PETALING JAYA: Agrobank merangkul tiga anugerah berprestij menerusi kempen dan inisiatif perhubungan awamnya pada Anugerah Perhubunggan Awam Malaysia 2022 (MPRA 2022), Jumaat lalu.
Tiga anugerah tersebut adalah Anugerah Hal Ehwal Awam Terbaik bagi inisiatif dan pencapaian perhubungan awam di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Perlancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022); Anugerah Kempen Bersepadu Perhubungan Awam Terbaik bagi Kempen Hari Kebangsaan Agrobank bertema #Berbudi dan Anugerah Komuniti Kewangan Terbaik bagi Program Celik Wang iaitu program perdana pengurusan kewangan Agrobank khusus untuk pelajar sekolah.
Mengulas kejayaan itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima pengiktirafan itu untuk dua tahun berturut-turut.
Kata beliau, dengan aspirasi untuk mentransformasikan pertanian melangkaui perbankan, Agrobank sentiasa beriltizam untuk menyediakan solusi kewangan terbaik serta pendekatan yang holistik bagi produk dan perkhidmatannya menerusi pelan komunikasi dan kempen perhubungan awam berimpak tinggi dan pelbagai.
“Anugerah ini adalah penghormatan kepada usaha dan komitmen berterusan bagi seluruh warga kerja Jabatan Pemasaran & Komunikasi di Agrobank.
“Pengiktirafan ini melambangkan inisiatif kami dalam mengadaptasikan pelbagai saluran komunikasi khususnya dalam menyampaikan mesej dan nilai teras Bank kepada pengguna. Usaha ini tidak hanya tertumpu kepada platform media, malah menerusi pelbagai saluran dan inisiatif berpaksikan akar umbi yang memberi tumpuan khusus dalam melestarikan transformasi sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Ahmad Badli berkata, tanggungjawab serta amanah dalam menyokong sektor pertanian serta meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti yang kurang mendapat liputan dan diberi perhatian telah sebati dengan DNA warga kerja di Agrobank.
Justeru katanya, kejayaan itu menandakan inisiatif serta pendekatan unik yang berterusan dalam merealisasikan hasrat murni itu dapat dicapai sekali gus menggalakkan pembangunan sektor pertanian negara.
“Tanggungjawab serta amanah dalam menyokong sektor pertanian serta meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti yang kurang mendapat liputan dan diberi perhatian telah sebati dengan DNA kami di Agrobank. Justeru kejayaan anugerah ini menandakan inisiatif serta pendekatan unik kami yang berterusan dalam merealisasikan hasrat murni ini dapat dicapai sekali gus menggalakkan pembangunan sektor pertanian negara.
“Melangkah ke hadapan, Agrobank akan terus meningkatkan strategi serta mengukuhkan peranan pembangunan kami sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan memacu pembangunan ekonomi sektor pertanian serta menyokong perniagaan berasaskan pertanian agar lebih berdaya saing.
“Ini melibatkan pelbagai usaha dan simbiosis lain yang saling berhubung di sepanjang rantaian nilai pertanian yang turut melibatkan produk dan perkhidmatan Agrobank,” tambah beliau. – UTUSAN










