihan kecuali mencuba kaedah baru bagi tidak membantutkan terus proses pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada murid Tahun Satu, Kamariah berkata, dia sangat bimbang dengan pembelajaran online tambahan lagi perlu menggunakan buku teks digital.

“Macam mana anak nak memulakan transmisi tadika kepada darjah 1 secara online, ibu bapa bekerja, semua anak kena kelas online sebelah pagi, ibu bapa jadi tertekan,” jelasnya yang mempunyai tiga anak di sekolah renda

Bagi, seorang ibu kepada pelajar Tahun Tiga yang mahu dikenali sebagai Wati, 40-an berkata, bukan sahaja anaknya yang tidak suka belajar secara online tetapi dirinya turut tertekan dengan kaedah belajar dari rumah.

Belum pun lagi sesi PdPR bermula, kata Wati, dia sudah `terganggu’ dengan macam-macam mesej menerusi aplikasi Whataps guru kelas anaknya.

“Mesej tersebut membuat saya stress kerana saya seorang ibu bekerja mana ada masa mahu layan mesej cikgu mana.

“Dalam situasi sebegini, kadang-kadang saya yang jadi pelajar, anak saya pula hanya menerima arahan saya dan bukan dari cikgunya,” katanya.

Dalam pada itu, di laman sosial banyak komen-komen pelajar yang rata-rata keliru untuk memasuki sesi persekolahan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×