Mampukah Radzi tandingi khidmat Ku Nan?

[ANALISIS] Mampukah Radzi tandingi khidmat Ku Nan?

RADZI Jidin menunjukkan 50 Tawaran #EraBaharuPutrajaya semasa kempen PRU15 di Putrajaya bulan lalu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUANGAN komen hantaran ‘Terima Kasih’ Tengku Adnan Tengku Mansor atau dikenali Ku Nan di Facebook miliknya dihujani ucapan balas penghargaan 20 tahun khidmat ‘ketua kampung’ di Parlimen Putrajaya.

Tidak pernah ditewaskan empat penggal berturut-turut sejak kerusi Parlimen Putrajaya diwujudkan, tsunami Melayu dan pengundi muda menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu memberi keuntungan kepada Datuk Dr. Radzi Jidin merampas kerusi itu.

Pelbagai pihak memberikan pandangan soal faktor kekalahan Ku Nan kali ini adalah tempias kepada kebangkitan pengundi untuk menolak rasuah apabila imej BN dicalarkan dengan isu gejala tersebut.

Punca lain yang dikaitkan ialah keberadaan Ku Nan yang dikatakan sudah terlalu lama di situ selain faktor usia menjangkau 72 tahun mungkin kumpulan anak muda meliputi 53 peratus dalam julat umur 18-39 tahun tidak menunjukkan minat.

Apatah lagi orang Melayu sudah mempunyai alternatif selepas menolak untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) tetapi tidak mahu memberikan undi kepada BN. Maka Perikatan Nasional (PN) dipilih sebagai talian hayat mewujudkan sebuah kerajaan ‘Bersih dan Stabil’.

Asas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kawasan-kawasan Parlimen seluruh negara tidak besar. Di Putrajaya misalnya, pengundi ahli parti ini hanya sekitar 1,500 orang dan pengundi Pas sekitar 7,000 orang. Undi asas UMNO jauh lebih besar, sekitar 9,000 orang.

Ya, mungkin faktor-faktor itu ada benarnya. Tetapi itu semua adalah retorik harapan di peringkat kerajaan. Bagaimana pula dengan soal kemampuan untuk wakil rakyat baharu berkhidmat di kawasan Parlimen itu?

Dalam konteks Putrajaya, mampukah Radzi yang baru menetap empat tahun di Putrajaya boleh melawan khidmat bakti 20 tahun Ku Nan di sini? Mampukah lebih 42,000 pengundi di sini dijaga baik dan sentiasa ada saat diperlukan?

Mungkin bunyi agak klise, tetapi itu hakikat yang perlu diterima, diakui sendiri penduduk di situ dan cabaran untuk wakil rakyat baharu menggalas tanggungjawab itu, malah diharapkan mampu berkhidmat lebih baik.

 Namun, tidak salah memberi peluang itu kepada bekas Menteri Pendidikan berusia 45 tahun ini. Penduduk di Putrajaya mahu melihat 50 tawaran Radzi melalui manifestonya, benar-benar direalisasikan.

Apatah lagi ia dijanjikan dengan sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan ditubuhkan bagi memastikan Tawaran Putrajaya dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, selepas hampir sebulan dilantik sebagai ahli Parlimen, tak nampak lagi mana-mana tawaran Radzi dilaksanakan berdasarkan tinjauan dALAM media sosial miliknya yang dikatakan mampu dan realistik untuk dilaksanakan.

Cuma, aplikasi dalam talian dikenali sebagai Putrajaya Care sudah diwujudkan sebagai platform aduan selain wadah bagi mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian informasi.

Program #NgajiPutrajaya juga belum dilancarkan iaitu penyediaan kelas mengaji al-Quran secara menyeluruh dilengkapi modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital di surau-surau.

Bagi sektor pendidikan pula, Radzi akan menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya RM5,000 kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) setahun selain perkhidmatan bas sekolah berdaftar disediakan secara percuma untuk murid miskin sebagai kemudahan ke sekolah.

Itu antara tawaran yang dilihat mampu dilaksanakan segera. Realistiknya, ia tentu menjadi cabaran untuk Radzi menandingi Ku Nan sekurang-kurangnya sentiasa menghantar bantuan bakul makanan di depan pintu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×