KUALA LUMPUR: Firma modal teroka (VC) terbesar Malaysia, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) menjangka melabur kira-kira AS$20 juta (RM88.7 juta) dalam syarikat pemula dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ketua Pegawai Pelaburannya, Paramjit Singh Gill berkata, perkara tersebut sejajar dengan petunjuk prestasi utama (KPI) mereka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk melabur dalam 40 syarikat pemula tempatan.
Katanya, kerajaan telah memperuntukkan siling dana sebanyak RM400 juta dalam RMK12 untuk tempoh lima tahun.
“Sehingga kini, kami sudah pun melabur dalam sembilan syarikat permula di bawah KPI RMK12 tersebut.
“Jadi, untuk tempoh 12 tahun akan datang, kami jangka dapat melabur dalam AS$20 juta dan kami komited untuk mencapai hasrat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Mavcap bersama pemain industri berkaitan ekosistem modal teroka dan usahawan di Malaysia di Hotel St Regis di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, ekosistem syarikat pemula adalah sangat fluid (cair) yang mana ia bukan sahaja melibatkan syarikat Malaysia.
“Kami juga mahukan syarikat pemula dari luar negara untuk datang ke Malaysia. Kami mahukan mobiliti bakat dan tenaga kerja.
“Ini penting untuk memastikan ekosistem syarikat permulaan tempatan rancak,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP, Shahril Anas Hasan Aziz berkata, pihaknya meminta kerajaan memberi penekanan kepada modal teroka kerana ia hala tuju yang harus ditekankan.
“Dalam pembentangan Bajet 2023 sebelum ini ada peruntukan sebanyak RM1.3 bilion untuk modal teroka. Namun, apabila Parlimen dibubarkan perkara itu sudah embargo di Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Jadi, kita tidak tahu RM1.3 bilion itu untuk siapa atau ia masih ada lagi atau tidak. Walau bagaimanapun, kami sudah beritahu pada kerajaan bahawa modal teroka adalah hala tuju yang boleh dipilih supaya tidak hanya bergantung kepada Petronas,” jelasnya. – UTUSAN









