McDonald’s rancang buka 5 restoran baharu di Pulau Pinang

McDonald’s rancang buka 5 restoran baharu di Pulau Pinang

SEORANG murid teruja menerima beg sekolah baharu sempena program ‘Kembali ke Sekolah’ yang diadakan bersempena Majlis Perasmian McDonald’s Pandu-Lalu IKEA Batu Kawan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: McDonald’s Malaysia kini dalam perancangan untuk membuka sekurang-kurangnya lima lagi restoran baharu di negeri ini dalam masa empat tahun bermula tahun depan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, tiga daripada restoran itu dijangka dibuka antara tahun depan sehingga awal tahun 2024 bergantung kepada situasi semasa.

Katanya, dua lagi restoran bagaimanapun masih dalam proses perbincangan termasuk untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi tujuan tersebut.

“Buat masa ini, tiga outlet (restoran) yang akan kita buka di Pulau Pinang mulai tahun depan ialah di Nibong Tebal, Relau dan Air Itam.

“Kita (McDonald’s Malaysia) berharap dengan pembukaan outlet baharu ini, ia akan membuka sehingga 300 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat khususnya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis pembukaan restoran baharu, McDonald’s Pandu-Lalu IKEA Batu Kawan di sini yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Pada majlis yang sama juga berlangsung penyerahan sumbangan pek ‘Kembali ke Sekolah’ kepada sebahagian daripada 1,200 murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan di negeri ini selain majlis penyerahan surat lantikan kepada pelatih terpilih.

Turut berlangsung ialah majlis penyerahan zakat korporat berjumlah RM250,000 oleh McDonald’s Malaysia kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amran Hazali.

Difahamkan, jumlah pembayaran zakat itu adalah yang tertinggi di negeri ini setakat ini sejak syarikat rangkaian makanan segera terkemuka itu mula menunaikan kewajipan tersebut kira-kira enam tahun lalu.

Dalam pada itu, Azmir memberitahu, sejak rangkaian restoran McDonald’s baharu itu dibuka di Batu Kawan pertengahan tahun lepas, pihaknya menerima pelbagai maklum balas positif daripada orang ramai termasuk penduduk setempat.

“Nilai jualan yang dicatatkan juga agak memberangsangkan apabila secara puratanya kira-kira RM1 juta berjaya direkodkan hampir setiap bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×