Anak lelaki abai tanggungjawab enggan jaga ibu - Utusan Malaysia

Anak lelaki abai tanggungjawab enggan jaga ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjuangan seorang ibu bermula saat mengandung, melahir dengan taruhan nyawa, merawat sejak kecil tanpa ada rasa beban dihati.

Setelah dewasa dan mampu berdiri sendiri, kasih sayang seorang ibu tidak pernah luntur.

Meskipun berjuang untuk kebahagiaan anaknya, ibu tetap manusia biasa yang kadang diuji untuk berasa kecewa dan khuatir.

Sayangnya, bukan semua anak memahami. Terkadang ada perkataan dan perbuatan anak membuat si ibu terluka.

Pun begitu, di sebalik ketidaksempurnaan ibu, ia tetap sosok yang begitu baik bagaikan malaikat. Rasa cintanya, lebih besar berbanding segala.

Dia tidak pernah mengenal erti benci, sebaliknya sentiasa menitip doa kepada anaknya.

Minggu ini saya kongsikan kisah mengenai seorang ibu tua yang diuji apabila anak lelaki sendiri lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Pun begitu, dia reda dan tetap memaafkan perbuatan anaknya itu.

Kisah Maimunah (bukan nama sebenar) diceritakan oleh anak saudaranya sendiri, Rina (bukan nama sebenar) melalui kiriman emel kepada saya baru-baru ini.

Rina seorang pensyarah berlatar belakang pendidikan dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam di sebuah universiti tempatan itu dalam emelnya menulis, dahulu, derhaka difahami sebagai perilaku anak yang tidak mengakui ibunya.

Hari ini memperlihatkan proses perubahan makna kepada anak derhaka. Walaupun berpendidikan, serba maju dan moden, situasi itu tetap wujud.

Hanya kerana mengejar harta dan sibuk dengan tanggungjawab baru, ibu bapa diabaikan.

Dalam emelnya Rina menceritakan, Hambali merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik.

Hambali mempunyai seorang abang, yang cacat penglihatan dan seorang adik perempuan.

Selepas kematian bapanya, Hambali tekad belajar kerana mahu keluar daripada kemiskinan keluarga.

Maimunah sangat menyayangi Hambali dan sanggup bergolok-gadai demi memastikan cita-cita anak lelakinya itu melanjutkan pengajian tercapai.

Dibesarkan di salah sebuah perkampungan di pendalaman Kuala Lipis, Hambali menjadi harapan bukan sahaja keluarga tetapi juga seluruh penduduk kampung.

Hambali menjadi kebanggan apabila satu-satunya anak kampung yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran di luar negara.

Pada awal perjalanan Hambali setelah tamat pengajian dan mendapat pekerjaan, semuanya baik-baik sahaja.

Pun begitu siapa menyangka, Hambali yang dikenali sebagai seorang anak yang menghormati orang tua, penyayang dan bersopan santun berubah 360 darjah setelah berumahtangga.

Hambali mula lupa diri dan pada janjinya untuk membantu keluarga apabila dia sudah berjaya. Hambali juga jarang pulang ke kampung halaman.

Sepanjang tempoh itu jugalah Maimunah menjadi murung dan sentiasa sedih mengenangkan Hambali yang sudah semakin jauh darinya.

Dalam emelnya, Rina menyatakan dia sendiri tidak menyangka, lelaki yang membesar bersama-samanya berubah sekelip mata.

Mereka hanya terpisah, setelah masing-masing melanjutkan pengajian ke peringkat universiti setelah tamat tingkatan Lima.

Rina pada ketika itu berjaya melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti tempatan.

Dalam emel itu lagi, Rina menjelaskan dia tidak bermaksud mahu mengaibkan sesiapa.

Namun lebih kepada kesedaran tentang tanggungjawab seorang lelaki apabila berkahwin terhadap ibu mereka.

Kisah Hambali merupakan kisah benar daripada beratus lelaki yang lupa tanggungjawab dan mengabaikan ibu bapa setelah berkahwin.

Rina menjelaskan lelaki harus berlaku adil dan pandai membuat keputusan apabila berdepan dengan situasi melibatkan ibu dan juga isteri.

Jika kedua-duanya memerlukan perhatian dalam waktu sama, sebaiknya utamakan ibu dahulu namun bergantung kepada situasi. Mana yang penting dan wajar diutamakan.

Justeru, anak lelaki tidak boleh memandang remeh hal tersebut kerana bimbang keputusan yang diambil boleh membawa kemudaratan kepada hubungan suami isteri atau kedua ibu bapa.

Jangan sampai mahu membahagiakan wanita yang dinamakan isteri, tetapi lupa tanggungjawab kepada insan-insan ini.

Di saat kita membelakangkan ibu, itulah adalah saat kita sedangmembelakangkan dia kita terhadap Allah.

Pun begitu, Rina tidak menolak ada juga suami yang melebihkan tanggungjawab terhadap ibunya sendiri sehingga mengabaikan isteri.

Tugas dan tanggungjawab anak lelaki menurut Islam bukan hanya kepada dirinya sendiri, malah kepada ibu, isteri, anak perempuan dan saudara perempuannya.

Beban ditanggung lelaki sangat besar dan harus diketahui dengan baik supaya tidak terjerumus ke dalam dosa.

Setelah anak lelaki berkahwin, mereka perlu tahu akan tanggungjawab dan penting untuknya mengetahuinya sebaik sudah mendirikan rumah tangga.

Walaupun telah memiliki keluarga sendiri, tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapa tidak boleh diabaikan.

Antara punca doa tidak makbul, perniagaan tidak maju, rezeki sempit adalah kerana kebiadapan seorang anak kepada orang tuanya.

Dalam emelnya, Rina juga menulis, dia amat kagum dengan ibu saudaranya yang tetap memaafkan segala perbuatan anaknya.

Dan ibu saudaranya sentiasa meminta pertolongan dengan Allah agar Hambali sentiasa diberi kekuatan dan petunjuk agar berubah suatu hari nanti.

Allah berfirman yang bermaksud:
Dan Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika salah seorang atau kedua-duaya sekali telah tua, maka janganlah kamu berkata mereka Oh dan janganlah kamu menengking, mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia dan hendalah kamu merendah, menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang. (Al-Isra:23-24).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×