Namanya mula menjadi sebutan, malah turut digelar sebagai wanita besi apabila tular sebuah video memaparkan dirinya sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bangunan ikonik negara, Menara Berkembar Petronas.
Lebih menarik perhatian, Juruteknik Akses Tali, Normalia Sidek yang berhijab, tampak tenang dan bersahaja melaksanakan tugas di bahagian luar bangunan berketinggian 452 meter itu.
Apatah lagi, beliau sahaja kru wanita yang kelihatan pada ketika itu dan selebihnya terdiri daripada pekerja lelaki.
Normalia yang mesra disapa Maya mengakui, sememangnya tidak ramai wanita memilih pekerjaan yang didominasi oleh lelaki itu.
Dia merupakan salah seorang daripada hanya enam wanita yang mempunyai lesen dan melakukan pekerjaan sebagai juruteknik akses tali berkenaan.
“Segala-galanya bermula daripada hobi. Sejak daripada zaman remaja dahulu lagi saya suka melalukan aktiviti dan sukan lasak, antaranya memanjat dinding (wall climbing).
“Daripada situ saya berfikir bagaimana hendak jadikan hobi saya itu sebagai kerjaya. Saya percaya, melakukan pekerjaan bersama minat adalah lebih baik, kerana ia akan membuatkan saya untuk lebih seronok untuk bekerja,” katanya kepada Seri.
GEMAR SUKAN EKSTREM
Berada dalam lingkungan orang yang meminati sukan ekstrem mendedahkan dia kepada pekerjaan sebagai juruteknik akses tali.
Tidak menunggu lama, dia mengorak langkah pertama dengan mengambil lesen Persatuan Perdagangan Akses Tali Industri (IRATA) untuk dia bekerja di bangunan dan struktur bertingkat tinggi.
Berbekalkan ilmu di dada, anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu memulakan tugas pertamanya di sebuah bangunan berketinggian 30 tingkat lima tahun lalu.
“Memang benar kerja dengan minat adalah yang terbaik. Saya rasa seronok setiap kali melaksanakan tugas di bangunan-bangunan yang diberikan.
“Kalau cakap tidak takut atau gayat itu tipulah sebab kita manusia bukan robot. Walaupun sudah lima tahun dalam bidang ini, ada hari saya rasa gayat tapi bila sudah berada di atas dan buat kerja rasa biasa sahaja,” katanya.
Tambahnya lagi, rasa gayat itu juga dapat dikawal dengan ilmu pengetahuan dalam bidang berkenaan dan mempunyai lesen.
Disebabkan itu katanya, penting bagi seseorang juruteknik akses tali untuk mengambil lesen sebelum masuk ke industri berkenaan bagi mengurangkan risiko berlaku perkara tidak diingini.
“Bila ada lesen dan kelayakan, kita akan rasa lebih kompeten untuk kerja sebab kita tahu peralatan dan tali yang kita pakai itu selamat.
“Kalau tak ada lesen, ia akan membuatkan kita takut dan sebagainya sebab tiada ilmu,” ujarnya yang turut mengakui ada segelintir yang bekerja tanpa mengambil lesen terlebih dahulu.
RAHSIAKAN DARIPADA KELUARGA
Mengimbas kembali ketika awal penglibatannya dalam bidang itu, Normalia berkata dia tidak memberitahu kepada keluarga mengenai pekerjaannya itu.
Dia yang sebelum itu bekerja di butik pakaian berkata, niatnya bukan untuk mengetepikan keluarga, namun, bagi dirinya dia tahu apa yang dilakukan dan tidak mahu menimbulkan kebimbangan.
“Mereka tahu pun selepas ada satu program televisyen yang membuat berita mengenai saya dan selepas itu mereka tanya betulkah saya buat pekerjaan itu.
“Saya mengaku selepas itu dan terangkan kepada mereka kenapa saya pilih pekerjaan itu dan buat mereka faham yang pekerjaan itu juga ada ciri-ciri keselamatan yang perlu dipatuhi untuk mengurangkan risiko. Selepas itu mereka okay sahaja,” jelasnya.
Bagaimana pun, katanya, dia juga sering mendapat kata-kata yang kurang enak daripada orang sekeliling yang mengatakan dia seperti sudah tidak ada kerja lain.
Biarpun agak pahit untuk ditelan, namun anak kelima daripada enam beradik itu mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memikirkan kata-kata itu.
“Memang ada yang kecam tapi bukan orang yang dalam bidang sama jadi biarkan saja. Hendak tutup mulut orang tak boleh, nak masukkan dalam hati juga tidak boleh sebab nanti akan jadi penyakit.
“Jadi, saya jawab baik-baik. Lagi pula yang bertanya itu kebanyakan orang tua,” jelasnya.
CUACA JADI CABARAN
Bekerja di awangan sudah tentu mempunyai cabaran yang lebih besar melibatkan cuaca.
Kata Normalia, dia pernah melihat kilat menyambar di belakangnya yang ketika itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan melalui pantulan di bangunan berkenaan.
Tidak menunggu lama, dia segera turun daripada bangunan berkenaan bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Salah satu risiko lain ialah angin kerana sukar untuk menganggarkan sekuat mana angin yang akan berlaku di atas sana. Tetapi kami dilatih untuk menghadapi risiko ini yang menjadikan kami lebih berhati-hati apabila bekerja.
“Jika bekerja di atas kapal atau platform minyak dan gas, ruang angkasa tidak begitu terhad dan kita boleh melihat langit biru. Jika hari gelap, kami akan tahu dan akan segera menghentikan operasi kami,” katanya.
KEKAL CERGAS
Bidang pekerjaannya memerlukan penggunaan tenaga yang banyak untuk melaksanakan tugas dengan baik dan selamat.
Oleh itu, Normalia akan mempersiapkan diri dari segi emosi, mental dan fizikal sebelum masuk ke ke tempat kerja.
Aspek pemakanan turut dijaga supaya dapat menjalankan tugas dengan lancar apabila berada di atas tali pada paras yang tinggi.
SUAMI SAMA BIDANG
Berada dalam industri yang sama dan juga sering diletakkan dalam satu pasukan menjadi titik tolak pertemuan antara Normalia dan suami, Abdul Hazim Abdul Rashid,27.
Selepas hampir tiga tahun berkawan, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumahtangga.
“Tidak semua lelaki yang boleh terima wanita dalam bidang ini kerana bidang ini biasalah didominasi oleh lelaki jadi akan banyak bekerja bersama lelaki.
“Tetapi sebab suami saya daripada bidang yang sama jadi dia memahami dan tahu, itu memang minat dan jiwa saya, malah kami sama-sama melakukannya untuk mencari rezeki,” jelasnya.
Pasangan bahagia itu baru sahaja dikurniakan cahaya mata lelaki, Muhammad Al Fateh Abdul Hazim yang kini berusia empat bulan.
Mengenai perancangan masa depan, Normalia merancang menjadi jurulatih dalam bidang berkenaan.
“Saya meletakkan had umur 40 tahun untuk naik ke atas bangunan. Kemudian saya mahu menjalankan kerja-kerja dokumentasi atau menjadi jurulatih sahaja,” katanya.
Tajaan baju : QHALESAA










